Bulan Zulhijah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam dan amalan-amalan soleh pada 10 hari awalnya merupakan hari-hari terbaik yang paling disukai oleh Allah SWT.
“Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini (iaitu 10 hari terawal Zulhijah).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (HR Abu Dawud, No. 2438, Sahih)
Istimewanya bulan ini kerana jutaan umat Islam berada ke Tanah Suci Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadat haji, manakala puasa sunat Arafah digalakkan dan ibadah korban disyariatkan pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijah) dan hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah).
Pengorbanan Menuntut Keikhlasan
Sejarah ibadah korban ini adalah daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. terhadap anaknya, Nabi Ismail a.s. yang dirakamkan dalam al-Quran. Hasil keikhlasan baginda mentaati perintah korban itu, Allah SWT menggantikan anaknya dengan seekor kibas.
Melalui buku-buku sirah, kita dapat hayati perjalanan hidup para nabi terdahulu, Rasulullah SAW, para sahabat serta ulama dan pendakwah kemudiannya, yang sanggup berkorban harta dan jiwa dalam menyampaikan risalah Islam dan melakukan islah kepada masyarakat.
Hasil pengorbanan itu, kini agama Islam berkembang ke seluruh dunia dengan anggaran lebih 1.8 bilion penganutnya.
Dalam pengorbanan, jiwa, harta, masa dan nyawa serta segala-galanya perlu disumbangkan demi mencapai sesuatu matlamat yang murni. Pengorbanan tersebut mestilah didasari dengan keikhlasan dan takwa agar ia diterima Allah SWT.
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.” (Al-Hajj: 37)
Keluasan Pengorbanan
Istilah pengorbanan mempunyai ufuk makna yang luas dan menyeluruh merangkumi pelbagai peringkat, sudut dan konteks yang tersendiri.
Kita menghargai pengorbanan para pahlawan dan pemimpin negara terdahulu yang berjuang dan berusaha membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan sehingga mencapai kemerdekaan.
Dari konteks perpaduan, pemimpin dan rakyat perlu mengorbankan sikap-sikap negatif seperti ego, taasub, rasis dan prejudis untuk mewujudkan keharmonian antara kaum dan agama.
Oleh yang demikian, sentimen perkauman dan agama yang melampau perlu dielakkan demi mewujudkan kestabilan serta perpaduan negara.
Ibu bapa pula berkorban bekerja, membesarkan anak dan memberi belanja untuk keperluan keluarga. Pengorbanan ini amat signifikan kerana keluarga adalah tonggak yang akan membina generasi masa depan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara. Keluarga yang utuh akan membina negara yang utuh.
Di tahap yang lebih tinggi, pengorbanan amat penting dalam aspek pembinaan negara. Pemimpin seharusnya berkorban untuk rakyat, berkhidmat kepada mereka serta melakukan reformasi dan penambahbaikan demi masa depan negara.
Pemimpin negara sekarang perlu mempunyai kehendak politik (political will) yang kuat untuk melaksanakan tuntutan reformasi daripada masyarakat sivil yang telah pun dipersetujui oleh sebahagian pemimpin negara suatu ketika dahulu.
Sebagai contoh, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Integriti, Governans dan Antirasuah (KRPPM-IGAR) menyasarkan tiga cadangan reformasi institusi dan perundangan untuk segera dilaksanakan dalam penggal Parlimen ini.
Cadangan tersebut ialah pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Sudah pasti pelaksanaan reformasi tersebut memerlukan pengorbanan masa dan tenaga pelbagai pihak untuk menjadikan tuntutan-tuntutan itu suatu realiti.
Begitu juga rakyat seharusnya berkorban untuk menyumbang kepada pembangunan negara melalui sektor awam, swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.
Semangat rakyat membantu rakyat serta rakyat bersama-sama membina negara seharusnya dipupuk demi masa depan negara yang lebih baik dan cerah.
Buang Sikap Negatif
Sentimen agama dan perkauman semakin marak diitiup menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri tidak lama lagi, walaupun tarikhnya belum diumumkan dan kempennya pun belum bermula secara rasmi.
Mengambil ibrah pengorbanan sempena Hari Raya Aidiladha, umat Islam terutamanya perlu membuang sikap negatif yang boleh meningkatkan sentimen kaum dan agama, sebalknya mereka mesti menyuburkan sikap rahmah dan mempamerkan akhlak yang mulia.
Rakyat tetap mengharapkan hidup yang harmoni, sama ada sebelum, semasa ataupun selepas PRN. Oleh itu, janganlah dikorbankan keharmonian ini semata-mata ingin meraih keuntungan politik dengan cara yang tidak bermoral.
Hidup dalam kepelbagaian kaum dan agama di negara ini memerlukan sikap ihsan, saling mengenali, memahami dan menghormati, serta saling membantu sesama rakyat.
Kata-kata Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn sewajarnya dijadikan peringatan untuk kita semua sebagai rakyat Malaysia agar terus memelihara perpaduan yang ada.
“Sambil kita membangun, kita mestilah pada masa yang sama berhati-hati terhadap anasir-anasir yang boleh melemahkan dan yang wujud di kalangan kita. Kita mestilah bersedia dan berkorban dan mengekalkan usaha-usaha untuk mengatasi anasir-anasir ini. Perpaduan negara dan cara hidup kita adalah perkara yang terlalu penting untuk diabaikan.” (Dewan Rakyat, 19 Mac 1979, Arkib Negara)
Untuk hidup dalam keharmonian, ia memerlukan pengorbanan semua. Oleh itu, nilailah sejauh mana pengorbanan kita untuk membina negara dan mendidik generasi akan datang demi kemakmuran, kemajuan, kesejahteraan dan keharmonian bersama.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia