Majlis Pemasyhuran Wanita IKRAM telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden IKRAM, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom dengan satu acara simbolik memecahkan ketulan ais dan ‘membebaskan’ buku pemasyhuran Wanita IKRAM – acara yang dapat ditafsirkan sebagai rasminya sayap penting IKRAM itu terus bergerak ke tengah masyarakat.
Wanita IKRAM Malaysia telah ditubuhkan pada 3 Oktober 2010. Pemasyhurannya pada hari ini yang juga bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2011 bertujuan untuk memperkenalkan Wanita IKRAM sebagai satu organisasi dakwah wanita yang baharu, mengetengahkan fikrah Islam yang menyeluruh sebagai penyelesai masalah, di samping menjalin hubungan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita sedia ada.
Dr Hatta dalam ucapan perasmiannya mengingatkan bahawa pengisytiharan ini adalah sebahagian daripada rantaian panjang dakwah jamaah yang telah dimulakan sejak kira-kira 35 tahun dahulu di serata dunia termasuk Malaysia. Beliau mengiktiraf tenaga wanita dalam dakwah, khususnya dalam IKRAM dan menghargai keprihatinan mereka dalam menyantuni mangsa-mangsa gempa bumi di Jepun baru-baru ini. Beliau juga mengucapkan sekalung tahniah kepada Wanita IKRAM kerana kehadiran beberapa orang tokoh mereka dalam Jawatankuasa Pusat (JKP) dan Dewan Perhimpunan Nasional (DPN) IKRAM menunjukkan peranan wanita dalam dakwah sangat subur dan diperlukan sepanjang penglibatan jamaah di tengah masyarakat.
Namun, Dr Hatta menarik perhatian lebih 200 hadirin apabila mengungkapkan sesuatu yang tidak pernah disebut dalam mana-mana ucapan perasmian sebelum ini. Pakar psikiatri tersohor itu secara khusus amat menghargai golongan akhawat yang aktif dalam dakwah sedangkan suami mereka tidak mithali dalam lapangan yang sama.
“Suami seperti ini boleh dibahagikan kepada dua jenis; pertama, mereka yang tidak kisah langsung akan dakwah dan kedua, mereka yang terlibat sama dalam dakwah tetapi tidak mithali (sebagai pemimpin),” kata beliau.
Golongan suami yang tidak kisah dengan dakwah pula, menurut Dr Hatta lagi, terbahagi kepada dua, iaitu suami yang membenarkan isteri mereka aktif dalam dakwah dan suami yang tidak mengizinkan bahkan lebih teruk menentang usaha-usaha dakwah.
“Sebab itu saya secara peribadi sangat kagum dengan para isteri dalam kategori ini. Saya bersimpati dan berdoa untuk kebaikan mereka dan suami serta keluarga mereka,” ujarnya lagi.
Ucapan tersebut disifatkan oleh pengerusi majlis, Puan Halimah Abd Hamid sebagai ‘ori’ kerana lahir dari hati tulus seorang Timbalan Presiden dan belum pernah didengari sebelum ini.
Acara perasmian diikuti dengan tayangan video mengenai sejarah dan penglibatan Wanita IKRAM dalam dakwah. Video ini telah disediakan oleh IKRAMedia Pusat melalui sentuhan ‘supremo’nya, Sdr Zulkarnain Jamaluddin.
Sesi pertama majlis ditutup dengan ucaptama oleh Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Maznah Daud yang mengangkat tema pemasyhuran, “Keteguhan Jati Diri Wanita Teras Kecemerlangan Ummah” sebelum majlis berhenti rehat untuk jamuan ringan dan sidang media.
Sesi kedua kemudiannya diteruskan dengan sebuah forum berjudul “Indahnya Hidup di bawah Lembayung Syariah: Wanita Solehah Pembangun Ummah” oleh Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dan Prof Madya Dr Anisah Abd Ghani, manakala Dr Hafidzah Mustakim bertindak selaku pemudah cara.
Antara tetamu yang turut hadir ialah Naib Presiden IKRAM Hj Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli DPN Hj Nahar Md Nor dan Pengarah Islamic Relief Malaysia Hj Zairulshahfuddin Zainal Abidin.
Pengarah Program majlis pemasyhuran Wanita IKRAM ini ialah Timbalan Wanita IKRAM sendiri iaitu Datin Paduka Che Asmah Ibrahim manakala pasukannya terdiri daripada ahli-ahli Wanita IKRAM seluruh negeri Selangor.