20 November ialah hari yang istimewa buat kanak-kanak.
Pada tarikh ini, seluruh dunia meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia bersempena dengan ulang tahun Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1989. Malaysia turut menerima pakai konvensyen ini sejak tahun 1995.
Tema yang dipilih oleh UNICEF tahun ini ialah “My day. My rights. My future.” atau “Hari saya. Hak saya. Masa depan saya.” Melalui tema ini, kanak-kanak diberi ruang untuk bercakap tentang kehidupan, hak dan masa depan mereka sendiri. Mesejnya jelas: suara anak perlu didengar hari ini, bukan hanya apabila mereka dewasa nanti.
Persoalannya, sejauh manakah kita benar-benar mendengar suara hati anak-anak?
Sepanjang tahun 2026, Jawatankuasa Wanita IKRAM Negeri di seluruh Malaysia telah menjalankan 56 sesi CELOTEH di 13 buah negeri, melibatkan lebih 2,100 kehadiran kanak-kanak.

Anak-anak diberi peluang meluahkan isi hati mereka melalui pelbagai cara: menulis warkah, menampal emoji, melukis dan bercerita. 4

Daripada 449 petikan yang dianalisis secara kualitatif, satu tema jelas menonjol: kasih sayang. Anak-anak tidak meminta perkara yang besar. Mereka mahu disayangi, mahu dipeluk, dan sangat menghargai kehadiran keluarga serta kawan-kawan di sisi mereka.
Hari saya: Anak dambakan perhatian ibu bapa
“Saya suka ibu menemankan saya di dapur.” — Kanak-kanak di Selangor, 8 tahun
“Saya tak suka ibu saya kejut marah-marah.” — Kanak-kanak di Melaka, 12 tahun
Bagi anak, perhatian tidak perlu besar. Cukuplah orang dewasa benar-benar hadir untuk mereka, bukan sekadar ada di sisi, dan bercakap dengan mereka secara baik. Perkara kecil inilah yang mencorakkan hari-hari seorang anak.
Hak saya: Anak tahu apabila mereka rasa tidak selamat
“Bila nak masuk sekolah menengah, tidak mahu masuk sekolah berasrama, takut kena buli.” — Kanak-kanak di Perak, 12 tahun.
“Tempat ni bahaya sebab bila budak-budak mai, kan depa selalu buka benda ni [soket elektrik], elektrik keluaq, so depa akan bahaya.” — Kanak-kanak di Kedah, 10 tahun
Anak-anak berhak belajar dan bermain dalam suasana yang selamat. Mereka juga peka terhadap bahaya yang sering terlepas pandang oleh orang dewasa.
Soket elektrik, misalnya, biasanya dipasang rendah, betul-betul pada aras mata kanak-kanak, jadi mereka lebih mudah perasan bahayanya berbanding kita yang memandang dari atas. Apabila seorang anak takut ke sekolah, itu mungkin petanda bahawa hak ini belum dipenuhi, dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk memahaminya dari perspektif mereka.

Masa depan saya: Impian anak dan harapan mereka kepada kita
“(Bila saya sudah dewasa, saya harap saya akan jadi seorang) Ustaz yang suka tolong orang miskin dan menolong orang tua dan orang ramai.” — Kanak-kanak di Terengganu, 7 tahun
“Saya mau semua orang dewasa berhenti membuang sampah merata-rata / Saya mahu ibu bapa saya berhenti merokok.” — Kanak-kanak di Sabah
Impian anak-anak sering berkisar tentang membantu orang lain. Ada yang mahu menjadi ustaz, doktor atau cikgu. Harapan mereka kepada orang dewasa pula nampak mudah, tetapi menuntut kita berubah terlebih dahulu. Masa depan yang mereka impikan bermula dengan contoh yang kita tunjukkan hari ini.
Untuk lebih memahami dunia dari sudut pandang kanak-kanak, ikuti siri penulisan CELOTEH. Siri ini mengupas mengapa suara anak perlu didengari, mengapa fitrah anak suka bergerak, bagaimana bilik darjah, makanan, gajet dan jalan raya memberi kesan kepada mereka, serta bagaimana membina keyakinan diri anak.
Apabila kita faham sebab di sebalik tingkah laku anak, kita akan lebih sabar dan lebih tepat dalam mendidik mereka, bukan sekadar menegur. Jemput baca di ikram.org.my/tag/celoteh.

Selain memahami, kita juga perlu memberi anak ruang untuk bersuara. Bersempena Hari Kanak-Kanak, Wanita IKRAM Malaysia membuka Pertandingan Warkah Cilik kepada kanak-kanak berumur 4 hingga 17 tahun. Anak-anak boleh menyertainya dengan menulis atau melukis, mengikut kategori umur masing-masing.
Pertandingan ini dibuka sehingga 30 Disember 2026. Cuti sekolah hujung tahun nanti ialah peluang yang baik untuk mereka meluahkan isi hati dengan bebas, dalam suasana yang santai di rumah. Borang penyertaan: forms.gle/p5db6kT6aDt1NZbZ6
Hari Kanak-Kanak bukan sekadar hari untuk anak-anak. Ia juga peringatan buat kita, orang dewasa, bahawa hari mereka, hak mereka dan masa depan mereka bergantung pada sejauh mana kita sanggup mendengar dan mengambil kira suara hati mereka.
Dari Mata Anak untuk Dunia Kita.
Dr. Safiya Amaran
Jawatankuasa Advokasi Kanak-Kanak
Wanita IKRAM Pusat




