Menurut Ustaz Shamsul, jenazah almarhumah telah diterbangkan terus dari Jordan ke Pulau Pinang sebelum dibawa untuk disolatkan di surau berhampiran rumahnya di alamat 145, Lorong Pipit 2/4, Off Jalan Sultanah, Alor Setar, Kedah sekitar jam 12.45 malam. Jenazah kemudiannya dibawa dengan van untuk disemadikan di kawasan perkuburan Kompleks Al-Bukhari di Alor Setar dan alhamdulillah cuaca pada malam yang hening itu amat baik.
Majlis pengebumian jenazah Ukht Sumaiyah selesai sekitar jam 3.00 pagi. Beberapa orang ikhwah IKRAM Kedah turut bersama membantu melancarkan majlis. Ustaz Shamsul sempat berjumpa ayah almarhumah, En. Romli dan isterinya untuk menyampaikan salam takziah. Semoga Allah SWT merahmati keluarga ini dan memberikan mereka ketabahan dan kesabaran akibat kehilangan satu-satunya puteri mereka yang tercinta.
Moga roh almarhumah Ukht Sumaiyah dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam syurga bersama para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin.