Penerbangan dari Tel Aviv ke Abu Dhabi itu yang menggunakan laluan udara Arab Saudi menjadikan perjalanannya dipendekkan dari tujuh jam ke tiga jam 20 minit.
“Sangat menyakitkan bagi kita hari ini apabila sebuah kapal terbang Israel mendarat di UAE, dengan nama penerbangan berkod LY971, Kiryat Gat, penempatan yang dibina di atas tanah Palestin yang dijajah di kota Fallujah di mana Gamal Abdel Nasser (bekas Presiden Mesir) terperangkap,” kata Shtayyeh ketika memulakan mesyuarat kabinet mingguan Palestin yang diadakan di Ramallah.
Penerbangan itu jelas menampakkan pelaksanaan perjanjian Amerika Syarikat (AS) untuk menormalkan hubungan antara Israel dan UAE, mengukuhkan hubungan lama dan rahsia antara mereka yang telah terjalin selama bertahun-tahun. Ia pelanggaran yang jelas dan terang-terangan terhadap kedudukan Arab terhadap konflik Arab-Israel.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Palestin itu tetap memberikan penghormatan kepada beberapa negara Arab yang menentang normalisasi dengan Israel yang menjadikan lawatan Setiausaha AS, Mike Pompeo ke Timur Tengah baru-baru ini gagal mencapai tujuan yang diinginkan.
UAE sebelumnya, menyatakan normalisasi hubungannya dengan Israel sebagai usaha untuk memaksa Israel menghentikan rancangannya yang kontroversi untuk merampas (aneksasi) sebahagian wilayah Tebing Barat, tanah rakyat Palestin.
Namun, rakyat Palestin tetap menentang keras normalisasi itu sebagai salah satu pengkhianatan mereka dalam rundingan damai dengan Israel, mereka telah mengadakan tunjuk perasaan secara terbuka dan membakar bendera UAE dalam keadaan marah.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Hamas, Hazem Qassem mengatakan bahawa perjanjian UAE-Israel bertentangan dengan kedudukan orang-orang Arab, dan tidak lain hanya untuk kepentingan Zionis.
“UAE yang bertindak demikian bertentangan dengan sikap rakyat dan negara, dan konsensus rasmi untuk menentang normalisasi. Perjanjian UAE-Israel hanya untuk kepentingan Zionis, bertentangan dengan keamanan nasional Arab dan menimbulkan perselisihan di rantau ini,” kata beliau.
Melalui AS sebagai negara perantara, Israel dan UAE pada awal bulan Ogos lalu berusaha menjalinkan normalisasi, yang menjadikan UAE sebagai negara Arab ketiga yang mempunyai hubungan penuh dengan Israel setelah Mesir dan Jordan.
Pengisytiharan hubungan damai dengan Israel hakikatnya adalah satu penghinaan dan pengkhianatan UAE kepada ummah. Segala bentuk tindakan susulan hasil daripada hubungan damai itu tidak lain tidak bukan hanya akan menguntungkan penjajah Zionis.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Pegawai Penyelidik di Palestine Centre of Excellence (PACE), Megat Aiman Hakim Megat Syariffudin:
“Bagi pengkhianat dan penyokongnya, sejarah perjalanan ke Abu Dhabi ini adalah sejarah permulaan era baru di Timur Tengah. Bagi kita sebagai pencinta pembebasan Palestin, ini adalah sejarah penghinaan besar terhadap perjuangan ummah daripada terus dijarah oleh penjajah haram dan sekutunya.”
Foto: AP News