Sebuah peribahasa Melayu mengatakan, tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia.
Kata-kata ini merujuk kepada sifat kelembutan dan keibuan seorang wanita yang disertakan dengan sisi kekuatannya yang lain, dapat turut sama menyumbang ke arah pembinaan negara, termasuk mencetak generasi harapan yang berdaya saing.
Sungguhpun demikian, tangan yang menghayun buaian itu juga mampu melakukan sebaliknya iaitu kemusnahan yang meretakkan masa depan zuriatnya sendiri. Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendedahkan, ibu kandung mencatatkan jumlah peratusan tertinggi sebagai pendera utama kanak-kanak.
Lebih memilukan apabila si bapa yang disandarkan menjadi pelindung turut menjadi pemusnah keluarga.
Di negara ini, sedang berlaku aliran peningkatan penderaan yang semakin membimbangkan berdasarkan laporan yang diterima dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini iaitu sejak 2018. Direkodkan, 220 kes kanak-kanak mati akibat penderaan antara tahun 2018 hingga 2022.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, kes penderaan kanak-kanak meningkat kepada 6,740 kes berbanding 6,144 kes pada 2021 [1].
Pada tahun ini saja, dari Januari hingga Mei 2023, sebanyak 2,959 kes penderaan berbentuk fizikal, seksual, emosi dan pengabaian kanak-kanak dikendalikan oleh JKM [2]. Ini adalah angka-angka yang dilaporkan, tidak termasuk yang didiamkan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, ibu bapa kandung menjadi pelaku tertinggi kes penderaan dengan 46 peratus diikuti pengasuh atau pusat jagaan dengan 27 peratus (2021) [3].
Statistik ini bukan angka semata-mata, tetapi mewakili jiwa kanak-kanak yang merupakan golongan rentan yang sepatutnya dilindungi dan disayangi, tetapi telah digagalkan oleh orang dewasa di sekelilingnya. Hak mereka untuk hidup sebagai kanak-kanak yang ceria dan gembira telah dirampas.
Impak penderaan kanak-kanak
Tempoh usia kanak-kanak adalah sejak dilahirkan sehingga menginjak umur 17 tahun dan ini adalah detik terpenting dalam kitaran kehidupan manusia yang harus dijaga. Pada masa ini, watak utama keperibadiannya akan terbentuk di samping pertumbuhan perkembangan yang lain.
Kesemua pembentukan yang dialami oleh kanak-kanak akan dipengaruhi kuat oleh keadaan di sekelilingnya dan boleh menjadi kekal. Disebabkan hal tersebut, impak penderaan kanak-kanak mampu meninggalkan impak tekanan trauma sepanjang hidup.
Menurut National Child Traumatic Stress Network (NCTSN), tekanan trauma kanak-kanak berlaku apabila kanak-kanak dan remaja terdedah kepada peristiwa traumatik atau situasi traumatik yang mengatasi keupayaan mereka untuk menghadapinya.
Peristiwa traumatik ini termasuk mengalami pengabaian, penderaan dan kekasaran termasuk menyaksikan keganasan dalam rumah atau komuniti.
Kanak-kanak yang terpaksa mengharungi kehidupan toksik tanpa mendapat sokongan secara konsisten oleh orang dewasa hingga mengakibatkan tekanan melampau secara berpanjangan akan terdedah kepada kesan buruk yang sukar dirawat.
Kajian Adverse Childhood Experience (ACE) atau “pengalaman buruk zaman kanak-kanak” mendapati, pengalaman trauma kanak-kanak mampu mengganggu atau merosakkan perkembangan neurologi, sosial dan emosi mereka.
Kajian ini juga berulang kali mendapati bahawa semakin besar pengalaman buruk seseorang kanak-kanak, semakin meningkat risiko mereka untuk mendapat masalah kesihatan fizikal dan mental sepanjang hayat.
Kesan penderaan pada zaman kanak-kanak boleh mengakibatkan kematian, gangguan perkembangan, masalah tingkah laku dan gangguan kognitif iaitu lemah daya ingatan, sukar mempelajari perkara baru, kurang fokus atau sukar membuat keputusan sendiri.
Ketika menginjak usia remaja dan awal dewasa, mereka berisiko tinggi untuk mendapat masalah mental. Kesan penderaan yang dialami berupaya menjejaskan prestasi akademik atau menjerumuskan diri mereka ke dalam masalah juvana.
Sekiranya keadaan terus dibiarkan tanpa bantuan sewajarnya, hal ini boleh membawa kepada masalah mental yang lebih rumit dan terdedah kepada penyakit berisiko yang membawa kepada kematian awal.
Kebarangkaliannya termasuklah peningkatan risiko mendapat penyakit jantung dan paru-paru. Golongan ini juga dilihat cenderung untuk terlibat dengan ketagihan alkohol, penyalahgunaan dadah dan cenderung bersifat ganas terhadap pasangan.
Isu penderaan kanak-kanak berkait rapat dengan masalah tingkah laku si pelaku. Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia mendedahkan, 65 peratus kes penderaan bagi tempoh tiga tahun (2018-2021) dipertanggungjawabkan atas masalah sikap seperti panas baran, hilang kawalan diri kerana mabuk atau dadah.
Perceraian ibu bapa muda
Kajian ACE juga mendapati perceraian ibu bapa atau rumah tangga yang toksik menjadi faktor kepada penderaan kanak-kanak.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan kadar perceraian di negara ini menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 43,936 kes pada tahun 2021 kepada 62,890 kes pada tahun 2022, iaitu peningkatan sehingga 43.1 peratus dan kadar tertingggi yang direkodkan sejak tahun 2016.
Kadar perceraian tertinggi pula berlaku dalam kalangan pasangan yang masih muda iaitu di bawah usia 39 tahun. Data ini memberi gambaran bahawa pasangan-pasangan muda yang bercerai memiliki anak-anak kecil yang pastinya turut terkesan dalam konflik rumah tangga.
Trauma perceraian atau keluarga yang tidak berfungsi (rumah tangga toksik) akan menyebabkan gangguan dalam perkembangan otak atau emosi yang positif dan sihat kepada mereka.
Kanak-kanak yang menjadi mangsa perceraian atau berada dalam rumah tangga berantakan akan berasa tidak selamat dan dihantui pelbagai perasaan negatif. Mereka akan berasa tidak berdaya dan tidak menentu, takut terpisah daripada pengasuh, menangis atau banyak menjerit.
Di samping itu, kanak-kanak ini boleh mengalami gangguan selera makan, kencing malam atau mudah terkencing. Sebilangan mereka menunjukkan regresi iaitu pertuturan seakan bayi, mengalami ketakutan yang baru, sering bermimpi buruk dan menunjukkan perubahan dalam tingkah laku.
Justeru itu, bagi mengelakkan anak-anak menjadi mangsa, pasangan yang menghadapi masalah rumah tangga perlu mengesan permasalahan lebih awal dan mendapatkan bantuan segera.
Eratkan hubungan kekeluargaan
Terapi atau kaunseling perkahwinan penting untuk menyelamatkan masa depan kanak-kanak. Dalam pada itu, bekalkan diri dengan ilmu dan kemahiran keibubapaan yang baik agar dapat membesarkan anak-anak dengan sebaik-baiknya dan lebih bersedia untuk menghadapi perilaku mereka sepanjang tumbesaran.
Pasangan yang berkahwin mesti ada keupayaan untuk menguruskan tekanan dan emosi marah, lebih-lebih lagi apabila ingin menimang cahaya mata. Anak-anak tidak sewajarnya menjadi habuan kemarahan.
Perhatikan pasangan anda sekiranya ada tanda-tanda mendera anak. Sekiranya ada, segera bawa untuk mendapatkan rawatan kaunselor demi kesejahteraan yang berpanjangan.
Hubungan kekeluargaan yang erat, stabil dan penyayang adalah sokongan terbaik untuk perkembangan otak kanak-kanak yang sihat.
Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai hubungan yang selamat, stabil dan mempunyai kepercayaan yang baik terhadap kedua ibu bapanya mudah mengurus tekanan. Mereka memiliki harga diri yang lebih baik dan sihat, keyakinan diri yang teguh, memiliki kemahiran sosial, ceria dan lebih positif.
Sayangi anak-anak dengan menyayangi ibu atau ayahnya kerana asas keibubapaan adalah kerjasama.
Persekitaran yang positif dan kondusif serta sistem sokongan yang baik penting untuk perkembangan kanak-kanak. Pencegahan ACE pada peringkat awal kehidupan kanak-kanak juga sangat penting dan tidak boleh dipandang enteng.
Pelihara hak kanak-kanak
Luka penderaan fizikal boleh dirawat dan sembuh. Namun, luka penderaan mental dan emosi yang tidak ternampak mengambil masa yang lama untuk pulih dan seringkali tidak dapat dirawat sepenuhnya, meninggalkan parut sepanjang hidup.
Sudah terlalu banyak fakta yang disokong kuat dengan data yang membuktikan kesan teruk sepanjang hayat pada kanak-kanak yang terdedah kepada penderaan.
Realiti ini harus mencetuskan kebimbangan dan diselesaikan dengan tindakan oleh semua anggota masyarakat.
Komuniti kejiranan, pihak sekolah, aktivitis, pemimpin dalam segala peringkat mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan hak setiap kanak-kanak dipelihara. Pepatah ada menyebutkan, “it takes a village to raise a child.”
Sekiranya kita mengimpikan dunia yang rahmah, kita perlu melindungi dan menyayangi generasi muda. Bimbinglah mereka dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang. Sertailah dengan ketegasan tetapi tidak sesekali dengan kekerasan.
Kanak-kanak selalunya tidak mudah untuk mengungkapkan kesukaran dan penderitaan yang mereka alami.
Oleh itu, golongan dewasa perlu menjadi suara yang teguh untuk menjadi membela mereka. Penderitaan yang mereka alami harus kita susuli dengan tindakan untuk menghentikannya.
Jadikan diri kita sumber kebahagiaan anak-anak sebagaimana saranan Rasulullah SAW melalui hadis daripada Abu Hurairah RA.
Rasulullah SAW mencium cucunya Hasan bin Ali di hadapan sahabat, Aqra’ bin Habis. Kemudian Aqra’ pun berkata, “Saya mempunyai sepuluh orang anak tetapi saya tidak pernah mencium mereka walau seorang pun.” Rasulullah SAW memandang beliau lalu bersabda, “Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi.” (Riwayat Bukhari, no. 5997 dan Muslim, no. 2318)
Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar
Konsultan Psikologi Klinikal
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rujukan:
[1] Jumlah kes dera kanak-kanak membimbangkan
[2] KPWKM kendali 2,959 kes penderaan, pengabaian kanak-kanak setakat Mei 2023
[3] Kes dera libat ibu bapa kandung paling tinggi