Penjaga Juga Pesakit Yang Perlu Bantuan, Sokongan

Penjaga Juga Pesakit Yang Perlu Bantuan, Sokongan | IKRAM

Malaysia dijangka akan mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 apabila lebih 15 peratus daripada populasi negara adalah penduduk berusia 60 tahun ke atas berdasarkan unjuran data perangkaan Malaysia [1].

Pada usia yang semakin lanjut, kesepian mudah menjentik emosi dan kehilangan nikmat dunia satu persatu ditarik perlahan-lahan. 

Namun, nikmat kesihatan mental dan fizikal yang masih baik dapat membantu mengekalkan fungsi dalam menjalani hidup yang berkualiti serta bermanfaat dengan sokongan berterusan daripada ahli keluarga dan masyarakat.

Peningkatan populasi hayat usia penduduk yang kebiasaannya terkait dengan isu kesihatan tentunya akan berikan tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan negara yang dilihat masih terdapat banyak kelompongan terutamanya dalam aspek kebajikan caregiver atau penjaga tidak formal di Malaysia.

Dianggarkan 5.1 peratus populasi Malaysia adalah dalam kalangan penjaga warga emas, pesakit kronik atau orang kurang upaya (OKU) [2].

Kebanyakan penjaga tidak formal ini adalah dalam kalangan keluarga terdekat seperti pasangan, adik-beradik ataupun anak yang menjaga atas faktor kasih sayang di samping atas dasar rasa bertanggungjawab.

Wanita bekerja mengambil sejumlah peranan yang signifikan sebagai majoriti penjaga tidak formal yang sudah tentunya memberikan gambaran pergelutan tanggungjawab yang diharapkan dapat diselesaikan dengan sempurna dan kasih sayang.

Tanggungjawab Berat Penjaga

Namun, manusia tetap manusia yang boleh keluar daripada perwatakan normalnya apabila ditekan secara terus-menerus. Tanggungjawab seorang penjaga tidak formal adalah berat dan boleh membawa kepada kelesuan yang tidak bertepi. Selagi mata berjaga, tugas tidak pernah selesai.

Tanggungjawab yang dilaksanakan boleh meliputi kepada penjagaan diri individu dan kehidupannya secara menyeluruh.

Ia bermula daripada tugasan membantu penjagaan kendiri seperti memandikan, berpakaian, mengatur ke tandas, membantu melakukan senaman hingga tugasan menjaga dan menguruskan keperluan asas hidup yang lain seperti menyediakan dan memberikan makanan, menguruskan rumah dan pakaian.

Ini turut termasuk menguruskan pengambilan ubat-ubatan dan menyantuni  masalah kesihatan yang timbul.

Perlu ditekankan bahawa tanggungjawab yang digalas ini kebiasaanya dibuat selari bersama tanggungjawab hidup mereka yang lain seperti komitmen terhadap keluarga sendiri iaitu anak-anak dan pasangan di samping bergelut menguruskan pekerjaan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Tentunya tanggungjawab pelbagai topi yang dipikul secara berpanjangan ini berupaya menjejaskan kualiti kehidupan mereka sendiri dalam jangka masa panjang tanpa adanya sistem sokongan yang mapan.

Maka dalam situasi sebegini, tidak mustahil suatu  tanggungjawab yang asalnya digalas dengan kelembutan dan kasih sayang boleh bertukar menjadi bebanan yang tidak tertanggung.

Keadaan yang memeritkan menjadikan mereka dalam keadaan keletihan yang berlanjutan sehingga boleh mengakibatkan perubahan sikap penjaga daripada empati kepada tidak peduli dan emosi menjadi seolah-olah kebas.

Realiti yang harus diakui dan dilalui oleh kebanyakkan penjagaan tidak formal ini harus mendapat perhatian serius.

Penjaga Terkesan

Satu kajian telah dijalankan terhadap 179 orang penjaga tidak formal oleh sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kajian tersebut mendapati para penjaga mengalami kemerosotan kesihatan mental dan fizikal di samping kualiti kehidupan sosial dan sumber kewangan terjejas. Mereka boleh diumpamakan menjadi pesakit kedua terhadap pesakit yang dijaga.

Hakikatnya, kebanyakan penjaga bergelut mencapai keseimbangan antara komitmen sebagai pekerja dengan tanggungjawab menjaga hingga mereka terpaksa bertoleransi mencari pekerjaan yang boleh memberikan kebebasan masa dan ruang. 

Semua ini dilakukan demi memenuhi tuntutan tanggungjawab utama yang digalas walaupun pekerjaan tersebut tidak stabil dan tidak dapat memberikan manfaat hak pekerja.

Ramai juga yang ambil pilihan berhenti kerja dan ini menyebabkan pendapatan kewangan mereka tidak stabil.

Situasi ini tentunya tidak rahmah buat penjaga yang telah sanggup mengorbankan masa, tenaga dan kewangan mereka dalam tempoh sebahagian besar usia mereka.

Ini termasuk penjaga dalam kalangan penjaga kanak-kanak yang mana situasi ini tidak asing di negara kita yang dikatakan menuju ke arah pembangunan negara yang progesif dan mapan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Dua Kisah Penjagaan

Beberapa bulan dahulu, akhbar pernah melaporkan kisah Muhammad Aliff Najmi Ghalias yang kini berusia 18 tahun memilih untuk berhenti sekolah sejak tiga tahun lalu bagi mencari rezeki untuk menanggung keperluan keluarga termasuk adik-adiknya.

Beliau melakukannya selepas kedua-dua ibu bapanya, Ghalias Muda, 57, dan Che Wan Norizan Che Wan Mohd, 54, ditimpa penyakit saraf dan angin ahmar. 

Kisah anak muda ini tidak janggal di negara ini, malah ada ramai seperti beliau termasuk yang lebih muda di usia sekolah rendah.  

Cerita Mohd Kamal Mohamad Saad yang berhenti kerja dan melepaskan impian hidupnya untuk menjaga kedua-dua ibu bapa tercintanya yang sakit pernah tular di media beberapa bulan lepas.

Perlu Bantuan, Sokongan

Sewajarnya golongan ini diberikan bantuan penerusan hidup yang sejahtera dan penghargaan atas kesediaan serta kesanggupan mereka mengorbankan keselesaan hidup demi menjalankan tanggungjawab.

Bentuk bantuan untuk mereka termasuklah dari sudut sokongan emosi, kewangan dan akses mudah menerima bantuan seperti peralatan perubatan serta latihan bagi menambahkan keupayaan menjaga pesakit.

Banyak kajian membuktikan sokongan-sokongan sebegini mampu meringankan tekanan penjaga tidak formal dan ini sekali gus berjaya meningkatkan kualiti hidup dan individu yang dijaga mereka.

Beberapa amalan untuk mengatasi beban penjaga di negara-negara tertentu telah menunjukkan keberkesanan dalam mencapai kehidupan yang lebih sempurna.

Bank Masa

Amalan time bank atau bank masa yang secara umumnya merupakan sistem barter yang menukar servis perkhidmatan terhadap warga tua kepada kredit yang boleh ditebus dalam bentuk barangan atau perkhidmatan yang boleh didagangkan melalui bank masa.

Ini bermaksud seorang individu yang telah memberikan servis penjagaan kepada warga emas boleh menukar ganti masanya dengan masa untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan ketika beliau memerlukannya pada masa hadapan.

Polisi bank masa telah dilaksanakan di negara seperti Switzerland, Jepun dan Korea Selatan menunjukkan keberkesanan sebagai sistem yang menyempurnakan kesejahteraan sosial.

Penjagaan Sementara

Respite care atau penjagaan sementara di rumah, pusat kesihatan atau rumah orang-orang tua boleh memberikan ruang dan masa kepada penjaga yang dapat memberikan kelegaan kepada penjaga sepertimana perkhidmatan yang ditawarkan oleh Rumah Seri Kenangan dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Malah, lebih baik lagi sekiranya servis seperti ini dapat dilindungi oleh insurans atau takaful untuk meningkatkan kualiti penjagaan.

Di Sweden, hampir kesemua 290 majlis perbandaran menawarkan perkhidmatan respite care di seluruh negara.

Bahkan, mereka turut mempertingkatkan khidmat dengan menawarkan penginapan di hotel berspa dan mengatur penjagaan sehingga sehari atau dua hari kepada para penjaga tidak formal sebagai langkah pengiktirafan dan penghargaan.

Pelepasan cukai, elaun kewangan, perkhidmatan kaunseling, latihan penjagaan dan ziarah ke rumah penjaga mampu meringankan beban di bahu penjaga di samping memberikan kelegaan.

Penjaga tidak perlu rasa berseorangan dan terpinggir dalam perjalanan mereka menyantuni orang-orang tersayang ketika hayat tua.

Rawatan Paliatif

Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia yang disambut pada 8 Oktober 2022 bertemakan Pemulihan Hati dan Komuniti.

Ia dianggap sebagai peristiwa penting dalam memberikan kesedaran dan sebagai langkah mengiktiraf, menghargai serta menyantuni para pemegang taruh, perawat , penjaga tidak formal dan terutamanya pesakit rawatan paliatif.

Rawatan paliatif adalah bidang perubatan yang menolong untuk melegakan kesakitan dan mengurangkan penderitaan pesakit-pesakit kronik yang boleh mengancam nyawa. Penjaga kepada pesakit paliatif juga perlu dibantu dan disokong agar mereka tidak terbeban dan burnout.

Sokongan ahli keluarga, komuniti dan dikuatkan dengan langkah pengukuhan polisi dan dasar di pihak kerajaan mampu menjadikan Malaysia sebagai masyarakat yang penyayang dan harmoni yang mana hak individu diambil berat, dianggap penting dan dilindungi.

Caregiver (penjaga) juga adalah golongan rentan yang perlukan pembelaan  yang berpotensi besar menjadi pesakit kedua yang tidak kelihatan, sengsara mereka tersembunyi dan mungkin dilupakan sehingga berasa terpinggir menderita sendirian.

Saidatina Khadijah r.a. pernah mengungkapkan kata-kata berikut ketika memujuk Nabi SAW yang sedang diuji perasaannya setelah menerima wahyu pertama:

“Jangan takut! Demi Allah! Tuhan sekali-kali tidak akan membinasakan kamu (Nabi Muhammad SAW). Kamu selalu menghubungkan tali persaudaraan, berkata benar, membantu orang yang sengsara, memuliakan tetamu, menolong orang yang kesusahan kerana menegakkan kebenaran.” (HR Bukhari, No. 6982)

Dr Diana Katiman
Pakar Perubatan Perawatan Paliatif
Ahli Jawatankuasa Pusat, Pertubuhan IKRAM Malaysia

Rujukan:

[1]Journal: Malaysia towards an aging country

[2] Suhana Jawahir, Ee Hong Tan, Yeung R’ong Tan, Sarah Nurain Mohd Noh & Iqbal Ab Rahim. (2021). The impacts of caregiving intensity on informal caregivers in Malaysia: finding from a national survey. BMC Health Services Research. 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia