Pemerkasaan Kebapaan Tanggungjawab Semua

Telah banyak kajian membuktikan bahawa peranan bapa amat penting dalam pertumbuhan generasi yang lebih berdaya tahan dari pelbagai aspek. Kewujudan figura bapa sebagai pemimpin dan pelindung keluarga yang berkesan tidak akan dapat digantikan oleh ibu.

Senario kini

Namun hari ini, berapa ramai anak-anak Malaysia yang kehilangan bapanya telah mendapat sokongan figura kebapaan dalam proses pertumbuhan mereka? Berapa ramai anak-anak yang ketandusan kasih bapanya, mendapat sokongan figura bapa teladan daripada keluarga kembangannya dan ahli komunitinya?

Berapa ramai pula bapa tunggal di Malaysia yang sedang amat memerlukan sistem sokongan untuk terus berupaya melindungi keluarganya? Berapa ramai anak-anak yang belum berpeluang merasakan teladan bapa, untuk mereka sendiri amalkan apabila mereka menjadi bapa kelak?

Hari ini dan saat ini, ketika Malaysia meraikan Hari Bapa, berapa ramai bapa yang menangis sendirian kerana kehilangan pekerjaan, kelaparan dan sedang amat memerlukan kemahiran memimpin dan melindungi keluarga? Berapa ramai pula ahli komuniti yang sedar akan kewujudan bapa-bapa yang sedang diuji ini?

Pentingnya pembangunan kebapaan

Ketandusan sentuhan, kepemimpinan dan perlindungan daripada figura bapa, tentu akan memberikan kesan yang memeritkan kepada kesejahteraan institusi keluarga; nukleus kepada kesejahteraan negara. Atas sebab itulah, pembangunan kebapaan yang berkesan harus diberikan sokongan padu oleh semua pihak. Jika tidak, ia akan memamah kesejahteraan negara kita, hari demi hari.

Pembangunan kebapaan ini pula tidak seharusnya hanya tertumpu kepada golongan bapa kandung, tetapi harus turut meliputi bapa saudara-bapa saudara, datuk-datuk, bapa tiri-bapa tiri, serta semua golongan lelaki dewasa yang membentuk sistem sokongan kepada kewujudan kebapaan yang berkesan ini.

Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad SAW yang kehilangan sentuhan ayahnya sejak baginda masih di dalam rahim ibu baginda. Tetapi baginda dikurniakan sistem sokongan figura kebapaan daripada datuk dan bapa saudara-bapa saudara baginda.

Baginda sendiri juga mencontohkan budi pekerti agung dengan memberikan bimbingan dan dukungan buat para bapa serta anak-anak yang kehilangan figura bapa.

Ia tentunya bukan misi yang mudah dan bisa dicapai dalam tempoh yang singkat. Tetapi kerana ia perlu dan tidak dapat ditunda lagi, maka semua pihak tidak ada pilihan lain melainkan untuk berusaha berganding bahu sehabis baik, demi menzahirkan cita-cita ini.

Sokongan kerajaan

Kesediaan dan sokongan tinggi kerajaan pusat dan negeri untuk mendapatkan data terkini berkenaan kebapaan di Malaysia adalah amat penting untuk merencana langkah seterusnya yang lebih strategik.

Dukungan terhadap Skim Bantuan Khusus untuk bapa tunggal juga amat dialu-alukan, bukan sahaja bantuan dari aspek kewangan, tetapi juga bimbingan dalam perjalanan berliku menjadi bapa yang berkesan.

Hal ini kerana ilmu dan kemahiran kebapaan tidak lahir bersekali dengan lahirnya anak kita, tetapi ia harus dipelajari, dialami sendiri dan ditingkatkan kemahirannya dari semasa ke semasa.

Sokongan tinggi kerajaan untuk menjayakan pemerkasaan golongan ini sebagai pemimpin dan pelindung yang boleh dipercayai menjadi semakin penting. Apatah lagi pada era kini, pengaruh yang kurang baik bisa masuk ke rumah kita pada bila-bila masa.

Meski kediaman kita tidak diziarahi tetamu fizikal, tetapi saban waktu bisa digugat ancaman terhadap kesejahteraan keluarga melalui gajet yang pelbagai. Ia menjadikan tanggungjawab melindungi keluarga semakin mencabar dan sukar.

Sokongan NGO

Selain itu, kewujudan NGO-NGO yang bersedia menyokong pembangunan kebapaan dan kelelakian juga harus diberikan sokongan yang padu agar dapat terus-menerus menginspirasikan para bapa.

Ia juga boleh menjadi platform para bapa untuk saling mendokong antara satu sama lain, selain menjadi medan untuk menambah baik kemahiran kebapaan yang amat signifikan kepada pembangunan institusi keluarga.

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merupakan salah satu NGO yang aktif memperjuangkan misi pemerkasaan kebapaan ini. Melalui pelbagai inisiatif menarik dalam kempen ‘Lelaki Hero Keluarga’ oleh Kumpulan Fokus Keluarga Utuhnya, IKRAM berusaha bagi memartabatkan peranan lelaki dalam pembangunan keluarga yang sejahtera.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seumpama ini juga amat digalakkan untuk terlibat dalam pembangunan kebapaan dengan memanfaatkan Bantuan Khas Perbendaharaan (BKP).

Peruntukan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini turut disediakan untuk inisiatif pembangunan keluarga, selain pembangunan wanita dan pembangunan masyarakat.

Modul Kebapaan

Di bawah payung pembangunan keluarga inilah letaknya pembangunan keibubapaan dan kebapaan. Malah, terdapat Modul Kebapaan yang dinamakan Pancaran Kasih yang memfokuskan kepada pembangunan kemahiran para bapa dalam membentuk perkembangan anak-anak yang sejahtera.

Sudah sampai juga masanya untuk masyarakat menonjolkan lebih banyak figura bapa teladan untuk dicontohi. Selain itu, masyarakat juga berperanan penting untuk menzahirkan tuntutan kuat dan berterusan kepada media untuk menyediakan bahan-bahan yang membina kebapaan yang tulen.

Para pejuang medan pendidikan juga bisa memikirkan inovasi yang boleh dijayakan oleh institusi pendidikan dalam memperjuangkan aspirasi murni ini.

Barangkali inilah masanya untuk Modul Pembangunan Keluarga Institusi Pengajian Tinggi turut memasukkan Modul Kebapaan seperti Modul Pancaran Kasih, khususnya untuk para mahasiswa lelaki. Belum bergelar bapa bukan bererti mereka tidak menjadi ahli sistem sokongan kebapaan.

Harapan

Semoga dengan penggemblengan sumber daripada seluruh lapisan masyarakat akan dapat mendukung kelestarian keluarga yang sihat, berdaya tahan, berakhlak dan bertanggungjawab di negara ini.

Selamat berganding bahu, selamat mendukung pemerkasaan kebapaan! Siapa lagi kalau bukan kita, bila lagi kalau bukan sekarang?

Ahmad Fadhli Mohd Faudzi dan Maryam Jailani adalah pasangan suami isteri dan aktivis IKRAM Kawasan Kajang.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia