Perpaduan Kaum: Keharmonian Negara di Tahap Mana?

Perpaduan Kaum: Keharmonian Negara di Tahap Mana? | IKRAM

Bila sebut saja negara Malaysia, orang luar akan membayangkan negara yang kaya; kaya dengan aneka rasa makanan, adat resam, agama, budaya dan bahasa, berlatarbelakangkan masyarakat pelbagai etnik, hidup bersatu padu, aman dan harmoni.

Sifat mengutamakan kesatuan melebihi perpecahan yang dipegang oleh rakyat Malaysia menjadi antara sebab negara ini masih menikmati kemananan.

Malah, kesatuan yang dipancarkan dikagumi oleh rakyat luar dan keharmonian ini menjadi tarikan pelancong asing untuk datang ke negara ini.

Walaupun wujud isu perbezaan yang kadangkala menghangatkan negara, namun rakyat Malaysia masih tetap akur tunduk patuh pada undang-undang, sekali gus mengekalkan disiplin rakyat bagi mengekalkan keamanan.

Keteguhan semangat kesatuan adalah berasaskan hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni. Elemen ini amat penting bagi mencapai sebuah negara majmuk yang sejahtera dan aman seperti Malaysia.

Tanpanya, rakyat akan berpecah belah dan negara akan runtuh sepertimana kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh.

Pelihara Keharmonian

Justeru itu, kedamaian dan keharmonian dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum ini sangat penting untuk dipelihara.

Sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian latar belakang, sikap hormat menghormati dan tolak ansur perlu berada pada tahap yang tinggi. Sikap ini perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat di setiap peringkat.

Manusia secara fitrah akan gusar terhadap apa yang tidak diketahuinya. Pemahaman adalah kunci pada suatu penerimaan yang akan menepis segala kegusaran tersebut.

Maka, menjadi kemestian bagi rakyat negara ini untuk memahami budaya, bahasa, agama dan cara hidup setiap kaum yang ada di negara ini. 

Apabila masyarakat saling memahami, maka ruang untuk saling menerima dan bertoleransi akan terbuka lebih luas serta jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan. Secara tidak langsung, tentunya ini dapat memupuk semangat kesatuan dalam masyarakat.

Keharmonian perlu dipelihara, dipupuk dan diterapkan dalam diri bermula daripada diri sendiri dan kemudian diwariskan kepada generasi seterusnya.

Oleh sebab itu, setiap daripada kita bertanggungjawab dan berperanan dalam menjaga keharmonian, kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara yang dicintai.

Provokasi Agama, Perkauman

Namun dari masa ke masa, ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja melakukan provokasi terhadap isu agama dan memainkan sentimen perkauman.

Tentunya perkara ini mampu menggugat keharmonian masyarakat di negara ini apabila keharmonian yang terbina dibaling batu dengan niat untuk merobohkannya.

Pilihan Raya Umum (PRU) sering menjadi medan merosakkan perpaduan rakyat. Segelintir ahli dan parti politik mempermainkan isu ini sebagai senjata politik bagi meraih undi dan sokongan.

Isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama, hate speech (ucapan kebencian) dilaung-laungkan di media sosial terutamanya di TikTok secara bertubi-tubi sehingga ada yang tidak masuk akal dan bersifat tidak berperikemanusiaan.

Malang sekali, semua ini dilontar secara berleluasa semasa kempen PRU15 yang lepas sehingga menimbulkan kontroversi. Tragedi 13 Mei dipetik seakan-akan mahu menggelorakan semangat kebencian sesama kaum.

Berdasarkan penerokaan insiden perkauman, diskriminasi kaum dan xenofobia yang dicatatkan oleh Pusat KOMAS Malaysia, sebanyak 82 insiden telah direkodkan bagi tahun 2022.

Ini merupakan jumlah kes yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumya iaitu tahun 2015 (27 insiden), 2016 (40 insiden), 2017 (49 insiden), 2018 (76 insiden), 2019 (50 insiden), 2020 (21 insiden) dan 2021 (55 insiden). 

Keharmonian Di Tahap Mana?

Sejauh mana perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini memberi impak kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia? Dapatan kajian indeks yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan organisasi berikut dapat menjawab persoalan ini.  

1. Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI)

Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) terdiri daripada 13 komponen utama. Penanda aras ini digunakan untuk mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), MHI 2021 mencatatkan skor tahap bahagia pada 6.48. 

Menariknya, dapatan kajian turut mendapati hampir keseluruhan negeri dan Wilayah Persekutuan mencatatkan skor melebihi paras Bahagia dan turut mencapai Sangat Bahagia.

Tiga komponen yang merekodkan skor indeks tertinggi adalah komponen keluarga (7.23), diikuti komponen kerohanian (7.21) dan seterusnya komponen kesihatan (6.75). 

Secara keseluruhannya, kesemua 13 komponen berada pada tahap bahagia dengan nilai skor berada antara 6.04 hingga 7.23. MHI mengikut kumpulan etnik di Malaysia pula berada pada tahap bahagia dengan nilai skor di antara 6.28 hingga 6.50.

Menurut World Happiness Report 2021, Malaysia menerusi skor 5.384 berada di kedudukan tangga pertengahan ke-79 daripada keseluruhan 146 negara.

2. Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM)

Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) terdiri daripada dua subkomposit kesejahteraan iaitu ekonomi dan sosial yang bertujuan untuk mengukur tahap kesejahteraan rakyat Malaysia. Indeks berkenaan mempunyai 14 komponen yang merangkumi 25 petunjuk ekonomi dan 41 petunjuk sosial

Kajian IKRM yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2021 menunjukkan kesejahteraan rakyat Malaysia semakin baik apabila meningkat dari 117.7 (2020) kepada 119.2 (2021). Ini merupakan peningkatan sebanyak 1.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Daripada 14 komponen IKRM, komponen tertinggi yang menyumbang kepada peningkatan indeks ini adalah indeks tadbir urus (6.8 peratus), seterusnya diikuti oleh kebudayaan (6.4 peratus), keselamatan awam (3.4 peratus), alam sekitar (2.7 peratus) serta pendapatan dan pengagihan (2.4 peratus).

Berdasarkan Quality of Life Report 2020 & 2021, Malaysia berada pada kedudukan ke-52 pada tahun 2021 dengan skor 116.94, merosot dua anak tangga daripada tahun 2020 apabila pernah berada pada tangga ke-50 melalui skor 118.44.

3. Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR)

Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) merupakan usaha menilai pandangan masyarakat terhadap tahap pencapaian negara menuju ke arah menjadi sebuah Negara Rahmah berdasarkan 12 ciri negara rahmah yang telah digariskan. 

IMNR 2022 yang dijalankan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mendapati penskoran pencapaian negara rahmah berada pada tahap sederhana dengan capaian skor 6.47.  Ini boleh dianggap sebagai penanda aras kepada kerajaan dalam usaha membangunkan negara selaras dengan gagasan Malaysia MADANI. 

Skor terkini (2022) menunjukkan peningkatan daripada tahun 2021 dengan catatan skor 6.09. Kajian ini melibatkan 2,012 orang responden yang melibatkan tinjauan pandangan masyarakat Malaysia terhadap situasi negara dalam pelbagai aspek. 

Hasil kajian mendapati tiga skor tertinggi bagi IMNR 2022 adalah Institusi Keluarga Yang Utuh (7.66), Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni (7.40) serta Masyarakat yang Berilmu, Berakhlak dan Penyayang (7.32). 

Skor yang terendah pula ialah Tadbir Urus yang Baik (5.68), Ekonomi yang Mampan (5.76) dan Kepimpinan yang Kompeten dan Berintegrasi (5.80).

Dapatan ini jelas memberi isyarat kepada Kerajaan Perpaduan supaya lebih fokus dalam menjalankan usaha-usaha memperkemaskan tatakelola urusan pentadbiran kerajaan terutamanya dalam membanteras gejala rasuah dalam kalangan rakyat termasuk pemimpin di segenap lapisan.

4. Indeks Perpaduan Nasional (IPNas)

Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2022 dibangunkan oleh Kementerian Perpaduan Negara merupakan inisiatif penting daripada kerajaan yang bertujuan untuk mengukur pencapaian tahap perpaduan semasa dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Menurut dapatan kajian tersebut, hubungan perpaduan antara kaum masih kekal baik, malah bertambah baik.

IPNas 2022 menunjukkan pencapaian nilai skor 0.629 yang membawa maksud kesepaduan nasional negara berada pada tahap sederhana dan terkawal. Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.062 berbanding nilai skor IPNas 2018 iaitu 0.567. 

Perpaduan Kekal Erat

Peningkatan dalam nilai indeks ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih mampu mengekalkan tahap perpaduan yang erat walaupun telah berhadapan dengan situasi mencabar semasa pandemik Covid-19 dan provokasi sentimen perkauman serta agama secara berulang-ulang.

Segala rintangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia telah dapat dilalui secara aman dan harmoni.

Di sebalik provokasi yang ditimbulkan, Malaysia masih berjaya mengekalkan keharmonian dan perpaduan antara rakyatnya. Ini dapat dilihat menerusi dapatan daripada Indeks Kebahagian Rakyat Malaysia (MHI) yang masih berada pada tahap bahagia. 

Seterusnya Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) yang meningkat berbanding tahun lalu dan Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) yang kekal berada pada tahap sederhana, manakala Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) turut berada pada tahap sederhana dan terkawal. 

Dapatan daripada kajian pelbagai indeks yang dibincangkan ini menunjukkan rakyat Malaysia secara umum hidup bahagia dan sejahtera.

Ringkasnya, keharmonian rakyat adalah terkawal, namun usaha yang lebih keras perlu digiatkan dalam tekad mengukuhkan perpaduan dan melestarikan Malaysia sebagai negara yang rahmah.

Rintangan-rintangan ke arah perpaduan ini harus diatasi dengan segera dan usaha menanganinya harus dibuat secara berterusan. 

Hubungan antara kaum perlu terus dipelihara, disuburkan dan diambil serius oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang bagi mengekalkan perpaduan serta mengelakkan timbulnya isu yang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. 

Malaysia telah sekian lama menikmati keamanan walaupun diduduki oleh pelbagai etnik, agama dan budaya. Usah biarkan keamanan ini dirosakkan oleh tangan-tangan halus. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. 

Dr Sabariah Baharun
Ketua Kluster Perpaduan Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia