Kepimpinan Wanita Bermula dengan Kekuatan Diri

Kepimpinan wanita

Apabila berbicara tentang kepemimpinan, kita sering membayangkan seseorang yang mengetuai organisasi atau memegang jawatan penting. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa setiap wanita sebenarnya mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin?

Kepentingan peranan wanita diiktiraf dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat kerana peranan lelaki dan wanita adalah saling melengkapi [1]. Wanita perlu diberi ruang untuk memimpin dalam lingkungan yang sesuai dengan skop dan lapangan kepimpinan mereka. 

Seorang ibu yang mendidik anak-anak, seorang guru yang membimbing generasi muda, seorang wanita yang menggerakkan aktiviti kemasyarakatan atau seorang profesional yang melaksanakan amanah dengan integriti, semuanya memainkan peranan kepimpinan dalam lingkungan masing-masing.

Dalam Islam, kepimpinan merupakan amanah yang menuntut tanggungjawab dan keikhlasan. Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Setiap kamu ialah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta dipertanggungjawabkan ke atas orang yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari –  Riyad as-Salihin 283)

Hadis ini mengingatkan bahawa kepimpinan bukan hanya milik mereka yang mempunyai kuasa atau jawatan. Setiap individu mempunyai amanah mengikut peranan dan tanggungjawabnya.

Justeru, sebelum seorang wanita mampu memimpin orang lain, dia perlu terlebih dahulu belajar memimpin dirinya sendiri.

Membina jati diri Muslimah yang seimbang 

Pembangunan diri dalam Islam bukan sekadar meningkatkan pengetahuan atau kemahiran, tetapi merangkumi pembentukan insan yang seimbang daripada aspek rohani, emosi, intelektual dan akhlak [2].

Kekuatan rohani merupakan asas utama pembentukan jati diri Muslimah. Hubungan yang erat dengan Allah SWT melalui ibadah, doa, tadabur al-Quran dan muhasabah membentuk jiwa yang tenang serta mempunyai tujuan hidup yang jelas.

Allah SWT berfirman:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.” (Surah ar-Ra’d, 13: 28)

Ketenangan jiwa amat penting dalam kepimpinan kerana wanita yang mempunyai kekuatan dalaman lebih bersedia menghadapi tekanan, cabaran dan perubahan kehidupan.

Kematangan emosi pula membolehkan wanita mengurus perasaan, menghadapi konflik dan menerima perbezaan pandangan secara bijaksana. Wanita yang kuat bukanlah wanita yang tidak pernah bersedih atau gagal, tetapi wanita yang mampu bangkit dan belajar daripada pengalaman.

Kecemerlangan intelektual melengkapkan kedua-dua aspek tersebut. Islam sangat menekankan kepentingan ilmu sebagaimana firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.” (Surah al-Mujadilah, 58:11)

Oleh itu, wanita Muslim perlu sentiasa memperkaya ilmu, meningkatkan kemahiran dan membina pemikiran yang matang. Ilmu yang dipandu iman dan akhlak akan melahirkan kebijaksanaan dalam tindakan dan keputusan. 

Wanita sebagai pemimpin: Daripada keluarga kepada masyarakat

Sejarah Islam memperlihatkan peranan besar wanita dalam pembangunan umat. Saidatina Khadijah r.a. dikenali sebagai wanita yang bijaksana dalam perniagaan serta menjadi sumber kekuatan dan sokongan kepada Rasulullah SAW. Saidatina Aisyah r.a. pula terkenal sebagai ilmuwan besar yang meriwayatkan lebih 2,200 hadis dan sumbangannya dalam penyampaian hadis serta pendidikan umat Islam [3].

Kedua-dua tokoh ini membuktikan bahawa kepimpinan wanita dapat diterjemahkan melalui ilmu, kebijaksanaan, keteguhan prinsip dan kesediaan berkhidmat kepada masyarakat.

Dalam kehidupan hari ini, kepimpinan wanita dapat dilihat melalui tiga lingkungan utama.

Pertama, kepimpinan diri. Wanita perlu mempunyai matlamat hidup, disiplin, keyakinan dan kemampuan membuat keputusan berdasarkan nilai yang benar. 

Kedua, kepimpinan keluarga. Peranan wanita dalam rumah tangga bukanlah tanda kelemahan, bahkan ia satu tanggungjawab mulia dan bernilai tinggi [4]. Wanita berperanan membina suasana keluarga yang harmoni melalui pendidikan, komunikasi, kasih sayang dan teladan yang baik, bersama-sama ahli keluarga yang lain. Hamka ada mengungkap, “Rumah adalah kerajaan. Isteri adalah Sri Ratu yang mempunyai kuasa yang cukup di dalamnya.“ [5] 

Ketiga, kepimpinan masyarakat. Wanita boleh menjadi penggerak perubahan melalui pendidikan, kebajikan, dakwah, keusahawanan, kerja sukarela dan kepimpinan organisasi. Gandhi ada mengungkap: “Tanpa pengasuhan seorang perempuan, suatu bangsa pasti akan mati [5].

Allah SWT berfirman:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kemungkaran.” (Surah at-Taubah, 9:71)

Ayat ini memperlihatkan tanggungjawab bersama lelaki dan wanita beriman dalam menggerakkan kebaikan serta membangunkan masyarakat. Kepimpinan wanita bukanlah persaingan antara lelaki dan perempuan, sebaliknya suatu sumbangan yang saling melengkapi demi kesejahteraan keluarga dan umat.

Di samping itu, perbezaan budaya sesebuah masyarakat perlu diambil kira sebagai menghormati kesesuaian syariah Islam pada setiap masa dan tempat [6]. Dalam perundangan Islam, prinsip “al-adah muhakkamah” (adat resam boleh dijadikan sandaran hukum) membuktikan bahawa Islam amat menghormati budaya tempatan selagi mana ia tidak bertentangan dengan prinsip asas akidah dan syariat. 

Memimpin dengan hikmah: Komunikasi, emosi dan keputusan 

Kepimpinan yang berkesan memerlukan lebih daripada semangat dan keyakinan. Ia menuntut kemahiran berkomunikasi, mengurus emosi dan membuat keputusan secara berhemah.

Komunikasi yang baik bermula dengan kesediaan untuk mendengar. Pemimpin yang bijaksana tidak semestinya orang yang paling banyak bercakap, tetapi orang yang mampu memahami pandangan orang lain, memberikan teguran secara berhikmah dan menyampaikan mesej dengan jelas.

Allah SWT berfirman:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.” (Surah an-Nahl, 16: 125)

Prinsip hikmah dan nasihat yang baik ini amat relevan dalam komunikasi, khususnya ketika membimbing ahli keluarga, mengurus organisasi dan melaksanakan kerja dakwah.

Selain itu, keupayaan mengawal emosi merupakan tanda kekuatan kepimpinan. Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Maksudnya: “Orang yang kuat bukanlah yang menang dalam bergusti, tetapi orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6114)

Hadis ini memberikan pengajaran penting bahawa kekuatan seorang pemimpin bukan terletak pada ketegasan semata-mata, tetapi juga pada kebijaksanaan mengawal diri ketika menghadapi tekanan dan konflik.

Dalam membuat keputusan, wanita perlu menggabungkan ilmu, pertimbangan rasional, nilai akhlak dan amalan musyawarah. Pemimpin yang baik bukanlah seseorang yang sentiasa betul, tetapi seseorang yang bersedia mendengar, menerima teguran dan memperbaiki kesilapan.

Memperkasa wanita, memperkukuh umat 

Dalam dunia yang semakin mencabar, wanita berhadapan dengan pelbagai tuntutan kehidupan, termasuk keluarga, kerjaya dan tanggungjawab sosial. Namun, setiap cabaran turut membuka ruang untuk membina kekuatan dan meningkatkan keupayaan diri.

Pembangunan kepimpinan wanita boleh dimulakan dengan langkah yang sederhana tetapi berterusan: memperkukuh hubungan dengan Allah, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan keyakinan diri, menguasai komunikasi berkesan dan berani mengambil tanggungjawab. 

Pada masa yang sama, wanita perlu saling menyokong, berkongsi ilmu dan membimbing antara satu sama lain. Ukhuwah yang kukuh akan melahirkan suasana yang menggalakkan setiap wanita berkembang mengikut kemampuan dan potensi masing-masing.

Penutup: Memimpin untuk memberi manfaat 

Kepimpinan  dalam  Islam  tidak  terhad  kepada lelaki  sahaja,  malah  wanita  juga  mempunyai  peranan  penting  dalam memastikan  kesejahteraan  umat,  selaras  dengan  prinsip  keadilan  dalam maqasid  syariah [7]. Umumnya kepimpinan wanita amat penting dalam memantapkan institusi  kemasyarakatan  dan  melakarkan jalan  ke  arah  pembangunan  bangsa.

Setiap wanita mempunyai keistimewaan, pengalaman dan potensi tersendiri. Tidak semua perlu menjadi pemimpin organisasi, tetapi setiap wanita mampu memimpin melalui teladan, ilmu, kasih sayang dan tindakan yang membawa kebaikan.

Kepimpinan yang berteraskan iman, ilmu dan akhlak akan melahirkan wanita yang bukan sahaja berketerampilan, malah memiliki jiwa yang tenang, pemikiran yang matang dan kepekaan terhadap keperluan masyarakat.

Akhirnya, kepimpinan bukan tentang menjadi lebih hebat daripada orang lain, tetapi tentang menjadi insan yang lebih baik daripada semalam serta membantu orang lain berkembang bersama.

“Wanita yang membina dirinya dengan iman dan ilmu mampu memimpin dengan hikmah, menyantuni dengan kasih sayang dan meninggalkan manfaat yang berpanjangan kepada keluarga, masyarakat dan umat.”

Ir. Gs. Mazura Nor Zulkifli 

Associate Director

Dr. Nik & Associates Sdn. Bhd. (DNA Sdn. Bhd.) &

JK Pembangunan Masyarakat

Wanita IKRAM Negeri Selangor

 

Prof. Madya Dr. Syamimi Saadon 

Ketua Wanita IKRAM Negeri Selangor &

Profesor Madya, Fakulti Kejuruteraan

Universiti Putra Malaysia (UPM)

Rujukan:

  • Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat, Wanita IKRAM Pusat (2026). MAWAR: Membangun Masyarakat Rahmah
  • Ramli, M. A. (t.t.). Kepimpinan perempuan menurut perspektif Islam: Satu sorotan. Jurnal Pengajian Melayu.

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia