“Kami menyeru pemimpin agama dan masyarakat membantu menjadi orang tengah untuk mendamaikan semua pihak supaya penyelesaian yang adil dapat diberikan,” kata Pengerusi GBM, Hj Zaid Kamaruddin.
GBM yang merupakan gabungan kumpulan masyarakat pelbagai kaum menyeru supaya keadaan yang panas ketika ini tidak ditegangkan lagi dengan provokasi dan siri membalas dendam.
“Kita mesti mencegah perasaan marah melampau yang akhirnya membawa negara terjebak dengan suasana kebencian dan balas dendam.”
NGO itu juga mengutuk adegan keganasan yang berlaku hanya kerana pertikaian dan perbezaan pendapat berkaitan isu penempatan semula kuil itu.
“Kita boleh berbeza pendapat tetapi tidak sepatutnya perbezaan itu membawa kepada keganasan.”
“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kita mesti menentang segala bentuk keganasan dan pencerobohan,” tambahnya.
Sebaliknya, perkara ini harus diselesaikan mengikut undang-undang supaya yang bersalah dalam insiden tersebut dibawa ke muka pengadilan.
Walau bagaimanpun, GBM menyatakan kekesalannya kerana kelewatan pihak polis cawangan Subang Jaya yang gagal bertindak awal untuk menghalang rusuhan itu sebelum menjadi parah.
“Kami menggesa Timbalan Ketua Polis Negara untuk mengetuai pasukan khas bagi memantau dan mengawal keadaan ini supaya dapat mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kedaulatan undang-undang dan memastikan semua yang bersubahat, menghasut dan menggunakan kekerasan akan dibawa ke muka pengadilan”.
“Kami berdoa dan berharap semoga mangsa yag cedera akan cepat sembuh,” tambahnya.
Selain Zaid, turut hadir dalam sidang media GBM ialah Liau Kok Fah (GBM/KLSCAH), Wan Ji Wan Hussin (SAUDARA), Nik Azura Nik Nasron (Teoh Beng Hock Trust for Democracy), K. Arumugam (GBM/SUARAM), Zaid Kamaruddin (GBM/IKRAM), Stanley Yong (GBM/KLSCAH), Prof Madya Badlishah Sham Baharin (GBM/IKRAM), Eugene Yapp (GBM Secretariat), Jeffrey Phang (GBM/SUARAM) dan Ho Yock Lin (Sekretariat GBM).