Memahami psikologi bunuh diri

Tapi mengatakan secara spesifik individu tertentu “si polan bin/binti si polan yang berniat untuk membunuh diri, atau telah pun membunuh diri akan masuk neraka” adalah satu operasi. Bab ini wajib kita serahkan urusannya kepada Allah semata-mata, Yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan Maha Berkehendak.

 

Mohon tidak ambil alih tugas Tuhan sebab dikhuatiri kita pula sebenarnya yang berpotensi untuk masuk neraka sebab mengambil alih tugas-Nya, nauzubillah.

 

Tambahan pula, dengan ilmu pengetahuan ilmiah tentang psikologi manusia yang cetek ini pun kita tidak mampu dan tidak layak untuk membuat hukuman atau keputusan di akhirat kelak.

Ada enam (6) sebab psikologi kenapa individu ‘membunuh diri’ (maklumat terperinci di pautan lampiran):

 

1. Kemurungan/depresi

2. Psikotik – khususnya skizofrenia

3. Impulsif – biasanya apabila dipengaruhi oleh alkohol atau dadah

4. Seruan untuk meminta pertolongan – biasanya kerana masalah duniawi

5. Keinginan filosofikal untuk mati – biasanya mereka yang sakit terminal

6. Kesilapan – membuat sesuatu yang diketahui bodoh/membahayakan lalu terbunuh

 

Sebab-sebab 3, 4 dan 5 berkemungkinan besar adalah manifestasi putus harapan (hopelessness), contohnya masalah kepercayaan/akidah yang selalu diberi amaran dalam hadis-hadis sahih tentang bunuh diri.

 

Sebab-sebab 1 dan 2 adalah manifestasi putus pertolongan (helplessness), contohnya masalah tingkah laku yang tidak lagi terkawal.

 

Tapi sebab-sebab 3, 4 dan 5 boleh sahaja dipengaruhi oleh, atau bergabung dengan sebab-sebab 1 dan 2.

 

Tapi sebab keenamlah (6) adalah yang paling jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang untuk melibatkan diri dengan perbuatan yang boleh memusnahkan atau membunuh diri sebab ia dilakukan dengan penuh kesedaran.

 

Kita selalu lupa hukum-hakam dan juga hukuman dalam syariah biasanya berlaku pada fasa akhir. Sebelum fasa akhir, ada fasa-fasa pensyariatan (tasyri’) dan fasa-fasa dakwah/tarbiah.

 

Amaran untuk tidak membunuh diri adalah intervensi yang sangat efektif untuk kes-kes 3, 4 dan 5 ketika zaman Nabi Muhammad SAW dan zaman Khulafa al-Rasyidin.

 

Manakala kes 1 dan 2 telah ditangani dengan baik ketika zaman Nabi Muhammad SAW dan zaman Khulafa al-Rasyidin hasil tarbiah iman yang mendalam, hasil latihan ibadah yang memberi kesan psikospiritual yang positif, hasil ukhuwah dan sokongan sosial yang meluas, hasil sosioekonomi dan sistem kebajikan yang efisien serta hasil sistem perundangan dan keadilan jenayah yang adil dan rahmah dan lain-lain.

 

Itu pun jika kita baca Hadis ke-167 riwayat Muslim, kemungkinan ada sahabat yang termasuk dalam kategori 1 atau 2 mungkin disebabkan beban psikologi yang sudah di luar kawalan.

Kes 6 sebenarnya yang paling banyak dibicarakan dalam syariah terutamanya dalam tajuk maqasid syariah, di bawah isu daruriyat, contohnya memelihara jiwa/nyawa.

 

Kita mungkin tidak sedar yang bunuh diri jenis kes keenamlah yang paling banyak berlaku sekarang seperti merokok (health psychology), merempit (traffic psychology), kerja tidak mengikut SOP ‘safety and health‘ (engineering psychology), dan lain-lain, yang juga memerlukan intervensi di peringkat makro (polisi, sistem dan undang-undang).

 

Ayat-ayat ‘tazkirah’, stigma, sindiran, sentap dan ‘troll‘ kita terhadap mereka yang dalam kes 1 dan 2, malah kes 3, 4, 5 dan malah kes 6 sekalipun boleh menjadi penyebab langsung kes bunuh diri.

 

Bukan itu sahaja, ia juga boleh memberi imej buruk terhadap sistem dakwah/tarbiah Islam, sistem sosial dan perundangan Islam, malah sistem akidah Islam.

 

Malah, ia juga boleh menyebabkan sebahagian orang Islam jadi tidak suka dengan agama (agnostik), berpindah kepada agama lain yang (bagi mereka) lebih mesra fitrah/psikologi (murtad) atau meninggalkan mana-mana agama terus (ateis), nauzubillah.

 

Sebab kes-kes 3, 4, 5, malah kes 6 sekalipun mungkin ada gabungan dengan kes-kes 1 dan 2 tanpa kita sedari.

 

Ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis sebenarnya lebih banyak memaparkan solusi-solusi operasional manakala ayat-ayat al-Quran yang bersifat konseptual pula menjadi garis panduan umum.

 

Umat Islam perlu belajar bagaimana untuk mengoperasikan konsep syariah dan dakwah ini menggunakan kemahiran berfikir, kemahiran psikomotor dan kemahiran afektif aras tinggi.

Misi kita ialah dakwah dengan penuh harapan (hope/raja’) untuk meramaikan penduduk syurga, bukan menentukan secara spesifik siapa penduduk neraka.

 

Nasib kita di akhirat pun tidak tentu lagi jika inilah cara kita mempromosi akidah, syariah, akhlak dan dakwah Islam. Pendidikan di sekolah, tarbiah dalam usrah-usrah, budaya kerja dalam organisasi dan polisi-polisi kerajaan harus memulakan usaha-usaha pencegahan bunuh diri ini di peringkat mikro dan makro, uni-level dan multi-level, jangka pendek dan jangka panjang.

 

Jangan lupa, kemungkinan besar mereka (yang hendak bunuh diri, pernah cuba bunuh diri atau telah pun bunuh diri) ini mungkin sudah pernah meminta pertolongan daripada kita, tapi disebabkan stigma dan bias kita, mereka tiada lagi tempat untuk meminta pertolongan lebih-lebih lagi jika kita sendiri telah memberi imej yang Allah itu sendiri seolah-olah tidak bersifat rahmah (belas kasihan) dan tidak akan memberi inayah (pertolongan) kepada mereka.

 

Mereka ini, kalau anda tidak perasan, mungkin ahli keluarga anda, sahabat-sahabat anda, jiran-jiran anda, ahli-ahli usrah anda, rakan-rakan sekerja anda malah tokoh-tokoh selebriti.

 

Harapan (raja’) adalah satu elemen psikologi yang sangat berkuasa, disinggung dalam surah al-Fatihah, dibahas dalam ilmu tasawuf dan dikaji serta dibuat intervensi dalam bidang psikologi positif.

 

Manakala sikap belas kasihan (rahmah) disinggung seawal kalimah basmalah (Bismillah…), dibahas dalam ilmu-ilmu akidah, fiqah, akhlak dan dakwah, dan menjadi antara konsep utama dalam bidang psikologi positif contohnya ‘kindness‘, ‘love‘, ‘caring‘, ‘compassion‘ dan lain-lain.

Kemurungan dan psikosis adalah penyakit mental. Jangan samakan cara berfikir mereka, tingkah laku mereka, dan emosi mereka 100 peratus dengan orang yang sihat.

اَلْـمُسْلِمُ أَخُوْ الْـمُسْلِمِ ، لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ ، وَمَنْ كَانَ فِـيْ حَاجَةِ أَخِيْهِ ، كَانَ اللهُ فِيْ حَاجَتِهِ ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ ، فَرَّجَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًـا ، سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

 

“Seorang Muslim adalah saudara orang Muslim lainnya. Ia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya diganggu (bahkan ia wajib menolong dan membelanya). Barang siapa membantu keperluan saudaranya, maka Allah Azzawajalla sentiasa akan menolongnya. Barang siapa melapangkan kesulitan orang Muslim, maka Allah akan melapangkan baginya daripada salah satu kesempitan di hari Kiamat dan barang siapa menutupi (aib) orang Muslim, maka Allah menutupi (aib)nya pada hari kiamat.” (HR Bukhari 2442 dan 6951 | HR Muslim 2580)

 

Kepada mereka yang ada perasaan untuk bunuh diri tapi hakikatnya anda tidak mahu membunuh diri, sila dapatkan bantuan profesional daripada ahli psikologi klinikal dan/atau doktor psikiatri.

 

Tarikh 10 September setiap tahun diisytiharkan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia. Bunuh diri boleh dicegah dan sebagai ahli masyarakat, kita boleh mengambil tindakan:

 

1. Mengambil serius tentang masalah mereka

2. Mengambil masa untuk mendengar keluhan mereka; dan

3. Mengambil berat dan memberikan sokongan sosial kepada mereka.

 

Sekiranya keadaan tidak bertambah baik, bantu mereka mendapatkan rawatan pakar atau hubungkan mereka dengan perkhidmatan yang sedia ada.

 

“Bekerja Bersama-sama Untuk Mencegah Bunuh Diri”

 

Sumber: FB Dr Alizi Alias | KKM

Dr Alizi Alias merupakan Ahli Psikologi Organisasi dan Pengerusi Psikospiritual IKRAM

Rujukan 6 sebab bunuh diri: Psychology Today

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia