Perpaduan: Manis Pahit Bersama Watan Madani Malaysia

Perpaduan: Manis Pahit Bersama Watan Madani Malaysia | IKRAM

“Kalau sedap beritahu kawan, kalau tidak sedap beritahu kami,” terpapar kain rentang di sebuah kedai makan.

Pemilik kedai atau penyedia makanan bermaksudkan jika rasa masakan disediakan itu lazat, elok disebarkan supaya lebih ramai pelanggan dapat menikmati kelazatan makanan dan jika makanan tidak sedap, perlulah memaklumkan kepada pemilik supaya boleh diperbaiki kualiti makanan dan perkhidmatan di situ.

Analogi ini bernaratifkan kaedah hubungan interpersonal bukan sahaja dengan penyediaan produk atau perkhidmatan dengan pelanggan sahaja, malah boleh bernaratifkan hubungan interpersonal di antara individu, keluarga, kelompok, masyarakat dan seluruh warga secara kolektif.

Formulasi jaya di sini adalah ‘sharing is caring,’ sifat keterbukaan semua pihak dan matlamat bersama untuk mencapai kesejahteraan.

Dalam konteks manis pahit bersama masyarakat madani Malaysia, sangat molek jika hubungan dan komunikasi diperkemaskan. Sentimen etnisiti akan pudar dengan semaraknya muhibah daripada hiba, derita, curiga! Kalau ada perselisihan, eloklah diselesaikan secara adik-beradik yang penuh mesra tiada sengketa.

Di corong radio terdengar pula ada ‘tagline’ 3R jangan dipersenda! 3R ialah Religion-Race-Royalty (agama, kaum dan raja). Jika kita rodok semak samun masyarakat madani kita, pasti terjumpa bukan sahaja tiga malah berjuta ‘R’ lagi jika diselidiki.

Asal kita rumpun sama, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat! Kalau kita merupakan satu jasad, nyawa pasti sama tersemat, cubit paha kiri, paha kanan pasti terasa! 

Watan madani perlu merasakan kekitaan, bukan persendaan! Kita patut meraikan persamaan dan perbezaan dan jika digugat, kita jangan memihak kecuali kepada kemaafan dan perdamaian.

Luka seribu rindu

13 Mei 1969 adalah tragedi pahit bersama yang juga merupakan luka masyarakat madani kita. Apabila curiga dan sengketa sudah mula mempengaruhi rasa, luka itu akan bernanah, berkudis dan membawa lebih banyak sakit derita, malah boleh meragut nyawa!

Luka 13 Mei 1969 boleh diubati boleh sembuh tapi akan berparut. Kita perlu tahu sebab kelukaan ini terjadi supaya kita boleh mengelak daripada terluka lagi!

Madani Malaysia perlu ada 3 ‘Si’; Literasi, sosialisasi dan enkulturasi (pembudayaan) dalam sama merasai #manispahitbersama.

Luka 13 Mei 1969 perlu diliterasikan supaya latar belakang, kejadian, tindakan dan kesannya dapat difahami. Ada situasi seakan menyembunyikan aspek literasi tragedi.

Ini akan menjadikan watan lebih bingung tanpa maklumat dan panduan. Impak literasi perlu disosialisasi dan dienkulturasikan kepada lapisan watan yang lebih luas.

Kata bapa perpaduan negara, Almarhum Tun Hussein Onn, juga merupakan Perdana Menteri Ketiga Malaysia:

“…Dalam masyarakat kita yang berbilang kaum, adalah penting mewujudkan perpaduan yang tulen dan memelihara perasaan toleransi serta hormat-menghormati antara satu sama lain. Jika kita tidak bersatu dan sentiasa berselisih faham, curiga-mencurigai antara satu sama lain, maka anasir-anasir antinasional ini akan senang dipergunakan keadaan bagi mencapai niat jahat yang terselindung…”

Silaturahim suruhan Tuhan

Dampak Rukun Negara pada prinsip pertamanya kepercayaan kepada tuhan menunjukkan bahawa watan Madani yang mempunyai pegangan ketuhanan akan mampu menjadi watan yang baik, malah menjadikan sekitar khalayaknya baik!

ia juga mampu menggabung jalin dan menyulam dampak empat lagi prinsip seperti setia kepada Raja dan negara, luhur Perlembagaan, daulat dan patuh undang-undang serta mengaplikasikan kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan! Impak kosmologikal pasti seiring dampak sosiologikal. 

Agama merupakan elemen pengukuhan ikatan persaudaraan. Mengikut Durkheim (1915), kepercayaan dan amalan yang sama dalam sesuatu agama akan menyatukan semua anggota yang menganutinya dalam satu komuniti bermoral. Dari kaca mata ahli fungsionalis juga, agama mempunyai fungsi peribadi kepada pemeluknya kerana agama memberi darjat jaminan yang menenteramkan.

Ajaran Islam melalui syariat daripada Surah al-Hujurat ayat 13 menganjurkan silaturahim dan perpaduan.

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan. Kemudian, kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”

Dhamma, ajaran Guru Agung Buddha adalah ajaran mulia yang indah pada awal, indah pada pertengahan, dan indah pada akhirnya, diasaskan atas dasar cinta kasih dan kasih sayang kepada dunia, demi kebaikan, manfaat dan kebahagiaan manusia.

Mazhab Buddha utama Hinayana (kumpulan theravada) dan Mahayana; Agama Buddha tidak mengabaikan agama lain atau mengutuk agama lain sebagai agama jahat. Buddha mengakui semua jenis agama di dunia ini dan membezakan semua agama dengan kefahamannya yang susah atau senang, bukannya dibezakan dengan mengatakan cirinya baik atau buruk.

Kepercayaan Taoisme (Tao Chia), para saminya melihat berbagai-bagai tuhan adalah manifestasi daripada Tao yang disebut dalam meditasi dan digambarkan dalam bentuk patung-patung. Chung Tzu berkata: “Manusia bijak dapat melihat di sini, semuanya sebagai kegelapan. la dapat mendengar semuanya sebagai keheningan. “Dalam kegelapan ia sendiri melihat cahaya. Dalam keheningan ia sendiri dapat menemukan harmoni.” (dipetik oleh S.H Nasr, 1997)

Dalam fahaman Kristian, Nabi Isa a.s. mengetengahkan ajaran ‘Thou shall Love thy neighbor as thyself,’ bermaksud cintailah jiranmu sebagaimana kamu mencintai diri sendiri. Melalui kitab Bible sama ada Old Testament atau New Testament, ikutan pada Ten Commandments menggambarkan akhlak Jesus yang tinggi untuk diikuti.

Antara prinsip utama Kristian ialah manusia wajib mencintai Tuhan dan melayan semua manusia secara adil dan hidup bersama aman damai.

Bunyaanun Marsus: Bangunan kukuh

Ibn Khaldun (al-Muqaddimah) berpandangan, asabiah adalah faktor kebangkitan sekiranya berpegang konsep unity dan kejatuhan sesebuah peradaban sekiranya berpaksikan chauvinisme dan rasisme.

Asabiah berkonsep (unity) yang ditekankan ialah ikatan persaudaraan, semangat setiakawan dan saling membantu selaras dengan tuntutan Islam. Ia juga tidak menyalahi konsep Unity in Diversity (bersatu dalam kepelbagaian).

Bukankah kita watan madani adalah bersatu teguh bercerai roboh? Surah As-Saff ayat 3 menyatakan bahawa:

“…Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh..”

Dalam memaknai #manispahitbersama watan madani Malaysia, kita bersama perlu mengambil kira Rukun Negara yang memperuntukkan Kepercayaan kepada Tuhan. Kenapa? Kerana ia secara fungsinya mensejahterakan hidup.

Agama dan kepercayaan masyarakat Malaysia; Islam, Kristian, Hindu, Sikh, Buddhisme, Taoisme, Confucius dan tradisional/ animisme/ paganisme secara asasnya memenuhi keperluan pemerintahan, kesenian, kewujudan tamadun, sumber nilai moral, pendorong dan pengesahan program pembangunan, penyatuan, semangat kebangsaan dan perpaduan nasional (Shamsul Amri, 2007).

Dr Rosfazila Abd Rahman
Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan
Universiti Islam Selangor (UIS)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia