Siang hari itu, Khalifah Umar bin al-Khattab terlihat gusar dan kebingungan.
Telah datang mengadu kepadanya seorang warga madinah. Beliau membawa surat hutang dan menuntut hutang daripada seorang sahabatnya. Dalam surat itu, tertulis hutang tersebut sudah jatuh tempoh pada bulan Syaaban.
Kemudian Khalifah Umar bertanya, “Ayyu Sya’ban?” “Bulan Syaaban yang mana?”
“Tahun ini atau tahun lalu?” Lalu warga tersebut tidak dapat menjawabnya.
Orang Arab zaman dahulu tidak mempunyai perkiraan sistematik untuk mengira tahun. Maka, mereka menggunakan peristiwa besar sebagai rujukan tahun tersebut.
Oleh sebab itu, dalam sirah, kita temukan mereka mengatakan Nabi SAW lahir pada Tahun Gajah (Peristiwa Abrahah). Contoh lainnya, dikatakan peristiwa Hijrah berlaku padai tahun keempat belas kenabian.
Sejak peristiwa itu, Khalifah Umar sedar perlunya diletakkan suatu penanda aras yang tepat agar dapat menghitung bulan dan tahun dengan lebih baik.
Selepas bermusyawarah, maka dipilihlah tahun berlakunya Hijrah sebagai awal kalendar umat Islam dan bulan Muharam sebagai bulan pertama.
Begitulah secara ringkasnya yang telah ditulis oleh Imam Ibnu Kathir di dalam kitab Al-Bidayah Wan Nihayah tentang bermulanya ditetapkan kalendar Hijrah umat Islam.
Ia merupakan peristiwa yang sangat bersejarah kerana ia juga merupakan satu titik tolak menuju terbentuknya negara Madinah.
1. Kesejahteraan Akidah dan Iman Jadi Keutamaan
Tatkala Nabi menerima perintah untuk berhijrah, Nabi memahami bahawa dakwah kepada Allah SWT dan menyelamatkan akidah kaum Muslimin perlu menjadi keutamaan.
Para sahabat yang setia bersama Nabi Muhammad SAW, menyambut seruan hijrah itu walaupun terpaksa berkorban meninggalkan kampung halaman yang tercinta.
Bahkan mereka meninggalkan ahli keluarga, tempat tinggal, perniagaan serta harta kekayaan yang sudah dikumpulkan sejak berpuluh tahun.
Mereka telah membuktikan, pengorbanan itu dilakukan hanya kerana Allah dan kesejahteraan iman mereka. Di sini, kita menghayati semula makna sebuah hadis yang sering kita pelajari.
“Maka, sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya,” (HR Bukhari dan Muslim)
2. Kerja Berpasukan Syarat Kejayaan
Peristiwa Hijrah juga mengajarkan kita semangat berpasukan dengan disiplin yang sangat tinggi. Para sahabat memainkan peranan masing-masing dengan cemerlang.
Ali Bin Abi Talib, sepupu Nabi yang muda lagi berani ini, ditugaskan berbaring di atas katil Nabi pada malam peristiwa Hijrah. Nyawanya menjadi taruhan, namun keberaniannya mengatasi segala ketakutan.
Amir Bin Fuhairah, beliau adalah hamba kepada Abu Bakar. Tugasnya menghapus jejak Nabi dengan membawa kambing ternak melalui trek yang dilalui oleh Nabi.
Abdullah bin Abu Bakar, anak Abu Bakar ini menyediakan khidmat perisikan kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau akan datang ke Gua Thur setiap malam untuk melaporkan berita dari Makkah.
Abdullah Bin Uraiqit, seorang kafir Quraisy dan pakar navigasi di padang pasir. Beliau juga seorang yang amanah kerana dapat menjaga kerahsiaan perjalanan Nabi.
Abu Bakar, tentunya perlu kita hargai jasa dan pengorbanan beliau. Nabi sendiri memilih Abu Bakar untuk menemaninya.
Persahabatan ini diabadikan dalam al-Quran Surah at-Taubah, ketika Abu Bakar sedih dan khuatir akan keselamatan baginda Nabi saat kedua-duanya bersembunyi di Gua Thur.
Nabi menenangkan sekali gus menguatkan hati Abu Bakar dengan ucapan:
“La Tahzan, innallaha ma’ana.” “Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”
3. Pengorbanan Wanita Menjayakan Misi Hijrah
Antara sebahagian wanita yang membantu secara langsung dalam peristiwa Hijrah adalah Aisyah binti Abu Bakar dan Asmaa’ binti Abu Bakar.
Dua orang puteri Abu Bakar ini mempersiapkan bekalan makanan untuk Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar.
Gelaran ‘Zatun Nithaqain’ (Sang pemilik dua tali pinggang) telah disematkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Asmaa’ binti Abu Bakar disebabkan peristiwa ini.
Asmaa’ ditugaskan untuk menghantar makanan kepada Nabi Muhammad SAW serta ayahnya yang bersembunyi di Gua Thur. Asmaa tidak mempunyai tali untuk mengikat makanan kepada untanya.
Lantas, beliau mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua bahagian; satu untuk mengikat pinggangnya, satu lagi untuk mengikat bekalan makanan pada unta.
Perjalanan dari Makkah ke Gua Thur berjarak sekitar empat kilometer, manakala tinggi Gua Thur sekitar 500 meter. Perjalanan menuju puncak bukit Gua Thur mengambil masa lebih kurang satu jam 30 minit.
Perlu diingat juga bahwa ketika itu Asmaa’ sedang mengandung sekitar tujuh bulan. Betapa pengorbanan dan perjuangan yang luar biasa yang telah dicontohkan oleh Asmaa’.
Pertanyaannya kini adalah, masih mengalirkah darah perjuangan Asmaa’ binti Abu Bakar dalam diri kita hari ini?
4. Konteks Hijrah Masa Kini
Peristiwa Hijrah menjadi bukti kerjasama, pengorbanan dan kesatuan para sahabat menjadi tunjang kejayaan misi Hijrah.
Selain itu, peranan mereka menjadi bersejarah kerana kelak ia menjadi asas kepadanya terbentuknya negara Madinah, sebuah masyarakat madani (civil society) dengan masyarakat majmuk di bawah pemerintahan Islam.
Oleh itu, mari melatih diri kita untuk berkorban harta, masa, tenaga mahupun pemikiran kita untuk agama, bangsa dan negara.
Terakhir, kekalkanlah kerja berpasukan yang tersusun dan laksanakan amanah yang dipikulkan pada pundak kita sehabis baik, kerana bukan mustahil, amanah yang kita lakukan dengan ikhlas itu yang menghantar kita ke syurga.
Semoga Allah SWT memberi taufik dan petunjuk-Nya kepada kita untuk meneladani pengorbanan sahabat dalam peristiwa Hijrah demi terbentuknya negara Madinah.
Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia