Pekerja Sakit Mental, Bunuh Diri: Intervensi Majikan

Pekerja Sakit Mental, Bunuh Diri: Intervensi Majikan | IKRAM

Artikel ini adalah sambungan daripada artikel bertajuk “Bunuh Diri Di Malaysia: Bagaimana Majikan Berperanan”.

Dari sudut psikologi organisasi, pihak majikan, pengurus sumber manusia atau pengurus perlu mempunyai polisi yang jelas tentang kesihatan mental dan penyakit mental di tempat kerja.

Di samping itu, mereka perlu merahsiakan identiti dan nama pekerja yang mengadu tentang masalah kesihatan mental atau penyakit mental mereka (isu confidentiality).

Mereka juga perlu mengendalikan sesi sokongan emosi, atau rujukan kepada pakar daripada luar dalam keadaan rahsia (isu privacy).

Malah, sokongan emosi, budaya mesra kesihatan mental dan rawatan profesional di tempat kerja perlu berterusan dan tidak tergantung di tengah jalan.

Anas bin Malik RA menceritakan tentang seorang wanita yang mempunyai masalah mental (امْرَأَةً كَانَ فِي عَقْلِهَا شَيْءٌ) yang bertemu Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku punyai hajat denganmu.” Baginda SAW menjawab: “Wahai ibu fulan, tengoklah mana-mana bahagian jalan (kawasan) yang sesuai (terpencil daripada orang ramai) yang kamu mahu, supaya aku boleh (duduk) melaksanakan hajatmu.” Baginda pun duduk bersamanya pada satu bahagian jalan sehingga selesai keperluannya (HR Muslim, No. 4293 & Tirmidzi, No. 4182)

Berikut adalah panduan/cadangan ahli psikologi organisasi kepada pihak majikan dalam melaksanakan intervensi di peringkat primer (pencegahan), peringkat sekunder (pengurusan) dan peringkat tertier (pemulihan) dalam isu penyakit mental di tempat kerja umumnya, dan isu bunuh diri di tempat kerja khususnya:

Cadangan Intervensi Primer (Pencegahan) di Tempat Kerja

Majikan perlu mengamalkan praktis rekrutmen, pemilihan pekerja baru, orientasi pekerja baru dan transisi pekerjaan yang evidence-based dan mesra kesihatan mental.

Selain itu, mereka perlu mewujudkan sensasi bertujuan (sense of purpose) dan budaya kebersamaan (togetherness) di tempat kerja, serta menyebarkan kefahaman tepat tentang pencegahan bunuh diri di tempat kerja. Boleh rujuk pautan Suicide Prevention.

Pihak majikan sewajarnya memberi pengiktirafan dan/atau ganjaran kepada pekerja-pekerja yang menunjukkan kebingkasan (resilience), pemulihan (recovery tapi tidak semestinya sembuh atau cured) dan kerahmatan (kindness, empathy dan compassion). 

Mereka juga boleh menganjurkan program kesejahteraan (wellness programme) dan sambutan Hari Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (meliputi kesihatan fizikal, mental, emosi dan spiritual). Boleh rujuk pautan How to Establish and Design a Wellness Program

Advokasi faktor-faktor risiko pemikiran bunuh diri dan perbuatan bunuh diri harus dilakukan supaya individu pekerja, rakan sepasukan dan majikan sama-sama membantu mencegahnya. Boleh rujuk pautan ‘Memahami psikologi bunuh diri’ tentang enam sebab berlakunya insiden bunuh diri.

Cadangan Interevensi Sekunder (Pengurusan) di Tempat Kerja

Pihak majikan perlu membina jaring keselamatan psikologi (psychological safety net) di tempat kerja. Boleh rujuk pautan How to Create a Psychological Safety Net for Employees.

Latihan tahunan boleh dilaksanakan untuk pekerja mengasah skil pertolongan cemas psikologi (psychological first aid) dan pertolongan cemas kesihatan mental (mental health first aid). Boleh rujuk dua pautan di bawah:

1. Psychological FirstAid: Pocket Guide

2. Mental Health First Aid (MHFA) Training

Di samping membina rangkaian sokongan dalam kalangan rakan sekerja, majikan perlu mewujudkan komunikasi yang berteraskan budaya kesihatan dan keselamatan, mesra kesihatan mental, tanpa stigma dan prejudis.

Membuat saringan kesihatan mental (mental health screening) berkala oleh majikan (bukan bertujuan untuk memecat, tapi) untuk mengenal pasti pekerja yang memerlukan rawatan profesional, walaupun mereka pekerja yang berprestasi tinggi. 

Pihak majikan juga wajar menyemak halangan-halangan perundangan, ganti rugi kepada pekerja, hak-hak OKU dan kriteria prestasi supaya lebih mesra kesihatan mental.

Cadangan Intervensi Tertier (Pemulihan) di Tempat Kerja

Majikan wajar menilai semula dan mempromosi manfaat perubatan (employee medical benefit) dan insuran/takaful berkaitan kesihatan mental.

Selain menilai semula dan promosi khidmat kesihatan mental profesional di tempat kerja atau pihak ketiga seperti employee assistance programme, majikan perlu membina protokol kemas jika berlaku kes bunuh diri di tempat kerja. Boleh rujuk pautan A Guide to Suicide Postvention in the Workplace.

Doa Kesejahteraan Mental

Majikan, rakan sepasukan, dan individu pekerja boleh mengamalkan doa untuk mencegah dan mengurus emosi yang boleh mengurangkan kualiti kesihatan mental di tempat kerja. 

“Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada keluh-kesah dan kesedihan, daripada rasa lemah dan kemalasan, daripada sifat penakut dan kebakhilan, daripada bebanan hutang dan daripada dikuasai seseorang.” (HR Bukhari, 6369)

Majikan, rakan sepasukan dan individu pekerja juga boleh mengamalkan doa untuk membantu dan menyokong proses kaunseling, terapi dan ubat-ubatan jika wujud simptom-simptom penyakit mental (termasuk pemikiran bunuh diri). 

“Ya Allah, tidaklah ada kemudahan, kecuali apa yang Engkau jadikan mudah. Dan Engkaulah yang menjadikan kesukaran ini menjadi mudah, jika Engkau menghendakinya.” (HR Ibnu Hibban, No. 974)

Mengenai Psikologi Organisasi

Psikologi organisasi adalah satu ilmu yang mengaplikasikan teori dan kajian saintifik dalam menerangkan, meramal, memahami, dan menyelesaikan isu-isu tingkah laku, mental dan emosi di tempat kerja dan organisasi.

Ia tidak terhad kepada isu-isu kesihatan mental sahaja. Graduan psikologi organisasi turut belajar isu-isu dalam pengurusan sumber manusia, tingkah laku organisasi dan kesihatan/keselamatan pekerjaan seperti dalam rajah di bawah.

Dr Alizi Alias
Pengerusi Psikospiritual IKRAM (P.S.I)
Profesional, Saintifik dan Islamik

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia