Merdeka: Makna Sebenar Sebuah Kebebasan

Merdeka: Makna Sebenar Sebuah Kebebasan | IKRAM

Umumnya ketahui, perkataan merdeka membawa makna sebuah kebebasan. Dalam konteks tanah air, kita bebas daripada dijajah atau ditakluki oleh mana-mana kuasa luar.

Kita tidak perlu lagi bergantung pada kuasa luar bagi mengurus dan mentadbir negara sendiri. Kita bebas daripada cengkaman kezaliman Jepun, British dan lain-lain.

Untuk itu, kita akan melaungkan kalimah merdeka sebagai tanda kita bebas daripada mereka. Demikianlah merdeka yang disambut oleh kita saban tahun.

Makna Kemerdekaan

Kemerdekaan yang sebenar adalah apabila manusia itu sendiri dapat membebaskan diri daripada menjadi hamba sesama makhluk kepada menjadi hamba kepada Tuhan empunya seluruh isi bumi dan langit.

Hakikat yang perlu kita sedar bahawa yang dinamakan dunia ini tidak ada kebebasan mutlak bagi kita semua. Kita akan terikat dengan peraturan dan garis panduan kehidupan melalui petunjuk agama yang lurus, itulah al-Quran dan as-Sunnah.

Hidup sebagai seorang manusia yang merdeka, membebaskan diri daripada cengkaman manusia, tidak lagi memperhambakan diri kepada manusia, berani berkata benar meskipun tahu akan ada harga perjuangan yang perlu dibayar, tidak gentar akan apa yang pihak musuh perkatakan selagi hal itu tidak dimurkai oleh Tuhan sekalian makhluk, demikianlah orang yang jiwanya benar-benar merdeka.

Jika sekadar tahu mengiakan sahaja tanpa berani bersuara, hanya bijak untuk mengikuti semberono tanpa berfikir, maka selama itulah kita diperhambakan oleh mereka yang mengambil kesempatan di atas dunia.

Jiwa merdeka adalah pada manusia yang bertuhankan Allah Azzawajalla. Datanglah pelbagai ajaran untuk menolak dan menafikan kewujudan Tuhan, namun hakikatnya manusia harus akur akan sunnatullah ini (ketetapan Allah) bahawa manusia secara fitrahnya cenderung kepada hidup bertuhan.

Sejarah telah merakamkan keadaan yang telah berlaku kepada penganut dan pendukung ajaran blok komunis, yang akhirnya mereka sendiri telah mempertuhankan guru mereka, Lenin dan Karl Marx. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Jaathiyah ayat 23 yang bermaksud:

“Maka tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf?”

Dalam catatan lembaran sejarah Islam, tidak pernah tercatat perkataan ‘menjajah’ apabila tentera-tentera Islam memasuki mana-mana wilayah. Sebaliknya, disebutkan sebagai al-Fath (pembukaan) seperti Fathu Makkah yang membawa maksud pembukaan kota Makkah. 

Oleh yang demikian, kita dapat melihat beberapa pembukaan-pembukaan kota dan wilayah adalah bukan bertujuan untuk menjajah, sebaliknya adalah untuk membuka wilayah bagi membebaskan umat manusia daripada dibelenggu perhambaan sesama manusia kepada perhambaan diri kepada yang selayaknya iaitu Allah SWT.

Kata-kata Rib’i bin Amir

Dalam kitab al-Kamil fi al-Tarikh, lihatlah ungkapan bermakna yang diungkapkan oleh seorang manusia biasa namun menggegarkan kuasa dunia Parsi. Dialah Rib’i bin Amir r.a., seorang Arab Badwi yang tidaklah berpelajaran tinggi, namun dibentuk dan dididik oleh Rasulullah SAW.

Beliau yang diutuskan oleh Amirul Mukminin, Umar al-Khattab r.a. untuk bertemu dan berhadapan dengan Rustam, pemimpin terulung kerajaan Parsi ketika itu.

Rustam dengan penuh keangkuhan, bertanyakan apa tujuan Rib’i datang ke Parsi. Dengan lagak sombong, Rustam mengatakan, apakah kamu sedar yang kamu sedang berhadapan dengan kuasa besar dunia Parsi?

Rib’i bin Amir yang datang dengan pakaian yang lusuh, berlilitkan kain di kepala, dan berdepan dengan panglima besar Parsi, Rustam yang dijulang dengan kemewahan, beliau membalas persoalan Rustam tersebut dengan berkata:

“Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Sungguh ungkapan ini walaupun ringkas, namun telah membawa makna yang begitu besar dalam kehidupan manusia yang beragama.

Ungkapan seringkas ini tidak mungkin dapat diucapkan oleh seorang yang tidak berjiwa merdeka. Seberani dan sejelas ungkapan ini tidak akan mudah dituturkan andai hati ini masih berpaut dan tunduk pada segala isi dan kehendak dunia.

Bayangkan, ungkapan ini diungkapkan oleh seorang Arab kampung, tidak berpelajaran, apatah lagi untuk mempunyai sebarang kedudukan tinggi di sisi manusia. Orang biasa namun kata-katanya luar biasa.

Kebebasan Sebenar

Oleh itu, acara menyambut kemerdekaan saban tahun adalah baik bagi menyedarkan kita untuk menghargai nikmat keamanan dan kesejahteraan hidup. Namun pada masa sama, ada hal yang lebih besar dan penting daripada itu adalah soal bagaimana penghayatan sebenar makna kebebasan dalam diri kita semua.

Jiwa yang merdeka tidak dapat dibentuk dengan sekadar melaungkan kalimah keramat merdeka sebanyak beberapa kali. Membentuk jiwa yang merdeka tidak semudah kita menyanyi lagu-lagu patriotik semata-mata. Perjuangan ini bagi membebaskan diri kita daripada terbelenggu perhambaan diri kepada dunia adalah perjuangan kita sehingga kita mati.

Kemuliaan jiwa yang merdeka adalah kerana agama Islam yang suci dan bersih daripada sebarang kesyirikan. Hidup dengan kemuliaan bukan kerana kita bangsa tertentu, tetapi kerana agama Islam itu sendiri.

Kerana datangnya Islam yang adil, umat manusia diselamatkan daripada kezaliman manusia yang rakus berkuasa. Kerana datangnya Islam yang suci, ia mengeluarkan para wanita daripada menjadi hamba seks semata-mata kepada menjadi manusia yang terhormat.

Demikian juga kerana datangnya Islam yang luhur, menghapuskan ketaasuban kepuakan dan kesombongan diri.

Benarlah kata Amirul Mukminin, Umar al-Khattab r.a. yang dirakamkan dalam kitab al-Mustadrak, ketika beliau membuka Masjid al-Aqsa. Kata Umar al-Khattab:

“Kita dahulunya adalah kaum hina, Allah yang telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain daripada apa yang telah Allah muliakan kita dengannya, maka kita akan dihina oleh Allah.”

Demikianlah kebebasan sebenar bagi orang yang beriman. Kebebasan sebenar bukanlah bermakna dengan sesuka hati kita boleh lakukan apa sahaja.

Tetapi kebebasan ini bermaksud melepaskan diri daripada segala macam belenggu dunia dan mengikat diri kita sebagai yang dicipta kepada yang mencipta yakni Allah SWT.

Marilah kembali kita memperbetulkan diri sebagai umat yang merdeka daripada sebarang perkara syirik dan khurafat. 

Bebaskan diri daripada dibelenggu sifat jumud dan taasub. Keluarlah daripada kepompong kejahilan dan carilah cahaya keilmuan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia