Namun, kerajaan negeri boleh mengetatkan SOP yang ditetapkan kerajaan Persekutuan sekiranya perlu bagi mereka untuk mengawal keadaan di negeri masing-masing,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.
Beliau berkata, apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan SOP, sepatutnya ia diikuti oleh setiap negeri di seluruh negara, tetapi beliau berpandangan kerajaan negeri boleh menggunakan budi bicara mereka berdasarkan kes yang berlaku di negeri mereka.
“Saya telah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa kerajaan negeri boleh membuat peraturan yang lebih ketat jika mereka merasakan itu perlu, yang tidak dibenarkan adalah melonggarkan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan.”
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, rakyat yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 tidak boleh dihukum kerana perkara tersebut bukan diwajibkan dan ia adalah pilihan kepada orang ramai.
“Pengambilan vaksin ini bukan diwajibkan tetapi diberi pilihan kepada rakyat. Kita tidak boleh hukum mereka yang tidak mahu mengambil vaksin, tetapi mohon mereka untuk mengambil vaksin demi kesihatan,” katanya.
Beliau menambah, setakat ini kerajaan masih belum membuat perbincangan mengenai pengambilan vaksin untuk rakyat yang ingin ke luar negara dan perkara tersebut tertakluk kepada negara yang ingin dilawati.
“Contohnya kerajaan Arab Saudi yang berkemungkinan mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 kepada jemaah yang akan menunaikan haji tahun ini dan perkara tersebut masih dalam perbincangan,” jelasnya.
Sebelumnya pada Ahad, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negeri itu dibatalkan berikutan kes yang meningkat, walaupun kerajaan Persekutuan sebelum itu telah meluluskan pembukaan bazar itu untuk tahun ini.