NGO Malaysia kutuk serangan Israel di Masjid al-Aqsa

NGO Malaysia Kutuk Serangan Israel Masjid al-Aqsa

KUALA LUMPUR – Sebanyak 45 NGO Malaysia mengutuk beberapa siri serangan tentera rejim aparteid Israel terhadap Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadan.

 

“Masjid al-Aqsa sekali lagi menjadi sasaran pencerobohan pendatang haram Zionis di saat umat Islam sedang beribadah pada bulan Ramadan kali ini,” kata Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.

 

Tambahnya dalam sidang media ‘Hands Off Masjid al-Aqsa’ bersama wakil-wakil NGO semalam, mereka masuk dengan angkuh atas alasan meraikan upacara keagamaan mereka, ‘Passover’ di bawah kawalan ketat tentera keganasan Israel.

 

“Sebagaimana pada Ramadan yang lalu, mereka telah mengganas dan menembak para jemaah di dalam masjid dengan senjata stun-grenade, kanister gas pemedih mata dan peluru getah. “

 

“Ratusan para jemaah mengalami kecederaan dan puluhan diberkas. Mereka berlaku kasar dan mencederakan wanita, kanak-kanak, warga tua bahkan orang kurang upaya.”

 

Menurutnya, wartawan menjadi sasaran utama dan anggota paramedik yang merawat mereka yang tercedera turut tidak terlepas daripada tindakan ganas tentera biadab Zionis.

 

“Sebagai reaksi balas, rakyat Palestin telah membanjiri Masjid al-Aqsa pada hari Jumaat minggu lalu bagi menggagalkan cubaan menceroboh dan mencemarkan masjid oleh kumpulan pelampau agama Zionis,” jelas Dr Hafidzi.

 

Katanya, pada Jumaat, 22 April sekali lagi kumpulan pelampau dan tentera Israel merempuh masuk ke Masjid al-Aqsa dan mengulangi jenayah keji mereka menyebabkan puluhan rakyat Palestin ditimpa kecederaan kerana ditembak tanpa sebarang provokasi.

 

“Rakyat Palestin berikrar untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa walaupun dengan batang tubuh mereka.”

 

“Mereka telah menghalang cubaan yang sama pada Ramadan tahun lalu dan semua pencerobohan ke atas Masjid al-Aqsa selama ini. Mereka akan tetap teguh pertahan Masjid al-Aqsa selama-lamanya,” tegas beliau.

 

Kata beliau lagi, para murabitun (pengawal al-Aqsa) menyampaikan pesanan tegas bahawa mereka tidak akan berganjak sedikit jua untuk membenarkan pembahagian Masjid al-Aqsa, sama ada dari segi masa dan tempat eksklusif bagi tujuan peribadatan orang-orang Yahudi.

 

Berdiri teguh bersama rakyat Palestin yang mempertahan Masjid al-Aqsa, gabungan NGO-NGO itu turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin dalam mempertahankan masjid tersebut.

 

“Kami menyeru semua negara berdaulat untuk mengutuk Israel sekeras-kerasnya ke atas tindakan menjajah, segala bentuk kezaliman, rampasan tanah, sekatan ekonomi dan kepungan ke atas rakyat Palestin khususnya di Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Gaza.”

 

PBB juga digesa agar memanggil persidangan tergempar untuk menangani situasi bahaya yang menimpa Masjid al-Aqsa, masjid ketiga suci dan diiktiraf sebagai hak milik warisan (wakaf) umat Islam.

 

“Kami menyeru OIC supaya bertindak dengan segera untuk melindungi, menjamin keselamatan dan memelihara kesucian Masjid al-Aqsa yang menjadi sebab kewujudan OIC sejak awal.”

 

Menurutnya, OIC pada hari ini dilihat begitu lumpuh dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi umat Islam, termasuklah kemuncak kezaliman yang berlaku ke atas Masjid al-Aqsa.

 

Sebanyak 45 NGO itu turut memberi sokongan padu kepada kerajaan Malaysia yang dengan tegas membidas Israel atas tindakan biadab ke atas Masjid al-Aqsa dan rakyat Palestin.

 

 

Dalam pada itu, Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Prof. Dr Hanim Salleh berkata, IKRAM dan rakyat Malaysia sangat-sangat mengutuk  siri serangan rejim Israel ke atas Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadan. 

 

“Kami ingin menegaskan sekali lagi, ini satu tindakan yang sangat biadab dan IKRAM sebagai NGO Islam, juga ingin mengajak semua terutama rakyat Malaysia agar kita sama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin,” kata beliau.

 

Beliau juga menyeru agar semua pihak dan masyarakat sentiasa memberikan sokongan terhadap kempen-kempen kesedaran dan bersama gabungan seperti ini (Kempen Selamatkan Al-Quds) agar suara mereka lebih didengari, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Hafidzi amat bersetuju dengan saranan agar kerajaan Malaysia mengambil inisiatif menerajui kempen memberikan tekanan di peringkat antarabangsa terhadap negara aparteid Israel.

 

Katanya, usaha seperti ini pernah dilakukan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang bekerjasama Arab Saudi dan Maghribi untuk menubuhkan OIC, selepas tragedi pembakaran Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969.

 

“Kita telah lakukannya sebelum ini (penubuhan OIC). Kita boleh lakukannya (sekali lagi), insya-Allah.” jelasnya menyokong cadangan tesebut.

 

Wakil-wakil NGO lain yang hadir ialah Al-Quds Foundation Malaysia (QFM), MAPIM, Muslim Care Malaysia, HALUAN, Malaysia Women Coalition for Quds & Palestine (MWCQP) dan Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (Malaysia).

 

Selain itu, turut hadir wakil Boycott, Divestment and Sanction (BDS Malaysia), Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM), ABIM, Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Viva Palestina Malaysia (VPM) dan Aman Palestin.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia