Pentingnya Fahami Sejarah, Sirah Dari Sudut Geopolitik

Pentingnya Fahami Sejarah, Sirah Dari Sudut Geopolitik | IKRAM

Sejarah adalah guru terbesar atau panduan bagi manusia. Ia mengandungi kebijaksanaan dan pengajaran, menjadi pengalaman dan jalan. Daripadanya kita tahu tentang sesuatu yang telah dilalui mereka yang terdahulu. Sejarah adalah asas struktur yang tinggi dibina. Ia juga adalah asal cabang-cabang yang bersimpang.

Sejarah mempunyai banyak faedah yang tidak terkira. Semua ada waktunya dan menjadi peristiwa. Tiga dimensi sejarah yang perlu diketahui ialah masa, tempat dan peristiwa yang merangkumi segala-galanya.

Begitu juga halnya apabila membaca sirah tanpa melibatkan pemahaman tentang geopolitik pada masa itu dapat mengakibatkan sejarah kehidupan Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam difahami secara dangkal dan kurang mendalam.

Geopolitik memainkan peranan penting dalam konteks sejarah, kerana situasi politik dan sosial pada masa itu mempengaruhi kehidupan sehari-hari, keputusan dan peristiwa yang terjadi.

Sebuah pembacaan sirah yang hanya berfokus pada fakta dan angka tanpa memerhatikan konteks geopolitik dapat menimbulkan beberapa konflik, antaranya ialah:

1. Kurangnya pemahaman konteks

Geopolitik membantu memberikan konteks dan pemahaman tentang kondisi politik, sosial dan ekonomi pada masa Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam. Tanpa pemahaman ini, pembaca mungkin kehilangan nuansa dan pentingnya keputusan yang diambil oleh Nabi dalam konteks tertentu.

2. Ketidakmampuan menilai pengaruh lingkungan

Lingkungan geopolitik dapat mempengaruhi kebijakan, strategi dan interaksi sosial pada masa itu. Tanpa memahami geopolitik, pembaca mungkin tidak mampu menilai pengaruh lingkungan tersebut terhadap kehidupan sehari-hari Nabi Sallallahualaihiwasallam dan umat Islam pada saat itu.

3. Kurangnya pemahaman tentang hubungan antara negara dan suku

Sirah Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam melibatkan interaksi kompleks antara pelbagai suku, kabilah dan negara pada masa itu. Pengetahuan geopolitik memungkinkan pembaca untuk melihat dinamika kompleks ini dan bagaimana hubungan antara negara dan suku memainkan peranan dalam perkembangan sejarah.

4. Kurangnya pengetahuan terhadap konteks budaya

Tidak dapat lari, geopolitik juga mencakup aspek-aspek budaya dan etnik. Tanpa memahami konteks budaya, pembaca mungkin kurang dapat menghargai kerencaman dan kekayaan budaya pada masa itu, yang dapat mempengaruhi pengambilan keputusan Nabi dan peristiwa sejarah lainnya.

Justeru, dengan memasukkan pemahaman tentang geopolitik dalam membaca sirah, pembaca dapat memperoleh wawasan yang lebih mendalam tentang tantangan, perjuangan dan keputusan yang dihadapi oleh Nabi Muhammad  Sallallahualaihiwasallam.

Hal ini membantu menghindari penafsiran yang dangkal dan memberikan apresiasi yang lebih baik terhadap kesukaran sejarah Islam pada masa itu.

Membaca sirah tanpa melibatkan kefahaman tentang geopolitik ketika itu akan menyebabkan sirah difahami dalam bentuk barisan fakta dan angka semata-mata.

Kefahaman tentang geopolitik itu penting

Dr Tareq al-Suwaidan dalam sesi Public Lecture: Navigating The Future Analysis of Geopolitics and Fostering Hope For The Ummah menerangkan bahawa sirah dan dakwah Rasulullah Sallallahualaihiwasallam mestilah difahami dengan mengetahui situasi politik, ekonomi dan struktur sosial masyarakat Makkah dan dunia sebelum kedatangan Islam.

“Kota Makkah mungkin pernah digambarkan kepada kita sebelum Islam sebagai sebuah kota miskin walaupun menjadi tumpuan para pedagang. Hakikatnya, kota Makkah merupakan sebuah kota metropolitan yang sibuk dengan aktiviti perdagangan.”

Beliau berkata, bukti yang jelas adalah sebagaimana yang digambarkan dalam al-Quran, Surah al-Jumu’ah tentang ingatan agar umat Islam menyahut seruan solat Jumaat dan meninggalkan urusan jual beli.

“Kita boleh bayangkan kesibukan aktiviti perniagaan yang berlaku bukan sahaja melibatkan hasil dagangan tempatan, akan tetapi yang datang dari negara sejauh negara China melalui Laluan Sutera.”

Menurutnya, suatu waktu dulu, jalan utama untuk perdagangan ialah Jalan Sutera; bermula di China, melalui pertengahan Asia, hingga melalui laluan lainnya seperti India.

“Perdagangan utama pada waktu itu berfokus kepada dua barangan iaitu sutera dari China dan rempah-ratus dari India. Industri sutera hanya dikenali di China. Tidak ada orang lain yang tahu bagaimana untuk mengeluarkan sutera dengan harganya ketika itu lebih mahal daripada emas. Harga 1 kilogram lada hitam dari India juga dinilai lebih mahal daripada harga 1 kilogram emas.”

Program yang dianjurkan oleh HIKAM (Himpunan Gerakan Islam Malaysia) dan dihadiri lebih 300 orang itu membicarakan tentang Analisis Masa Depan Geopolitik dan Membangunkan Harapan untuk Ummah.

HIKAM diasaskan daripada gabungan empat NGO Islam yang aktif di Malaysia iaitu HALUAN (Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia), IKRAM (Pertubuhan IKRAM Malaysia), WADAH (Wadah Pencerdasan Umat Malaysia) dan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia). 

Dr Tareq al-Suwaidan ialah seorang pendakwah Muslim yang berasal dari Kuwait. Beliau lebih dikenali dengan karyanya dalam bidang motivasi dan pengembangan peribadi dengan fokus pada nilai-nilai Islam.

Beliau memiliki ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan elektrik dari Amerika Syarikat dan ijazah kedoktoran dalam bidang perniagaan antarabangsa.

Selepas pulang ke Kuwait, beliau memulakan kerjayanya dalam bidang pendidikan, perundingan dan motivasi serta aktif memberi ceramah dan syarahan di pelbagai acara di seantero dunia.

Meneroka pelbagai sirah dan sejarah

Dengan mengabdikan diri membaca sejarah, meneliti kebijaksanaannya dan menyelidiki hukum-hukumnya, orang yang bijak dan arif dapat menjangka masa depan kerana tidak ada cara untuk menjangka apa yang akan datang kecuali dengan mengkaji apa yang telah berlalu dan hal itu pun sudah memadai.

Ia mempunyai manfaat yang besar dan sama sekali tidak bercanggah dengan pengetahuan yang ghaib, malah jangkaan-jangkaannya adalah berdasarkan kajian.

Individu seperti ini mengenal pasti dan mengamalkan pengalaman yang betul serta dapat menjana manfaat. Dia melihat ke dalam kesilapan orang terdahulu dan cuba mengelakkannya kerana tidak ada faedah untuk mengulangi kesilapan sebelumnya.

Jika hal yang serupa berlaku dalam kehidupan kita di alam realiti, ia akan mengajar kita bahawa kesilapan hari ini bukanlah sesuatu yang akan dilakukan esok, sebaliknya kesilapan itu harus kita perbaiki sewajarnya.

Dengan mempelajari sejarah, seseorang itu dapat mengenali kawan dan lawan, belajar bagaimana lawannya berfikir, apakah kaedah penipuannya dan bagaimana dia merancang untuk menentangnya.

Tidak terkecuali, sejarah membantu semua penyelidik dan pakar mengesan laluan kepakaran mereka, bagaimana ia berkembang dan bercabang dan apakah keperluan yang membawa kepada kemunculan sains itu.

Hal ini banyak membantu dalam membangunkan kurikulum sains dan menambah perkara baharu kepada mereka dengan cara yang lebih jelas dan tepat.

Sejarah memberi penerangan tentang gerakan agama dan politik serta hubungan dialektik antara mereka, matlamat yang membawa kepada pergerakan tersebut, punca dan objektifnya.

Apa yang memungkinkan lagi ialah sejarah memberi setiap seorang itu pelbagai teladan dalam banyak bidang dan semua peringkat untuk melahirkan generasi yang mempunyai personaliti teguh yang berbangga dengan sejarah mereka, yang bukan hanya ilusi apalagi mitos, serta hidup secara realiti, bukan fantasi.

Justeru, tidak dapat tidak sejarah mahupun sirah kekal sebagai guru terbesar sepanjang zaman dan sesiapa yang tidak mengambil berat tentang sejarah, tidak mempunyai identiti dan bebannya terus kosong dan bergantung kepada orang lain.

Mereka terpesona dengan orang lain dan selalu dikalahkan, sebagaimana kata-kata tokoh terdahulu, “Orang yang kalah sentiasa mengikut mereka yang dominan.”

Muhammad diutuskan membawa misi yang besar

Menurut Dr Tareq lagi, bukti yang jelas terdapat dalam Surah Quraisy tentang “Li-iilaf” (لِإِيلَافِ) iaitu perjanjian perdagangan import eksport yang berlaku pada musim panas dan musim sejuk. Dikhabarkan barang dagangan yang dibawa melalui Jalan Sutera hinggalah ke kota Makkah melibatkan beratus ribu unta.

“Kita dapat membayangkan kekuatan, kekukuhan pentadbiran dan kekuasaan golongan Quraisy yang memerintah Makkah pada ketika itu. Kekuatan penguasaan mereka pada waktu itu turut disandarkan kepada penyembahan berhala dan kepercayaan nenek moyang yang diwarisi secara turun-temurun.”

Dalam suasana geopolitik dan sosioekonomi sebegitu, Nabi Muhammad  Sallallahualaihiwasallam diutuskan dengan membawa satu misi yang besar – sebuah akidah tauhid yang seratus peratus berbeza daripada amalan masyarakat Arab Quraisy yang telah berakar umbi sejak sekian lama dan sudah menjadi penerimaan pihak-pihak yang mempunyai hubungan perdagangan ketika itu seperti Rom dan Parsi. Maka penolakan yang dahsyat terhadap dakwah ini sudah dapat dijangkakan.

Rom dan Parsi 

Peperangan antara dua kuasa terkuat dunia pada ketika itu, Rom dan Parsi dikatakan berlangsung selama hampir tujuh abad (98 SM hingga 628 M). (Sebagai ingatan, Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam dilahirkan pada 602 M).

Peperangan Rom-Parsi sangat hebat sehingga Parsi memutuskan untuk memotong Jalan Sutera supaya tidak berlaku sebarang perdagangan antara China dan India ke Eropah. 

Tentulah ia menjadi satu bencana buat Eropah. Perang tersebut menyebabkan kedua-dua empayar mengalami kerugian tentera dan ekonomi yang dahsyat. 

Kemusnahan yang lebih tinggi dialami oleh Parsi kerana mereka berada di pihak yang kalah hingga berlakunya perang saudara selepas itu yang terus melemahkan empayar Parsi dan Rom.

Kemenangan ajaib Rom ke atas Parsi juga disebabkan oleh turunnya ayat al-Quran yang meramalkan kemenangan Rom ke atas Parsi walaupun ketika itu Rom bagaikan tiada harapan langsung untuk menang. 

Begitu juga dengan doa daripada Rasulullah Sallallahualahiwasallam yang memohon agar Allah menghancurkan kerajaan Parsi akibat tindakan jahat Shah Kisra II yang bertindak mengoyakkan surat seruan dakwah Rasulullah Sallallahualaihiwasallam melalui Abdullah bin Huzafah.

Isi surat Rasulullah Sallallahualaihiwasallam adalah seperti berikut:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Daripada Muhammad SAW utusan Allah untuk Kisra, pembesar Persia. Sejahteralah kepada sesiapa yang mengikuti petunjuk dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang satu dan tidak ada sekutu bagi-Nya dan bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.”

“Dan aku menyeru engkau dengan seruan Allah sesungguhnya aku adalah Rasul kepada manusia keseluruhannya, agar aku memberi peringatan bagi sesiapa yang hidup dan membenarkan perkataan ke atas orang-orang kafir, maka masuklah kamu ke dalam Islam nescaya engkau akan selamat, maka jika engkau enggan maka sesungguhnya ke atas engkau dosa Majusi.”

Rasulullah SAW telah melantik Abdullah bin Huzafah as-Sahmi untuk membawa surat tersebut kepada Raja Parsi.  (Lihat Kelengkapan Tarikh Nabi Muhammad II., hlm. 394). As-Sahmi menyerahkannya kepada pembesar Bahrain. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada pembesar Bahrain itu menguruskan seseorang yang lain untuk menyampaikannya kepada Kisra.

Walau bagaimanapun, selepas Kisra membaca surat tersebut, dikoyaknya surat itu dan dengan angkuh dia berkata, “Hamba yang hina dari kalangan rakyat jelataku berani menulis namanya sebelum namaku!”

Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda:

مَزَّقَ اللَّهُ مُلْكَهُ

“Semoga Allah mengoyakkan kerajaannya.” (Lihat I‘lam al-Sa’ilin ‘an Kutub Sayyid al-Mursalin, hlm. 66; Tarikh al-Islam, 1/377; Zad al-Ma‘ad, 3/601; al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/143)

Bencana Besar Eropah

Maka, berlakulah sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah Sallallahualaihiwasallam itu.

Di pihak empayar Rom, walaupun kehilangan ramai tentera dan berlaku kemerosotan ekonomi, moral penduduk dan askarnya semakin meningkat akibat kemenangan menakjubkan tersebut hingga menobatkan Maharaja Heraclius antara maharaja Rom terhebat yang pernah wujud.

Tetapi statusnya tercalar selepas lahirnya seorang individu genius yang lebih hebat berbanding Maharaja Heraclius iaitu Pedang Allah, siapa lagi kalau bukan Khalid al-Walid.

Akhirnya Eropah memutuskan untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan membuat Jalan Sutera Utara melalui Siberia dan tidak perlu melalui Parsi. Bagaimanapumn, ia hanya berguna pada musim sejuk sahaja.

Dalam pada itu, Parsi memutuskan untuk memotong jalan dengan menduduki tanah di utara Siberia. China, India dan Teluk India membawa barang-barang dagangan ke Aden, kemudian melalui Laut Merah ke Gaza dan juga Eropah.

Parsi tidak suka situasi tersebut, lantas memutuskan untuk mengambil alih Yaman. Maka sehingga kini barang-barang dagangan dikumpulkan di Aden tetapi tidak boleh dibawa ke Eropah, sebagaimana yang dikawal pemerintah Houthi di Yaman hari ini. 

Berikutan keadaan tersebut, barang dagangan menjadi banyak di Yaman dan menjadi sangat murah, manakala di Gaza menjadi sangat terhad dan mahal hingga terjadi bencana ekonomi yang besar bagi Eropah.

Dalam penyampaiannya, Dr Tareq menjelaskan geopolitik dengan menelusuri sejarah sebelum kedatangan Islam, ketika berlaku pertembungan kuasa-kuasa besar (Parsi dan Rom) hingga mengakibatkan masalah geopolitik yang hebat dan menggugat perdagangan dunia. 

Dengan berlakunya tragedi pertelingkahan kuasa-kuasa dunia, Makkah muncul menjadi pusat ekonomi dan agama terpenting. Ramai saudagar kaya berasal dari Makkah. Saidatina Khadijah adalah antara saudagar berharta tersebut sehingga disebutkan kekayaannya bersamaan dengan harta seluruh masyarakat Quraisy.

Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam mempunyai pemahaman geopolitik yang sangat baik. Kecekapan baginda dibuktikan apabila berjaya merangka strategi-strategi yang berkesan sehingga Islam berkembang daripada golongan minoriti yang tertindas hingga menjadi kuasa yang digeruni dan disanjung tinggi.

“Jadi, sedarlah kita bahawa sejarah dipelajari bukan untuk kita tinggal di situ, tetapi untuk diambil iktibar dan membuat jangkaan tentang masa depan,” ujar Dr Tareq.

Begitulah sirah, keadaan geopolitik yang begitu besar, berjela panjangnya, yang seharusnya kita telusuri sejarahnya, agar kita lebih tahu dan memahami situasi yang terjadi hingga kegemilangan Islam kembali dikecapi pada suatu waktu yang telah ditentukan-Nya nanti, insya-Allah.

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia