Pelbagai platform mengukuh perpaduan

Karnival Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020 yang berlangsung pada 15 Februari lalu mampu menjadi platform yang mengukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia.

 

Karnival yang telah berlangsung di Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) ini menggabungkan pelbagai aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum seperti pameran, pertandingan, persembahan kebudayaan dan permainan tradisional.

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Tamil Foundation, LLG Culture & Development, Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menjadi penganjur utama karnival ini.

 

Karnival yang unik

 

Pengarah Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor berkata, program ini sangat unik kerana dianjurkan oleh NGO-NGO pendidikan pelbagai kaum dan bangsa iaitu daripada Melayu, Cina, India dan Orang Asal.

 

Menurutnya, karnival ini menjadi platform untuk anak-anak belajar untuk berinteraksi antara satu sama lain dengan orang yang tidak ia kenali daripada bangsa dan agama lain.

 

Tambahnya, karnival seperti ini sangat penting terutama sekali bagi sekolah IKRAM MUSLEH kerana ianya sangat bagus, unik dan membantu dalam aspek pembinaan insan rabbani sebagaimana yang diharapkan dalam pendidikan hari ini.

 

Melalui karnival ini, para peserta diberi pendedahan untuk mengenali kaum yang lain dengan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan seni kolaj, kalam berirama tiga bahasa dan mencuba permainan tradisional pelbagai kaum, selain disediakan ruang mencuba teknik menulis kaligrafi seperti, khat, kaligrafi Cina dan Tamil.

 

Kenali kaum lain

 

Ketika bertemu dengan seorang ibu pelajar yang menghadiri karnival ini, Yee, 48, beliau berharap melalui karnival ini akan mewujudkan keharmonian antara kaum yang mana nilai perpaduan yang berjaya disemai hari ini akan berkekalan selama-lamanya.

 

Pelajar Tahun 5 Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak, Nuha Zahirah pula menzahirkan rasa seronoknya kerana dapat menyertai karnival ini.

 

“Dengan mengikuti program sebegini, sungguh memberi peluang kepada diri saya dapat mengenali pelbagai bangsa dan kaum, apalagi dapat mencuba permainan dan seni kaligrafi mereka.”

 

Tambahnya lagi, kita hidup bermasyarakat ini sudah lama sejak nenek moyang lagi, jika tidak dijaga dengan baik, perpaduan ini akan goyah dan kebencian pula akan bermaharajalela.

 

“Saya pasti semua orang mahukan kehidupan yang harmoni dan aman, jadi marilah kita sama-sama terus menjaga perpaduan ini sampai bila-bila,” katanya.

 

Realitinya, perpaduan dan keamanan negara tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun kerana jika tidak dipedulikan, ia boleh mewujudkan pelbagai konflik antara kaum.

 

Oleh yang demikian, rakyat perlu sentiasa berusaha mengekalkan keharmonian dan keamanan yang ada dengan tidak mencetuskan sentimen antara kaum, prejudis dan sikap merendah-rendahkan kaum yang lain.

 

Ketika berpeluang bertemu Donna Wong, murid Tahun 6 Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yoke Nam berkata, beliau sangat teruja kerana dapat menghadiri Karnival Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa ini.

 

“Saya berasa sangat bahagia dan gembira apabila memenangi pertandingan yang saya sertai ini.”

 

Beliau yang mendapat tempat pertama dalam pertandingan karangan bahasa Cina yang bertajuk ‘Bahasa Ibunda Saya’ merasakan program karnival ini membuatkan dirinya mengenali kaum-kaum yang lain.

 

Di sebalik perbezaan agama, kaum, budaya dan bahasa, rakyat di negara ini sebenarnya berkongsi pelbagai nilai yang dimiliki bersama.

 

Galakan ibu bapa

 

Dalam perkembangan berkaitan, seorang ibu pelajar yang bernama Sri Devi dari Shah Alam berkata, melalui karnival seperti ini, anak-anak akan lebih saling kenal mengenali dan akan timbul rasa mencintai bahasa ibunda mereka sendiri.

 

“Saya membawa anak ke karnival ini untuk memberikan pendedahan yang sewajarnya agar mereka ketahui kewujudan pelbagai bahasa ibunda di negara ini, seperti bahasa Tamil, Cina, Melayu dan tidak terkecuali Orang Asal.”

 

Menurutnya, untuk mengeratkan perpaduan kaum, program sebegini perlu melibatkan anak-anak sedari sekolah rendah lagi kerana mereka dapat bergaul dengan pelajar-pelajar selain daripada bangsa mereka.

 

“Apalagi yang hadir ke program ini dari sekolah yang berlainan. Maka inilah peluang mereka saling kenal mengenali antara satu sama lain.

 

“Ketika di sekolah, mereka bersama dengan sebangsa mereka sahaja kerana mereka belajar di sekolah jenis kebangsaan.

 

“Tetapi di sini, inilah peluang mereka bergaul, mengenali budaya dan bahasa ibunda bangsa lain.”

 

Selain itu, beliau berharap program sebegini menjadi aktiviti berterusan agar murid dan pelajar sekolah dapat memanfaatkan program sebegini.

 

Sikap ingin tahu

 

Zuriati, yang mewakili Orang Asal daripada suku kaum Semai pula berkata, beliau melihat sambutan pelajar yang hadir ke program karnival ini sangat bagus.

 

“Mereka yang hadir itu juga mengambil kesempatan mencuba membuat anyaman Orang Asal ini, memandangkan benda ni sudah jarang dibuat apalagi didedahkan.”

 

Menurutnya, ramai yang hadir di ruangan pamerannya itu ingin tahu bagaimana cara membuat anyaman, selain ingin mengetahui permainan tradisional Orang Asal yang jarang diwara-warakan kepada masyarakat.

 

Hidup tanpa prejudis

 

Secara umum, masyarakat majmuk di negara ini majoritinya tidak mempunyai sentimen perkauman atau prejudis terhadap bangsa lain, tetapi sebaliknya perkara sebegitu dimomokkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai matlamat dan kepentingan yang tertentu.

 

Sentimen ini seharusnya boleh dibendung tanpa dibiarkan ia membarah dan membesar. Usaha memupuk keharmonian dan perpaduan antara kaum di Malaysia perlu bermula dari kawasan kejiranan terutamanya melibatkan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

 

“Karnival ini sebagai satu usaha murni yang patut dibanggakan bersama dan diteruskan lagi pada masa akan datang,” demikian kata Kata Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Hj Zaid Kamaruddin, ketika memberikan aluan penutupnya.

 

Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM turut memuji usaha pihak penganjur dalam menjayakan karnival serta berharap mesej perpaduan yang dibawa bersama dapat dicontohi oleh semua pihak.

 

Acara kemuncak selepas karnival itu berupa Majlis Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2020 turut diadakan pada 21 Februari lalu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kwo, Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching.

 

Kempen perpaduan

 

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub telah menganjurkan kempen ‘Uninstall Hatred: Reboot Malaysia & Global Harmony’ pada bulan lalu untuk mengetengahkan usaha bagi menyatupadukan etnik di negara ini, yang turut mendapat sokongan padu pemimpin terutamanya bukan Melayu.

 

Usaha murni beliau perlu disokong sepenuhnya bagi melihat negara ini sentiasa damai dan harmoni dengan kewujudan berbilang bangsa dan agama kerana inilah antara platform yang boleh dimanfaatkan untuk mengekalkan dan memperkukuhkan perpaduan yang telah sedia ada di negara ini.

 

Medium penyatuan

 

Ternyata medium penyatuan rakyat Malaysia boleh hadir dalam pelbagai platform dengan keunikan yang tersendiri yang mampu membuahkan keharmonian dan perpaduan antara kaum di negara ini.

 

Dalam keadaan media sosial kini yang mengandungi banyak mesej negatif yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum, program-program seperti Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa dan kempen ‘Uninstall Hatred: Reboot Malaysia & Global Harmony’ boleh menjadi pencetus memurnikan kembali situasi yang ada.

 

Tanggungjawab mengukuhkan perpaduan di negara ini bukanlah berada pada bahu kerajaan sahaja, bahkan ia adalah tanggungjawab semua segmen masyarakat seperti NGO pelbagai kaum, parti politik, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, institusi agama dan sebagainya.

 

Rakyat seharusnya boleh menerima kepelbagaian dan perbezaan yang ada pada setiap kaum dan agama di negara ini kerana itulah elemen penting yang menjadikan Malaysia ini menjadi sebuah negara yang bersatu padu, aman lagi harmoni.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia