Pegawai ke sekolah

“Adik, lepas solat nanti tolong Umi belikan bawang. Bawang habis pula,” pinta ibuku padaku.

 

Seraya berjalanlah seorang budak perempuan ketika gelap pagi menghampiri terang menelusuri lorong belakang menuju ke rumah Cik Nora.

 

“Assalamualaikum Cik Nora.”

“Assalamualaikum.”

“Cik Nora..”

 

Ketukan pintu dan salam tidak berjawab.

 

Mahu patah balik ke rumah, risau ibuku tak dapat memasak. Tiada pula bekalan aku ke sekolah nanti.

 

Aku menunggu seketika.

 

“As.sala.mu.a.lai.kum.”

“Cik..Nora..”

 

“Waalaikumussalam,” sayup suara kedengaran.

Kedengaran bunyi selak pintu sedang dibuka. 

 

“Eh Rabiah! Dah lama ke tunggu? Ni ha Cik Nora tengah siapkan ‘pegawai-pegawai’ ni nak ke sekolah.” jelas Cik Nora padaku walau tanpa dipinta.

 

Pegawai? Ke sekolah? Ini kisah Cik Nora. Jiran selang satu lorong dari rumahku.

 

Cik Nora menjual barang-barang keperluan asas harian, susu pekat, gula, garam, bawang, ikan bilis, milo dan teh.

 

Semuanya dalam kuantiti yang kecil-kecil, boleh dibeli dalam keadaan terdesak. Ketuk sahajalah pintu rumahnya awal pagi atau larut malam, masih sahaja dilayannya kerana setiap ketukan bernilai rezeki buat dia.

 

Cik Nora hanya menjual di rumah. Penuh rak stok makanan di rumahnya. Rumahnya tidaklah sebesar mana tetapi kemas. Dan hobinya ialah mengubah-ubah kedudukan perabot dan rak, biar tidak jemu memandang katanya.

 

Salah satu perangai Cik Nora ialah suka menggelarkan anaknya dengan gelaran panggilan ‘kerjaya’ sewaktu memanggil anak-anaknya.

 

Engineer Luqman..” Begitulah lebih kurang bunyinya.

 

Anak-anaknya seramai lima orang; seorang dipanggil ‘pegawai’, seorang digelar ‘pensyarah’, seorang ‘jurutera’, seorang ‘doktor’ dan seorang lagi ‘saintis’.

 

Dulu-dulu aku pelik juga kenapa digelarkan anak-anaknya sebegitu. Adakala naik berbulu juga apabila mendengarnya.

 

Namun setelah dewasa baru aku sedar tentang ajaibnya doa seorang ibu. Bukan doa sahaja malahan mulut. Setiap kata-kata yang keluar dari mulut seorang ibu secara sedar atau tanpa sedar adalah doa.

 

Menjadi suri rumah tangga tidak menjadikan alasan untuk Cik Nora tidak mempunyai harapan dan wawasan yang tinggi untuk anak-anaknya. Seorang suri rumah biasa tetapi mempunyai mentaliti luar biasa.

 

Kini, anak-anak Cik Nora sudah dewasa. Ya, seperti janji Allah, doa sang ibu untuk anak memang tiada hijabnya. Kebanyakannya anak-anak Cik Nora telah berjaya. 

 

Ada pensyarah, jurutera dan pegawai sains. Walaupun zaman kecil-kecil mereka dahulu, yang aku tahu anak-anaknya bukanlah dalam kalangan ‘top scorer‘.

 

Jadi ibu atau bapa, biarlah hanya perkataan yang baik-baik sahaja yang keluar dari mulut kita. Bayangkan waktu kita sebut, “Tak gunalah kau ni” pada anak, segerombolan malaikat datang mengaminkan kata-kata kita.

 

Allahu… Maka dewasalah anak kita menjadi manusia tidak berguna.

 

‘Syaitan’, ‘bodoh’, ‘lembap’ atau apa sahaja perkataan yang tidak membawa maksud yang baik, nauzubillahi min zalik, kita jauhkan segala perkataan ini untuk anak kita. 

 

Biarlah anak kita nakal dan jahat macam mana sekalipun dan orang luar menilai macam-macam pada mereka. Tapi kita ibu dan bapa mereka, orang yang paling tidak boleh putus harap dengan mereka. Doa selagi mampu, menangis selagi perlu, sujud dan merayu.

 

Kerana mereka adalah amanah, bukan hak kita yang boleh kita buat suka-suka. Jika cantik coraknya, akan jadi saham yang mahal ketika kita sepi di kubur sendiri.

 

Kini, anak-anak Cik Nora sudah berjaya. Namun sayangnya, Cik Nora tidak sempat menangis gembira melihat kejayaan anak-anaknya.

 

Sewaktu aku berada di sekolah menengah, Cik Nora diserang darah tinggi. Pembuluh darah di otaknya pecah. Lebih kurang enam bulan beliau koma, beberapa kali menjalani pembedahan otak. Dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital tempat rawatannya.

 

Suami Cik Nora pun sudah berkahwin lain, namun doa Cik Nora tetap sahaja kekal diaminkan penduduk langit  dan dimakbulkan Sang Pencipta.

 

Siti Rabi’atul ‘Adawiyah S. Mohsain ialah seorang pendidik yang berasal dari Melaka. Beliau mula menceburi bidang penulisan sejak Disember 2019 dan telah menulis dalam beberapa buah buku antologi cerpen dan puisi.

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia