Pengurusan Emosi Marah Bendung Buli di Tempat Kerja

Pengurusan Emosi Marah Bendung Buli di Tempat Kerja | IKRAM

Merujuk kepada landskap pekerjaan moden, pengurusan emosi telah menjadi aspek yang semakin penting untuk diberi perhatian, terutama dalam menguruskan emosi marah di tempat kerja. 

Setiap manusia normal akan mengalami pengalaman emosi yang pelbagai sama ada gembira, sedih, kecewa, teruja dan sebagainya. Emosi marah adalah salah satu emosi yang tidak dapat dielakkan oleh individu terutamanya pada zaman yang mencabar ini. 

Dalam konteks pekerjaan, perasaan marah boleh timbul disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya seperti tekanan kerja, ketidakpuasan hati antara majikan dan pekerja dan ketidakseimbangan antara masa kerja dan hubungan peribadi.

Sebagai seorang pekerja, adalah normal untuk mengalami emosi marah, namun cara kita menguruskan emosi ini dapat memberi impak besar terhadap kehidupan profesional dan hubungan kita bersama teman di tempat kerja. 

Emosi marah yang tidak dapat dikawal dengan baik boleh menjadi pemicu kepada situasi buli, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Seorang pekerja yang tidak dapat menguruskan emosi marah dengan baik mungkin boleh bertindak sebagai pembuli kepada rakan sekerja yang lain.

Mereka yang sering menjadi mangsa emosi marah juga boleh menjadi pembuli kepada ahli keluarga apabila pulang ke rumah kerana mereka tidak dapat melepaskan tekanan setelah menjadi mangsa buli oleh rakan sekerja atau pihak atasan.

Buli di tempat kerja adalah isu serius yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal pekerja dan ia bukanlah isu yang boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak.

Merujuk kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, sebanyak 37 peratus atau 54 juta pekerja dibuli di pejabat atau berulang kali dianiaya dengan cara yang menjejaskan kesihatan mereka.

Antara perlakuan buli di tempat kerja yang sering dilakukan ialah gemar mengarah orang lain, bersikap seperti bos, tidak mengaku salah, mengata belakang dan menuding jari kepada orang lain bagi kesalahan yang dilakukan sendiri. Pembuli juga sering mempamerkan rasa seronok melihat kesengsaraan orang lain. 

Pengurusan emosi marah dapat berperanan sebagai perisai kunci bagi pekerja yang ingin melindungi diri daripada perlakuan buli di tempat kerja.

Apabila seseorang mampu mengenal pasti punca emosi marah, menguruskan reaksi mereka dan berkomunikasi dengan efektif, secara tidak langsung mereka dapat mengurangkan risiko menjadi pembuli atau mangsa buli. Pengetahuan ini juga penting apabila berhadapan dengan ketidakadilan di tempat kerja.

Antara langkah penting yang perlu diambil oleh pekerja dalam menyuburkan pengetahuan pengurusan emosi marah adalah meningkatkan tahap kecerdasan emosi dalam diri. 

Kecerdasan emosi adalah konsep yang dipopularkan oleh Dr Daniel Goleman yang merujuk kepada kebolehan mentafsir, memahami, menguruskan emosi diri dan orang di sekeliling.

Keadaan ini dapat ditafsirkan sebagai sentiasa bersikap tenang di bawah tekanan, membantu orang lain untuk berasa selesa dan memahami bagaimana tingkah laku diri boleh mempengaruhi persekitaran sekeliling. 

Pakar Psikiatri UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Nor Jannah Nasution Raduan pula menyatakan bahawa perilaku mempamerkan rasa marah dengan reaksi negatif menunjukkan seseorang mempunyai masalah kekurangan kecerdasan emosi.

Oleh itu, dapat dilihat bahawa pekerja yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi adalah lebih fleksibel, serba boleh, bersemangat dan produktif. Kecerdasan emosi sebenarnya lebih penting berbanding kemahiran dan kelayakan.

Ketinggian tahap kecerdasan emosi juga dapat mendorong seseorang untuk lebih beradab dan bertatasusila walau di mana juga dia berada.

Keadaan ini pastinya secara tidak langsung menyanjungi pelaksanaan Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan dan memasakkan nilai Malaysia MADANI iaitu kesejahteraan, hormat dan ihsan. 

Selain itu, individu yang menguasai ilmu pengurusan emosi cenderung mempunyai hubungan kerja yang lebih baik dengan rakan sekerja dan pihak atasan.

Kesejahteraan pekerja di Malaysia sebenarnya telah dilindungi dengan pelbagai akta seperti Akta Kerja 1955 [Akta 265], Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177], Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] dan lain-lain lagi.

Oleh itu, adalah penting bagi setiap pekerja untuk cakna dengan segala undang-undang dan polisi yang telah digubal bagi melindungi mereka dan kesejahteraan mereka. 

Aspek lain yang menjadi teras dalam mengatasi konflik di tempat kerja adalah penguasaan komunikasi dua hala yang berkesan. Mangsa buli yang mahir dalam komunikasi berkesan dapat menyuarakan ketidakpuasan atau kekecewaan mereka tanpa menyakitkan hati pihak lain.

Situasi ini pastinya akan membuka peluang untuk dialog secara terbuka demi mendapatkan persetujuan bersama untuk mengatasi konflik yang timbul. Interaksi secara jujur dan ketara mampu mengelakkan mana-mana pihak untuk merasa dimanipulasi.

Hal ini secara tidak langsung dapat menjaga keadilan dan integriti, seterusnya membuka peluang kepada penyelesaian masalah yang lebih baik.   

Secara kesimpulannya, ilmu pengurusan emosi marah adalah salah satu kemahiran penting dalam dunia pekerjaan moden. Berbekalkan ilmu ini, setiap pekerja mampu melindungi diri daripada risiko buli di tempat kerja.

Natijahnya, mereka akan dapat memperkuat diri, mengurangkan risiko konflik dan menjaga kesejahteraan mental serta emosi mereka di tempat kerja. Keadaan ini secara langsung membentuk lingkungan kerja yang positif dan membawa kepada pertumbuhan bersama.

 

Nur Faathinah Mohammad Roshdan
Pensyarah Bahasa Inggeris
Akademi Pengajian Bahasa
 UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau

Nurul Nisha Mohd Shah
Pensyarah Komunikasi
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia