Nilai ilmu dalam perjuangan

Di hadapan kakitangan IKRAM, beliau mengisahkan bagaimana ketegasan sultanul ‘ulama, Syeikh ‘Izzuddin bin Abdussalam sehingga pemerintah tunduk mengikut hukum syarak.

“Justeru, pandangan sebahagian ulama, kekuatan itu terdapat pada ilmu, bukan pada kuasa.”

Tambah beliau lagi, orang boleh mengikut ulama kerana ilmunya serta berani mendisiplinkan pemerintah, menjadikan pemerintah takut kepada ulama kerana ilmu dan ketegasannya.

“Sepatutnya kita perlu mengambil kaedah demikian. Ulama dahulu sentiasa bersedia, ada keberanian berhadapan dengan pemerintah, walaupun mereka tahu impaknya ia syahid (dibunuh).”

Menurutnya, ini berlaku dalam sejarah Islam seperti yang terjadi antara pemerintah dan Sa’id bin Musayyab, seorang tabiin yang amat faqih.

“Selama 40 tahun beliau solat jemaah sentiasa istiqamah di saf depan. Boleh ke kita macam tu?” soal Dr Parid kepada kakitangan IKRAM.

Tambahnya, Sa’id bin Musayyab menolak pelawaan Khalifah Abdul Malik bin Marwan yang ingin mengahwinkan anak lelakinya dengan puterinya. Sa’id lantas mengahwinkan anaknya dengan muridnya.

“Tanda sayang aku, aku hubungkan anak aku dengan orang yang akan memimpinnya ke akhirat,” ujar beliau menyampaikan ketegasan Sa’id bin Musayyab.

Tegas Dr Parid lagi, itulah nilai yang dipegang oleh Sa’id bin Musayyab yang mendahulukan akhirat.

Akhirat itu lebih baik daripada dunia, itulah yang dipegang oleh ulama-ulama terdahulu hinggakan kesannya memalukan khalifah.

“Jadi khalifah menghukumnya, kerana tidak menghormati pemimpin. Dirinya diarak keliling bandar, dengan pakaian biasa bukan pakaian jubah dan serban. Beliau dimalukan sebegitu.”

Jawapan Sa’id bin Musayyab ketika diarak, “Aku diarak sehari dua cuma. Tapi anak aku itu sampai ke akhirat.”

“Inilah contoh masyhur, ulama yang berpegang kepada nilai hidup yang dikehendaki agama.”

Menurut Dr Parid lagi, kita perlu memiliki nilai hidup dan perlu pegang segala itu dengan teguh dan kemas.

“Itulah yang akan membawa kita ke kiri dan ke kanan. Itulah kandungan daripada Islam. Jadi, kita kena beredar mengikut peredaran Islam. Jika Islam menyarankan ke kanan, ke kananlah kita, jika Islam menyarankan ke kiri, ke kirilah kita, jika Islam ke depan, ke depanlah kita, jika Islam menyarankan ke belakang, ke belakanglah kita. Jika minta kita berundur, maka berundurlah kita.”

Dalam pada itu jelasnya, berundurnya itu bukan kerana takut, tetapi itulah pusarannya.

“Jadi, kita kena ikut pusarannya itu. Dan apa yang akan memandu kita adalah nilai-nilai hidup tadi.”

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membawa kisah Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, yang ditawarkan syaitan hadir dalam bentuk cahaya, yang menyeru agar tidak perlu beribadat kerana sudah sampai makam yang tinggi.

Sambung Dr Parid, oleh kerana beliau faham dan dipandu oleh ilmunya, maka beliau menjawab: “Berambuslah makhluk yang hina! Sebenarnya engkau syaitan yang direjam. Jika diangkat tanggungjawab itu, sudah tentu telah diangkat daripada penghulu segala Rasul-Rasul, Muhammad SAW.”

Beliau menegaskan lagi, perumpamaan orang alim dengan orang yang abid menurut hadis, seperti kedudukan baginda SAW dengan kedudukan sahabatnya yang paling bawah. Nilai ilmu itu lebih penting dan utama.

“Apabila seseorang itu tiada ilmu, ibadatnya kuat. Namun kadang-kadang, ia boleh membawa kepada kepercayaan khurafat.”

Dalam penyampaian Amanat tersebut Dr Parid berkata, nilai-nilai kehidupan ini adalah apa sahaja yang dianjurkan oleh Islam dan perkara yang maaruf, antaranya menegakkan kebenaran, menegakkan keadilan dan menegakkan kemuliaan.

“Jadi, manusia ini perlu hidup dengan memiliki akhlak-akhlak yang mulia sebagaimana contoh, menolong orang, tidak menganiaya orang, menghormati orang tua. Jadi kita perlu menjadikan ia sebagai budaya hidup.”

Tambah beliau, sebagaimana Nabi SAW pernah bersabda yang maksudnya, akan sentiasa ada dalam kalangan umatku yang memperjuangkan kebenaran. Inilah nilai Islam. Segala ini perlu ditanam, dididik dan diasuh.

“Tiga jenis ikatan yang mengikat kita adalah ikatan akidah dan iman, ikatan ukhuwah dan ikatan jihad. Kita bergerak berdasarkan susunan yang telah dilakukan oleh pejabat kita dan berdasarkan ikatan ini, kita perlu beramal berdasarkan saling melengkapi antara satu sama lain,” jelas Dr Parid lagi.

Pengangkatan keseluruhan bahagian ini menurutnya, perlu saling sempurna menyempurnakan.

“Islam perlu diangkat, didukung sepenuhnya dalam bentuk yang seharusnya sebagaimana peribadi Muslim perlu menggambarkan dirinya sebagai Muslim dalam bentuk yang sempurna.”

Beliau menegaskan, sebagaimana Allah SWT tidak mewafatkan Nabi sehingga Nabi SAW menyempurnakan agama dengan sempurna.

“Jadi, kitalah yang perlu memikul mesej yang sempurna ini dengan sepenuhnya,” pesan beliau.

Setiap bulan, Badan Kakitangan Ibu Pejabat IKRAM (BAKIM) menganjurkan majlis Amanat Presiden bertujuan memberi peluang kepada kakitangan mendengar pesanan dan nasihat daripada Presiden.

Turut menyertai majlis ini ialah para kakitangan MyCARE, IKRAM MUSLEH dan i-Bantu.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia