Pasca-Ramadan: Apa Manifestasi Sebenar Kemenangan?

Hari Raya Aidilfitri melambangkan kemenangan umat Islam dalam mendidik nafsu sepanjang Ramadan. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mendidik jiwa selama sebulan.

Didikan jiwa ini bermula dengan sahur yang mengajar disiplin. Berpuasa pada siangnya melatih kita mengawal nafsu zahir dan batin. Pada waktu berbuka pula, kita dilatih dengan sifat dermawan, manakala solat tarawih dan qiamullail merupakan latihan mendekatkan diri dengan Allah.

Amalan iktikaf pula mengikat hati dengan rumah-Nya. Kesemua amalan ini membentuk latihan rohani yang lengkap bagi mereka yang berpuasa dengan penuh ketaatan dan keikhlasan.

Setelah sebulan menjalani ibadah puasa yang dihiasi dengan pelbagai amalan kerohanian, umat Islam akhirnya meraikan kemenangan mereka melalui sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan dan kegembiraan, penting bagi umat Islam untuk memahami maksud dan falsafah “meraikan kemenangan”’ hari raya tersebut.

Kefahaman sebenar ini menjadikan seseorang itu tidak lupa dirinya dan terus istiqamah dengan amalannya yang telah dilakukan sepanjang berpuasa pada bulan Ramadan.

Kemenangan mengawal nafsu

Meraikan sambutan Aidilfitri pada bulan Syawal membuktikan seseorang itu telah mencapai kemenangan mengawal nafsu dengan cara meninggalkan amalan yang dilarang. Maka, hari raya merupakan masa untuk meraikan kemenangan umat Islam menundukkan hawa nafsu pada sepanjang bulan Ramadan.

Menurut al-Ghazali, terdapat dua nafsu dalam diri manusia yang perlu dididik. Yang pertama ialah nafsu lawwamah iaitu nafsu yang tidak stabil, adakalanya cenderung kepada kebaikan, namun mudah dipengaruhi oleh kehendak dan syahwat.

Yang kedua ialah nafsu ammarah iaitu nafsu yang sentiasa mendorong kepada kejahatan yang sering tunduk kepada godaan syaitan. Nafsu inilah yang dididik sepanjang berpuasa serta dilatih untuk mencapai nafsu mutmainnah, iaitu nafsu yang tenang dan damai serta cenderung kepada kebaikan.

Bayangkan seseorang itu berusaha selama sebulan untuk menyucikan nafsunya dengan mengawal dan mendidiknya serta diisi sifat-sifat terpuji serta amalan soleh. Proses ini perlu diteruskan dengan bersederhana baik dari sudut menjaga pakaian, pengambilan makanan, pergaulan, percakapan dan tingkah laku.

Seharusnya kemenangan mendidik nafsu ini tidak diabaikan dan perlu dijaga sebaiknya agar tidak dicemari dengan amalan yang mampu melemahkan kawalan nafsu tersebut. Tiadalah ertinya kemenangan jika seseorang itu tidak mampu mengawal nafsunya pada bulan -bulan seterusnya.

Kemenangan rohani

Kemenangan rohani dapat dilihat daripada pelaksanaan berpuasa dengan penuh kesabaran dan keikhlasan, berjaya menahan diri daripada lapar dan dahaga serta tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa atau mengurangkan pahala berpuasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari Ia menunjukkan kekuatan iman dan kesabaran dalam mengawal nafsu demi mencari keredaan Allah.

Sepanjang bulan Ramadan juga kebiasaannya, seseorang itu akan berazam untuk menjadi insan yang lebih baik, meninggalkan sifat buruk dan mendisiplinkan diri dalam ibadah bagi meraih kemenangan rohani.

Yang mencari bekalan rohani akan menghadiri majlis ilmu dan memperbanyak zikir, selawat serta doa untuk mendapat keampunan, rahmat dan keredaan Allah SWT.

Malah pada sepuluh malam terakhir, seseorang itu akan mempergiatkan amalannya serta menjauhkan diri daripada urusan duniawi demi mencapai kemenangan mencari malam lailatulqadar.

Justeru, kemenangan rohani pada Aidilfitri merujuk kepada kejayaan umat Islam dalam mengatasi godaan duniawi pada sepanjang bulan Ramadan. Inilah lambang kekuatan iman dan ketakwaan seseorang Muslim dalam menghadapi dugaan serta cabaran kehidupan.

Kemenangan membentuk akhlak mulia

Kemenangan sebenar lain yang dicapai ialah kemenangan membentuk akhlak mulia dalam meneruskan usaha-usaha yang dilakukan sepanjang Ramadan yang mendidik seseorang menjadi insan bertakwa dan berakhlak tinggi.

Sepanjang umat Islam melaksanakan puasa, mereka berusaha sedaya upaya untuk banyakkan bersabar, menjaga pertuturan, tidak mengeluarkan kata-kata kesat, menutup aurat dan menjaga solat, khususnya tidak meninggalkan solat Tarawih pada setiap malam Ramadan.

Selain itu, mereka mengelakkan pergaduhan dan perselisihan, mengamalkan gaya hidup sederhana, tidak berlebih-lebihan ketika berbuka serta sentiasa bersyukur dengan nikmat yang ada.

Pembinaan akhlak terpuji yang dipupuk sepanjang Ramadan seperti berkeperibadian mulia, bersifat belas kasihan, dermawan, sederhana dan ikhlas seharusnya diteruskan selepas bulan puasa.

Kemenangan sebenar bukan sekadar meraikan hari raya, tetapi dapat mengekalkan akhlak mulia ini dalam kehidupan seharian serta terus beristiqamah dalam melakukan amal soleh. Kemenangan pada hari raya sebenarnya mencerminkan azam untuk meneruskan serta mengekalkan akhlak mulia yang dididik sepanjang bulan Ramadan bagi membentuk peribadi menjadi insan yang kamil.

Kemenangan mengatasi cabaran mental dan fizikal

Berpuasa selama sebulan sebenarnya merupakan satu cabaran yang menguji ketahanan fizikal dan mental seseorang serta menuntut disiplin juga azam yang tinggi untuk menghadapinya.

Maka hari raya sebenarnya meraikan kemenangan umat Islam mengatasi segala cabaran ini. Kemenangan ini memperteguh kekuatan dalaman hasil daripada kekuatan jasmani dan emosi yang mengharungi cabaran tersebut.

Sepanjang berpuasa, seseorang itu berhadapan dengan cabaran fizikal, menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar sehingga terbenam matahari bagi tempoh yang lama. Hal ini mampu menyebabkan kelaparan, kehausan dan keletihan fizikal.

Namun, umat Islam masih meneruskan aktiviti harian dengan meneruskan tanggungjawab seperti bekerja, belajar dan menguruskan keluarga. Perkara ini menuntut stamina dan daya tahan fizikal yang tinggi.

Bagi cabaran mental pula, seseorang itu perlu melawan keinginan untuk makan, minum atau melakukan perkara yang membatalkan puasa. Situasi ini menguji kekuatan mental dan keazaman yang tinggi untuk mengawal nafsu.

Namun, mereka yang bergelar pelajar atau pekerja pula perlu mengekalkan fokus dan produktiviti. Walaupun berasa lapar dan dahaga, tumpuan kepada pembelajaran dan kerja dikekalkan serta perlu diselesaikan berdasarkan amanah yang diberikan.

Mental yang kuat perlu tahu mengawal emosi. Sepanjang berpuasa, kemampuan mengawal emosi seperti marah, runsing, tertekan dan resah akan teruji.

Emosi boleh menjejaskan niat dan keikhlasan dalam berpuasa. Begitu juga halnya dengan amalan-amalan ibadah yang boleh meningkatkan takwa dan lebih mendekatkan diri kepada Allah. Semua ini menuntut komitmen mental agar terus istiqamah dalam melakukan amalan-amalan baik.

Apabila seseorang berjaya mengatasi cabaran mental dan fizikal pada sepanjang Ramadan, mereka akan meraih kemenangan hakiki dalam mendisiplinkan diri, meningkatkan ketahanan fizikal dan mental serta memantapkan kerohanian. Kemenangan ini menjadikan mereka individu yang lebih tabah, berdisiplin dan beriman untuk mengharungi cabaran kehidupan.

Kemenangan dalam mengukuhkan perpaduan

Aidilfitri bukan sekadar perayaan yang meraikan tamatnya bulan Ramadan, namun menunjukkan manifestasi perpaduan dalam kalangan umat Islam. Kemenangan dalam perpaduan ini bermula daripada mendirikan solat sunat Aidilfitri.

Umat Islam daripada pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat akan berkumpul di masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama. Hal ini menunjukkan kesatuan dan kesaksamaan dalam beribadah.

Perpaduan ini terus disemai melalui penyampaian khutbah Aidilfitri yang selalunya menyentuh tentang kepentingan perpaduan, kasih sayang dan kemaafan. Ia menyemai semangat persaudaraan dalam kalangan jemaah.

Meraikan kemenangan diteruskan melalui kunjungan, menziarahi saudara-mara, jiran tetangga dan rakan-rakan. Sambutan Aidilfitri akan menjadi medan pertemuan sanak saudara, terutamanya mereka yang jarang bertemu sepanjang tahun.

Ketika ini mereka saling bermaafan dan menikmati juadah bersama-sama. Aktiviti sebegini mampu mengukuhkan ikatan kekeluargaan, mengekalkan hubungan baik antara ahli keluarga, memupuk semangat kejiranan dan persefahaman dalam keluarga dan masyarakat.

Kemenangan dalam perpaduan yang ditonjolkan pada sambutan Aidilfitri sebenarnya mencerminkan semangat persaudaraan dalam Islam.

Kemenangan ini menyatukan umat Islam dalam ikatan iman dan menggalakkan sikap saling menghormati, mengasihi dan bertolak ansur. Perpaduan ini bukan sahaja penting untuk kesejahteraan ummah, tetapi juga menjadi contoh teladan kepada masyarakat berbilang kaum dan agama.

Oleh itu, penting untuk kita memahami dan menghayati falsafah kemenangan di sebalik sambutan Hari Raya Aidilfitri agar kemenangan yang dikecapi tidak tersasar dengan perbuatan dan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam.

Kemenangan ini seharusnya menjadi pemangkin untuk umat Islam terus istiqamah dalam melakukan amalan-amalan baik, bukan sahaja pada bulan Ramadan, tetapi juga pada bulan-bulan seterusnya di sepanjang tahun.

Inilah intipati sebenar “kemenangan” yang perlu dihayati agar kita sentiasa berada di landasan yang diredai Allah.

Masihkah kita ingat?

Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia