Parental Burnout: Simptom, Faktor dan Solusinya

Parental Burnout: Simptom, Faktor dan Solusinya | IKRAM

Parental burnout atau kelesuan upaya ibu bapa ialah satu sindrom ibu bapa mula stres dan hilang keyakinan diri untuk menjalankan peranan sebagai ibu bapa.

Pada kebanyakan masa, burnout dikaitkan dengan isu stres kronik di tempat kerja. Akan tetapi, gejala parental burnout difahami secara amnya sebagai burnout yang dialami oleh ibu dan bapa dalam proses mendidik dan membesarkan anak- anak. 

Antara gejala-gejala yang dialami oleh individu yang mengalami burnout ini seperti yang disenaraikan oleh World Health Organization (WHO) adalah seperti kelelahan secara fizikal dan mental, perasaan yang negatif dan rasa terasing dengan kerja, dan juga kurang efektif dalam kerja-kerja yang dilakukan.

Menurut American Psychological Association (APA) pula, burnout ini menjadikan seseorang yang berprestasi tinggi akan menurun prestasinya kerana tahap stres dan ketegangan yang sangat tinggi. Walaupun gejala burnout ini merupakan gejala yang tidak asing dikupas dan dikaitkan dengan prestasi tempat kerja, namun ia sangat boleh diguna pakai di luar sistem pekerjaan, malahan dalam kehidupan seharian seorang individu.

Menurut seorang psikologis yang juga merupakan seorang clinical associate professor of psychology di New York Presbyterian Hospital Weill-Cornell Medical College iaitu Dr. Gail Saltz, gejala burnout boleh dihasilkan oleh mana-mana situasi yang menyebabkan tekanan atau stres dalam situasi  berkenaan melebihi kemahiran untuk mengatasi stres tersebut atau melebihi sokongan yang diperlukan oleh individu berkenaan untuk mengatasinya.

Menurut seorang ahli psikologi klinikal, Dr Anjali Ferguson pula, walaupun definisi atau terma parental burnout tidak ada secara rasmi, namun dalam kalangan pakar, ia difahami sebagai gejala yang menyebabkan ibu bapa mengalami keadaan keletihan yang melampau.  Ia memberi kesan kepada fizikal, mental dan emosi mereka.

Parental burnout ini jika tidak diatasi dengan baik, akan menyebabkan kesan dan impak yang besar terhadap kesihatan mental dan juga boleh meningkatkan risiko individu ini mengalami penyakit mental seperti kemurungan dan juga kebimbangan. 

Pada kebanyakan masa, ibu bapa yang berada dalam situasi ini merasakan mereka seolah-olah terperangkap. Dalam sesetengah keadaan yang ekstrem pula, ada sesetengah ibu bapa yang bertindak mencederakan anak-anak mereka atau mengabaikan mereka.

Jadi, sangat penting untuk kita memahami bahawa sesiapa yang mengalami parental burnout ini perlu dibantu sebaiknya dan dengan kadar yang segera untuk mencegah kejadian yang tidak diingini.

Simptom parental burnout

Oleh itu, kita perlu mengetahui dahulu simptom-simptom yang terkait dengan gejala ini. Para pengkaji telah menghasilkan satu penilaian yang dipanggil Parental Burnout Assessment (BPS) pada tahun 2018 untuk membantu mengenal pasti dan memahami fenomena ini dengan lebih baik. Parental burnout boleh dibahagikan kepada empat komponen yang utama.

  1. Rasa keletihan kerana keibubapaan

Ia merupakan keletihan yang berlainan ketika seseorang individu itu mempunyai bayi yang baru sahaja lahir ataupun ketika berhadapan dengan anak-anak kecil (toddler) yang mempunyai energi yang berpanjangan.

Akan tetapi, menurut pendapat pakar, ia merupakan situasi ibu bapa akan diselubungi oleh stres dan kelelahan sehingga menyebabkan mereka tidak lagi mampu untuk berhadapan dengan tekanan keibubapaan.

Setengahnya akan mengalami simptom-simptom fizikal  yang sama seperti individu yang mengalami stres yang kronik seperti sakit kepala, sakit belakang dan juga sendi-sendi, perut yang memulas dan juga kesukaran untuk tidur. 

  1. Berasa seperti ibu bapa yang teruk

Para pengkaji mengatakan bahawa hal ini merupakan perasaan yang mengakibatkan seseorang individu itu merasakan diri mereka berbeza berbanding diri mereka sebagai seorang ibu bapa sebelum ini.  

Ia sama ada anda merasakan diri anda bukanlah ibu dan bapa yang baik, atau perasaan yang menyelubungi menjadikan anda berasa bahawa anda bukanlah ibu atau bapa yang seperti sebelumnya, atau anda berasa keliru dalam peranan anda sebagai ibu atau bapa. 

Jadi, perasaan bersalah akan sentiasa menyelubungi kerana mungkin anda berasa seperti anda tidak menjalankan tanggungjawab dengan cukup baik, atau tidak menjadi ibu bapa yang cukup baik, atau anda berasa bimbang dalam semua aspek terkait dengan cara membesarkan atau mendidik anak.

  1. Rasa muak menjadi ibu bapa

Kebanyakan ibu bapa yang mengalami gejala parental burnout akan mengalami perasaan seperti tidak mahu lagi menjadi seorang ibu atau bapa, atau mereka tidak lagi bahagia bersama anak-anak. 

Anda mungkin akan berasa mudah untuk memarahi anak-anak dan mungkin juga perasaan itu terbawa-bawa antara suami dan isteri. 

  1. Menjauhkan diri secara emosi dengan anak-anak

Perkara ini merupakan simptom yang dikatakan red flag oleh pakar.

Anda merasakan tiada lagi hubungan secara emosi dengan anak-anak dan mengalami kesukaran untuk menunjukkan kasih sayang dan kemesraan kepada mereka, malahan anda juga berasa tidak seronok ketika berperanan sebagai ibu atau bapa dan ketika mengalami proses membesarkan anak-anak dan mula untuk menjauhkan diri anda daripada anak- anak dan juga orang sekeliling yang anda sayangi.

Secara umumnya, kita mengetahui bahawa menjadi ibu bapa itu bukanlah satu proses yang mudah. Kita akan selalu diselubungi keletihan dan justeru sukar untuk membezakan sama ada pada ketika itu kita sudah burnout. Menurut Dr. Ferguson, kuncinya ada pada  komponen emosi.

Sekiranya anda berasa kelelahan tetapi masih lagi merasakan ada hubungan emosi yang baik dengan anak-anak dan dapat mencari perkara yang menjadikan anda gembira walaupun dalam keadaan hari yang paling mencabar, berkemungkinan besar anda tidak mengalami gejala burnout ini. 

Akan tetapi, jika keadaan berlaku sebaliknya dan anda sentiasa berasa ingin menjauhkan diri daripada anak-anak dan juga keluarga, perkara ini perlu diambil perhatian lebih.

 

Jika anda masih keliru, soalan-soalan di bawah yang dicadangkan untuk dijawab oleh diri anda sendiri mungkin boleh membantu:

  • Adakah anda berasa sangat letih menjadi ibu bapa?
  • Adakah anda dapat tidur dengan baik dan bukan disebabkan keletihan?
  • Adakah anda rasa overwhelmed dengan semua perkara yang anda perlu lakukan sebagai ibu atau bapa?
  • Adakah anda seperti autopilot atau berada dalam keadaan survival mode sebagai ibu bapa?
  • Adakah anda merasakan diri anda bukan seperti seorang ibu atau bapa yang anda bayangkan?
  • Adakah anda berasa malu atau bersalah dengan skil anda sebagai ibu bapa?
  • Adakah anda berasa marah, kecewa dan terperangkap dalam situasi anda?
  • Adakah anda secara emosinya jauh daripada anak-anak? Adakah sukar untuk anda berada di sekeliling mereka?

 

Jika anda menjawab “ya” kepada satu atau lebih daripada soalan-soalan di atas, SAYA amat menyarankan untuk anda mendapatkan bantuan dengan segera dengan berjumpa orang-orang yang ahli  iaitu sama ada kaunselor atau psikologis terkait dengan hal ini yang dapat membantu anda mengatasi hal ini.

Faktor parental burnout

Seterusnya SAYA ingin membahaskan sebab-sebab terjadinya parental burnout ini. 

  1. Ketidakcukupan sokongan

Setiap orang mempunyai keperluan yang berbeza mengikut situasi masing-masing. Berkemungkinan ada yang memerlukan lebih sokongan emosi, ada yang mempunyai kepayahan mencari tempat nurseri yang baik untuk anak-anak, tidak mendapat bantuan ahli keluarga yang berdekatan atau mempunyai rakan dan jiran yang kurang membantu, berjauhan daripada ahli keluarga atau pelbagai lagi situasinya. 

Berkemungkinan juga ibu atau bapa tidak mempunyai self care plan yang baik untuk membantu menjaga kesejahteraan kesihatan mental mereka.

  1. Stres kewangan dan juga stres lain dalam kehidupan

Jika keseluruhan hidup anda sangat mencabar dan mengalami kepayahan, ia akan menyebabkan kehidupan sebagai seorang ibu atau bapa menjadi lebih sukar. Apatah lagi jika anda merupakan seorang ibu atau bapa tunggal.

Dengan kepayahan untuk mencari sumber kewangan, situasi kerja yang tidak menentu, diskriminasi di tempat kerja atau sedang menjaga ahli keluarga yang sakit, ia boleh menjadi asbab yang besar yang menjadikan anda diselubungi stres yang berlebihan.

  1. Perfectionism

Ibu bapa yang mempunyai kecenderungan untuk menjadi terlalu sempurna akan lebih mudah untuk mempunyai kecenderungan mengalami gejala parental burnout. Jika anda terlampau menginginkan kesempurnaan, ia boleh mengganggu-gugat pandangan anda jika berlaku di luar jangkaan dan kemahuan anda, sama ada untuk diri anda sendiri atau anak- anak. 

  1. Isu kesihatan mental yang lain

Selain daripada stres di tempat kerja atau gejala burnout di tempat kerja, faktor kesihatan mental atau penyakit mental sebelum menjadi ibu bapa juga merupakan salah satu daripada penyebab yang akan meninggikan lagi kebarangkalian untuk anda mengalami parental burnout. 

Kajian di Ohio State University menunjukkan bahawa 77 peratus ibu bapa yang mempunyai isu kebimbangan akan mengalami parental burnout. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang mengalami isu kesihatan mental seperti Attention Deficit Hyperactivity (ADHD) juga akan meningkatkan lagi kebarangkalian untuk mengalami parental burnout.

Solusi parental burnout

Jadi, apakah cara untuk mengatasinya? SAYA memetik beberapa solusi yang disarankan oleh laman sesawang whattoecxpect.com yang merupakan hub terbaru untuk ibu bapa mencari bahan bacaan berkaitan ilmu keibubapaan dan info-info di situ diberi dan disemak semula oleh pakar-pakar yang terkait dalam bidang psikologi dan juga perubatan.

  1. Mencari sokongan sosial 

Sokongan sosial yang baik akan membantu mengurangkan rasa stres dan membantu anda untuk lebih mempunyai daya tahan yang tinggi dalam situasi mencabar. Antaranya ialah bersembang dengan orang yang dipercayai seperti ahli keluarga, rakan-rakan atau ibu bapa yang lain.

Ia akan membantu untuk meringankan beban dan mengurangkan rasa malu yang anda alami kerana orang lain juga mengalami situasi yang sama.

  1. Agihkan beberapa tugas keibubapaan

Jika anda merupakan penjaga utama dan terasa seperti anda sudah hampir lemas, yang anda perlukan adalah untuk mendapatkan bantuan. 

“Kadang-kadang kita tidak boleh melakukan semuanya dan kita harus sentiasa merasakan okey untuk mendapatkan bantuan,” kata Dr. Ferguson. 

Kurangkan lebihan tugasan yang telah anda lakukan kepada pasangan anda, bekas pasangan, rakan atau ahli keluarga.

Jika anda mempunyai kemampuan, ambil pengasuh atau tambahkan waktu kerja mereka untuk memberi diri anda rehat daripada tugas ibu atau bapa dari semasa ke semasa. Tiada salahnya dalam mendapatkan bantuan. 

  1. Katakan tidak kepada komitmen berlebihan

Berusaha untuk kesempurnaan boleh jadi sangat meletihkan. Lihat pelan kehidupan atau jadual anda untuk melihat perkara yang anda boleh laraskan untuk menjadikan hidup anda lebih mudah. 

Contohnya adalah seperti berikut. Adakah anak anda benar-benar memerlukan lima kelas tambahan atau aktiviti selepas sekolah? Bolehkah anda berundur sekejap daripada kerja-kerja sukarelawan buat sementara waktu? Bolehkah anda meminta kerja anda untuk waktu yang lebih fleksibel atau bekerja secara jarak jauh?

  1. Menambah skil dan ilmu keibubapaan

Antara fasa yang paling mencabar untuk ibu dan bapa adalah fasa perkembangan anak-anak ketika mereka masih kecil seperti waktu untuk potty training dan berkurangnya waktu tidur mereka.

Pakar mengatakan bahawa mempelajari teknik yang baru sesuai dengan situasi anda ketika itu adalah sangat penting kerana ia akan menambahkan keyakinan diri anda sebagai seorang ibu atau bapa. Sama ada melalui pembacaan atau menghadiri kelas-kelas keibubapaan, itu pilihan yang anda sendiri boleh tentukan.

  1. Mengutamakan pengurusan stres anda 

Jika anda berada dalam situasi yang berbahaya seperti  contohnya di dalam kapal terbang, antara perkara yang menjadi keutamaan pada ketika itu adalah untuk anda mendahulukan diri anda sebelum orang lain seperti pemakaian topeng oksigen. Perkara yang sama juga berlaku dalam dunia keibubapaan.

Jika anda tidak mengutamakan diri dan kesihatan anda, bagaimana anda ingin membantu orang lain, lebih-lebih lagi anak-anak yang masih kecil? 

Bersenam secara konsisten, mandi dalam air panas atau berjalan bersama rakan-rakan adalah antara contoh yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan tahap stres anda. Jadikan aktiviti-aktiviti ini satu keutamaan dan letakkan dalam jadual anda sekurang kurangnya sebulan sekali.

  1. Ada masa untuk diri sendiri tanpa anak-anak

Sekali-sekala sememangnya ibu dan bapa memerlukan sedikit masa berjauhan dengan anak. Jika anda mempunyai pilihan untuk keluar bersama rakan atau “mengopi” selama sejam dua bersama rakan tanpa anak-anak sebagai contoh, ia adalah satu peluang yang baik.

Jika tidak, cari masa ketika mana anda tidak diganggu untuk melakukan kerja-kerja yang memberikan keringanan kepada anda seperti membaca buku, menonton TV atau makan snek yang anda sukai tanpa gangguan dengan bangun awal pagi atau ketika anak-anak sedang tidur.

  1. Bersembang bersama ahli terapi

Walaupun ia bukanlah asbab untuk menjadikan anda pulih sepenuhnya, bercakap dengan ahli terapi yang berlesen akan memampukan anda untuk mendapatkan pengesahansahihan atau “validasi” emosi (emotional validation) yang anda perlukan.

Malahan, mereka boleh membantu anda menambah kemahiran untuk mengatasi stres dalam kehidupan dan mereka mempunyai insights (wawasan/pandangan ke depan) untuk membantu anda melihat  perkara-perkara yang mungkin anda terlepas pandang ketika diselubungi stres.

Oleh itu, SAYA amat berharap isu parental burnout ini dapat ditangani dengan baik dan diharap artikel ini dapat membantu kita sebagai individu untuk menjaga kesejahteraan mental dengan lebih baik, it is okay to not be okay.

Dan bukanlah satu kekurangan jika kita mengalami gejala ini, malahan itu tandanya kita sudah mempunyai progres yang baik dalam usaha untuk menjadi ibu bapa yang terbaik buat anak-anak kita. 

 

Nurul Nadiah Mansor
Presiden SAYA – IKRAM Muda

 

SAYA merupakan inisiatif advokasi tentang kesedaran isu kesihatan mental dalam kalangan orang muda.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia