Tewas 0-4: Sukarnya Pertahan Jiwa Kemenangan

Tewas 0-4: Sukarnya Pertahan Jiwa Kemenangan | IKRAM

Malaysia tewas 0-4 kepada Jordan! Demikian raungan yang bergema ke seluruh negara sejak pasukan Harimau Malaya tewas perlawanan pertama bola sepak Piala Asia 2023 di Qatar pada 15 Januari lepas.

Sebelum itu, prestasi membanggakan pasukan kebangsaan, lebih-lebih lagi selepas mendapat suntikan luar biasa jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon (KPG) sejak pertengahan Februari 2022 begitu mengujakan peminat sukan nombor satu tanah air itu. Di bawah kendalian KPG, Malaysia mencatat tujuh kemenangan, dua seri dan satu kekalahan daripada 10 perlawanan. 

Lebih indah apabila Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit buat kali pertama dalam masa 43 tahun apabila berjaya menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi cukup menghiburkan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Jun 2022. 

Sejak detik tersebut, keyakinan rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak semakin tinggi. Kita mampu berjaya. Kita mampu menjadi juara dengan semangat, latihan dan tunjuk ajar daripada orang yang betul. Nama KPG dijulang. Segala percaturan KPG dipersetujui, dianggap terbaik dan magis. 

Dalam beberapa pertandingan termasuk Pesta Bola Merdeka 2023 dan kempen kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia berjaya mengalahkan India dan Kyrgyzstan serta mampu pula seri dengan China dan Syria.

Sebagai pasukan di ranking lebih rendah, keputusan-keputusan tersebut amat mengagumkan, apatah lagi dengan China yang dianggap antara kuasa besar bola sepak Asia.

Bagaimanapun, tewas kepada Jordan baru-baru ni dengan bolos tiga gol dalam separuh masa pertama cukup memeritkan. Komen para netizen yang sebelum perlawanan membayangkan keyakinan demi keyakinan akan menang ternyata berubah 180 darjah apabila pasukan negara dipaksa bungkam dengan kekalahan besar 4-0. 

Reaksi peminat?

Hampir 90 peratus komen netizen yang yakin Malaysia bakal menumpaskan Jordan tiba-tiba menjadi sebaliknya. Masing-masing sibuk menyalahkan itu dan ini, pemain itu dan pemain ini, bahkan KPG yang disanjung-sanjung sebelumnya turut menerima kecaman pedas.

Hanya seorang dua yang bersikap tenang, meminta supaya semua orang bersabar. Malaysia sudah terlalu lama tidak ke kancah pertandingan besar seumpama Piala Asia ini, dan pertemuan dengan Jordan itu pun merupakan aksi sulung dalam kumpulan. 

Lebih daripada itu, kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA di tangga 130 memang sangat jauh jika dibandingkan dengan Jordan (87). Dua pasukan lagi dalam Kumpulan E ialah Bahrain (86) dan salah satu gergasi Asia, Korea Selatan (23).

Pengajarannya?

Sesuatu yang dapat disimpulkan di sini ialah tatkala kita berjaya, ramai yang memuji dan menyokong kita. Bagaimanapun, tatkala kita kalah, kita akan terus dikeji dan dicaci. 

Kita selalu mendengar penyokong bola sepak setia atau die-hard fans tidak sepatutnya menyokong ketika pasukan mereka menang sahaja. Penyokong setia kelab bola sepak Liverpool dan Newcastle di England misalnya tetap teguh bersama pasukan mereka tidak kira sama ada pasukan kesayangan mereka jatuh atau bangun.

Kalau begitu keadaannya dalam bola sepak, begitulah juga halnya dalam perjalanan negara dan perjuangan umat. Seorang warganegara atau insan yang baik ialah seorang yang pemikiran dan tindakannya sentiasa mendahulukan kebenaran.

Sekalipun negara dan masyarakatnya dalam keadaan sukar, dia tetap berdiri teguh mempertahankannya. Dia berjuang dengan segala kemampuannya untuk membangunkan negara, memperbaiki masyarakat dan memperkasakan umat. 

Jadilah manusia yang mempunyai jati diri dan semangat perjuangan sejati. Menyokong sesuatu bukan “sokong membawa rebah”, tetapi menyokong dengan gagah dan penuh ‘izzah.

Kekuatan bukan hanya apabila berada di atas, tetapi kekuatan sebenar adalah apabila sudah terperosok di bawah tapi mampu bangkit untuk menggapai kejayaan. Itulah jiwa kemenangan yang harus dipertahankan.

Hj A Ralim M Yassen
Editor

Foto: Bernama

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia