Persediaan PRU15 Atau Banjir: Mana Lebih Utama?

Persediaan PRU15 Atau Banjir: Mana Lebih Utama? | IKRAM

Masihkah kita ingat, pihak berkuasa Wuhan berjaya menyiapkan sebuah hospital baharu yang diberi nama Huoshenshan, dilengkapi 1,000 katil pesakit dalam tempoh enam hari khas bagi merawat pesakit Covid-19 pada Februari 2020 lalu?

Di Jepun pada 2016, telah berlaku tanah mendap di salah sebuah persimpangan Hakataekimae di bandar Fukuoka, dipercayai disebabkan oleh pergerakan air bawah tanah. namun tiada laporan sebarang kecederaan yang berlaku.

Ekoran itu, pihak berkuasa telah mengambil tindakan pantas membaiki semula kerosakan itu dengan struktur baru yang 30 kali lebih kuat berbanding yang lama dalam masa 48 jam dan memohon maaf atas kejadian ini.

Bencana Banjir 2021

Kembali kepada situasi realiti negara, masihkah kita ingat dengan tragedi yang melanda negara di hujung 2021 dan pembuka tirai 2022? Bencana alam yang terjadi turut melanda kawasan Semenanjung Malaysia. 

Limpahan air ini berlaku susulan hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia berikutan lalunya sebuah lekukan tropika (Lekukan Tropika 29W) yang merentasi semenanjung dari Laut Cina Selatan di samping musim monsun serta kejadian air pasang hingga beberapa negeri. 

Limpahan air di Lembah Klang merupakan banjir yang paling ketara memandangkan Lembah Klang biasanya tidak menerima takungan air yang banyak akibat monsun seperti kawasan Pantai Timur.

Seterusnya ia menyebabkan puluhan ribu orang awam terpaksa diselamatkan dan dipindahkan. Tragedi di Lembah Klang tersebut disifatkan sebagai antara banjir terburuk dalam sejarah Malaysia moden, dan digelarkan sebagai banjir seratus tahun sebagaimana dikatakan pihak kerajaan.

“Hujan tahunan di Lembah Klang ialah 2,400 mm dan ini bermakna hujan semalam yang terjadi ini, melebihi purata hujan selama sebulan. Ia adalah sesuatu di luar jangkaan dan hanya berlaku sekali setiap 100 tahun,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Dr Zaini Ujang, yang merujuk kepada hujan yang diukur dengan tolok hujan.

Darurat Kemanusiaan

Banjir tersebut lazimnya dibandingkan dengan banjir Kuala Lumpur 1971 dan tragedi air bah di Malaysia pada 2014.

Berikutan itu, ia mencetuskan darurat kemanusiaan yang besar yang terpaksa dihadapi rakyat. Namun, tindakan kerajaan yang dilihat sambil lewa dan berat sebelah mendatangkan kritikan daripada pelbagai pihak.

Tindak balas yang lambat apatah lagi huru-hara tersebut telah membuka ruang kepada berlakunya kegiatan jenayah. Sementara itu, golongan pakar mengutarakan kejadian ini sebagai suatu cuaca ekstrem akibat perubahan iklim dunia yang semakin menjadi-jadi.

Tentunya, waktu itu rakyat masih belum lega implikasi daripada pandemik Covid-19, mereka terpaksa berdepan musibah banjir di luar jangka seterusnya membuatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion ekoran kerosakan harta-benda mangsa-mangsa banjir di semua negeri yang terlibat menurut Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Segalanya itu meninggalkan kesan yang teruk lagi mencabar kepada rakyat atas kejadian yang tidak disangka-sangka ini, apatah lagi majoritinya masih belum lega dengan kesan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Tragedi Berulang?

Pada awal bulan ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan bahawa negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan.

Cuaca yang terjadi dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, yang mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

“Fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan, menyebabkan peningkatan taburan hujan dan METMalaysia meramalkan, sepanjang Oktober risiko bencana cuaca hanya membabitkan fenomena hujan ribut petir yang berpotensi menghasilkan angin kencang, hujan lebat, banjir kilat dalam tempoh yang singkat dan berskala kecil,” kata Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau berkata, sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada awal November, kemungkinan banjir besar berlaku adalah kurang. Bagaimanapun, mulai pertengahan November ada kemungkinan banjir besar berlaku terutamanya penghujung November.

“Namun begitu, jika pilihan raya dilaksanakan pada Disember, cuaca yang berlaku dijangka memberi impak yang lebih signifikan kerana angin Monsun Timur Laut adalah aktif pada tempoh itu, di mana risiko untuk berlaku hujan lebat berterusan dan banjir besar berskala besar adalah tinggi.”

Namun begitu, perkara yang perlu dibimbangkan ialah jika berlaku luruan monsun atau kemunculan sistem tekanan rendah, ia menyebabkan hujan berterusan akan berlaku di negeri-negeri berkenaan yang berpotensi menyebabkan banjir.

“Jika berlaku luruan monsun yang kuat dan serentak dengan kemunculan sistem tekanan rendah, maka risiko untuk berlaku banjir besar adalah tinggi. Luruan monsun yang signifikan biasanya akan bermula pada Disember,” katanya.

PRU15: Sanggup Redah Banjir?

Baru-baru ini kedengaran ucapan pengerusi sebuah parti pemerintah menyatakan kesanggupan meredah banjir dan hujan lebat jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Walaupun mungkin ia dianggap sebagai gertakan atau ugutan kepada pihak pembangkang mahupun gurauan sesama mereka, tetapi ia memberi kesan yang menyakitkan kepada rakyat keseluruhannya.

Melalui kata-kata itu juga, ia menampakkan betapa kemaruknya sesetengah parti terhadap kuasa sehingga tidak kisah dan peduli mengenai kesusahan rakyat sewaktu bencana banjir.

Apatah lagi dengan rakyat yang sering terpaksa melalui situasi itu, mereka tentu terkesan dengan kata-kata yang diucapkan itu.

“Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut, tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, sanggup redah banjir untuk bertanding,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, seorang menteri cuba meredakan keadaan dengan menyatakan bahawa maksud sebenar ucapan itu kesediaan pada bila-bila masa untuk hadapi PRU15 termasuk jika jatuh pada musim banjir.

Walaupun sekadar ‘back-up’ kerana sudah terlanjur kata, kenyataan sebegitu telah mengguris hati ramai pihak yang lantas bersuara dan mengecam.

Mana Lebih  Utama?

Melihat realitinya ketika banjir terjadi, bantuan menyelamatkan rakyat dilanda banjir begitu lambat.

Apatah lagi jika pilihan raya diadakan, adakah bot untuk menyelamatkan rakyat akan diutamakan atau bot untuk berkempen dan mengangkut pengundi akan menjadi keutamaan mereka?

Bencana banjir bukan perkara yang boleh dianggap gurauan atau ringan. Hakikatnya, rakyat kehilangan harta benda dan orang tersayang apabila situasi yang tidak diingini ini terjadi.

Sedangkan rakyat masih bertarung nyawa memulihkan ekonomi keluarga mereka terkesan banjir masih trauma dengan apa yang dilalui, amatlah tidak wajar seorang yang pernah berada dalam kepimpinan kerajaan berkata demikian.

Yang sepatutnya didesak ialah keperluan kerajaan Keluarga Malaysia membuat persiapan yang serius dan rapi untuk mendepani banjir agar rakyat tidak terkesan teruk sebagaimana sebelum ini. Namun apakan daya, semua itu tidak kedengaran.

Apa Persediaan Banjir?

Persoalan tegas yang perlu dijawab mereka, adakah nyawa rakyat sanggup diperjudikan semata-mata untuk terus berkuasa?

Selain itu, apakah persiapan yang ketara dilakukan pihak kerajaan untuk mendepani banjir yang bakal terjadi pada hujung tahun ini?

Adakah sekadar meminta rakyat bersiap siaga tanpa ada peranan utama daripada pihak kerajaan untuk sekalian rakyatnya?

Ketika wabak Covid-19 melanda negara, kerajaan berusaha semampunya melakukan persiapan awal sebagai kemudahan kepada pesakit.

Namun mengapa untuk banjir yang berlakunya dikenal pasti setiap hujung dan awal tahun, tetapi masih tiada persiapan yang jelas dan menyeluruh untuk rakyat?

Sedangkan di China, boleh siapkan hospital dalam masa enam hari untuk keperluan rakyatnya, begitu juga kejadian tanah mendap di Jepun, sebuah negara yang tertib dan maju kerana rakyatnya, mampu disiapkan dalam jangka masa 48 jam!

Memandangkan beberapa kawasan yang selama ini tidak terjejas teruk mengalami situasi yang di luar jangka pada tragedi di akhir 2021 dan awal tahun ini, apakah yang kerajaan Keluarga Malaysia persiapkan untuk rakyatnya mendepani banjir kali ini?

Sampai bila penderitaan dan keperluan rakyat menjadi keutamaan kepada pemimpin negara?

Maka, kita sebagai rakyat sedarlah. Ayuh selamatkan Malaysia!

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia