KUALA LUMPUR – Lebih 80 penulis skrip, penerbit, pelakon dan pengarah filem menyertai Program Wacana Patuh Syariah 1.0 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) di Wangsa Maju pada Khamis, 24 Oktober lalu.
Dengan tema “Kreatif Lagi Faqih”, program ini dianjurkan bagi meningkatkan pemahaman tentang elemen patuh syariah dalam kandungan kreatif, termasuk filem dan drama TV, agar industri kreatif dapat menyampaikan nilai-nilai Islamik tanpa melanggar prinsip syariah.
Turut hadir Wacana Patuh Syariah 1.0 ialah beberapa nama besar penerbitan drama negara seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Prof. Ts. Dr. Mahadi J Murat, pelakon terkenal saudara Mubarak Majid dan penulis skrip terkemuka, Zabidi Mohamed.
Hadir sama ialah dua penulis skrip berbangsa Cina yang turut mahu menimba pengetahuan di samping mengetahui sendiri isu-isu semasa yang berkaitan dengan drama tanah air.
Program wacana ini disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan penganjuran ini adalah sesuatu yang sangat baik kerana mampu menjadi jambatan antara agensi agama, ahli akademik dan penggiat seni.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus juga hadir merumuskan perbincangan yang menampilkan sebanyak empat sesi wacana masing-masing yang bertajuk ‘Lakonan Watak Malaikat Dalam Filem Melayu’, ‘Kelahiran Semula Dalam Filem Melayu’, ‘Khurafat,Tahyul dan Mistik Dalam Filem Melayu’ serta ‘Elemen Roh Dalam Filem Melayu’.
Menurut Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli, penggiat seni kreatif menghadapi cabaran unik untuk memastikan karya mereka tidak melanggar batas agama sambil mengekalkan nilai komersial dan sensitiviti budaya dalam kandungan mereka.
Menurut salah seorang ahli panel wacana, Dr Hajar Opir, wacana ini bukan sekadar pertemuan, tetapi sebuah platform yang memperkaya pemikiran dan menggalakkan pertukaran idea yang konstruktif.
Beliau yang dilantik sebagai Panel Pakar Garis Panduan Patuh Syariah Filem/Drama YADIM bagi sesi 2024-2025 yakin bahawa para peserta merupakan pendakwah yang berpotensi untuk menyampaikan naratif yang membina, mendidik masyarakat dan memberi impak positif kepada khalayak audiens.
“Dalam konteks ini, penting untuk kita menyeimbangkan kreativiti dengan prinsip-prinsip agama agar setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberikan nilai dan pedoman,” ujar beliau yang merupakan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Komtemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Tambah Dr Hajar, beliau percaya bahawa perbincangan seperti ini adalah langkah penting ke arah pengukuhan kerjasama antara industri kreatif dan prinsip syariah. Melaluinya, kita dapat bersama-sama mencipta karya yang bukan sahaja berkualiti tetapi juga beretika.
“Semoga hasil daripada wacana ini dapat membawa perubahan yang positif dan memperkukuh hubungan dalam kalangan penggiat seni,” ujarnya lagi yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) IKRAM.
Usaha penganjuran wacana ini diharap dapat memberi manfaat besar kepada industri kreatif tanah air dalam melahirkan karya-karya yang berinspirasi dan mematuhi hukum Allah.
Foto: YADIM