Setiap kali tibanya bulan kemerdekaan, kita mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik dan mengenang perjuangan generasi terdahulu membebaskan tanah air daripada penjajahan. Tahun 2026 menyaksikan Malaysia menyambut ulang tahun ke-69 kemerdekaan.
Namun begitu, selain mengenang kemerdekaan yang telah dicapai, mungkin sudah tiba masanya kita bertanya persoalan yang lebih mendasar: Sejauh manakah kita benar-benar telah merdeka dari segi pemikiran, nilai dan akhlak?
Dalam perspektif Islam, kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal. Kemerdekaan yang hakiki ialah apabila manusia tidak menjadi hamba kepada selain Allah, termasuk hamba kepada hawa nafsu, tekanan kelompok, populariti, materialisme, maklumat yang tidak benar atau ketaasuban kepada mana-mana individu dan kelompok.
Allah mengurniakan manusia akal dan kemampuan memilih supaya kita dapat membezakan antara yang benar dengan yang batil. Oleh itu, kebebasan berfikir bukanlah kebebasan tanpa batas. Ia ialah kebebasan mencari kebenaran dan membuat pertimbangan berasaskan ilmu, amanah, keadilan dan akhlak.
Teknologi dan cabaran kemerdekaan minda
Kita sedang hidup dalam zaman perubahan teknologi yang amat pantas. Dalam tempoh kurang daripada dua dekad, telefon pintar telah berubah daripada sekadar alat komunikasi kepada peranti penting kehidupan manusia – untuk mendapatkan berita, berkomunikasi, belajar, bekerja, berniaga, berhibur, menjalankan urusan kewangan dan kini berinteraksi dengan kecerdasan buatan (AI).
Namun, teknologi berubah lebih pantas daripada pemikiran, nilai dan budaya manusia. Fenomena ini dikenali sebagai ketertinggalan budaya atau cultural lag, iaitu apabila perubahan teknologi dan kehidupan material berlaku lebih cepat daripada perubahan pemikiran, nilai, norma sosial dan cara manusia bertindak.
Persoalannya bukan lagi sekadar “Adakah kita tahu menggunakan teknologi?”, tetapi “Adakah kita cukup matang untuk menggunakan teknologi dengan cara yang benar, beradab dan bertanggungjawab?”
Akses kepada maklumat juga tidak semestinya menghasilkan kebijaksanaan. Seseorang boleh menerima ratusan kandungan setiap hari tetapi masih mudah dipengaruhi oleh populariti, emosi, influencer atau algoritma.
Maka kita perlu kembali kepada prinsip Islam, iaitu ilmu mesti disertai hikmah, kemampuan mesti disertai amanah dan kebebasan mesti disertai tanggungjawab.
Apabila “Biasa” menggantikan “Betul”
Antara cabaran terbesar zaman digital ialah perubahan norma masyarakat. Sesuatu yang pada asalnya dianggap tidak wajar boleh menjadi semakin biasa apabila dilihat berulang kali dan oleh lebih ramai orang.
Cuba perhatikan yang berikut. Bahasa kasar boleh dianggap gurauan. Menghina orang lain boleh dianggap hiburan. Membuka aib boleh dianggap kandungan. Menyerang peribadi ketika berbeza pendapat boleh dianggap kebebasan bersuara. Berita yang belum disahkan pula disebarkan kerana ia selari dengan pandangan sendiri atau kelompok.
Lebih membimbangkan, apabila sesuatu dilakukan oleh ramai orang, kita mula menganggapnya benar. Sedangkan dalam Islam, kebenaran tidak ditentukan oleh jumlah pengikutnya. Yang salah tidak menjadi benar hanya kerana ramai melakukannya, dan yang benar tidak menjadi salah hanya kerana sedikit yang mempertahankannya.
Teknologi bukan musuh manusia. Ia hanyalah alat. Ia boleh digunakan untuk ilmu, dakwah, pendidikan, perniagaan, kebajikan dan pembangunan masyarakat. Namun apabila perkembangan teknologi lebih pantas daripada kematangan akhlak, teknologi boleh melebarkan kelemahan manusia yang sedia ada.
Daripada “Saya boleh” kepada “Patutkah saya?”
Kita memerlukan suatu Revolusi Minda. Ia bukan bermaksud menolak teknologi atau meminta masyarakat meninggalkan telefon pintar. Sebaliknya, kita perlu membina manusia yang lebih bijak dan matang daripada teknologi yang digunakannya.
Perubahan paling asas ialah daripada budaya “saya boleh” kepada budaya “patutkah saya?”. Boleh menulis tidak bermaksud semuanya perlu ditulis. Boleh berkongsi tidak bermaksud semuanya wajar dikongsi.
Boleh merakam tidak bermaksud kita berhak merakam tanpa izin. Boleh mengkritik tidak bermaksud kita boleh menghina. Boleh menggunakan AI tidak bermaksud kita boleh menggunakannya untuk menipu.
Dalam Islam, kemampuan tidak pernah terpisah daripada amanah. Sebab itu sebelum bertindak, kita perlu membiasakan diri untuk berhenti seketika dan bertanya soalan-soalan seperti: Benarkah? Perlukah? Baikkah? Bermanfaatkah? Beradabkah?
Tindakan kecil seperti ini yang dilakukan secara konsisten boleh membentuk akhlak individu dan akhirnya mengubah budaya masyarakat.
Merdeka daripada ketaasuban dan kawalan pemikiran
Kemerdekaan minda juga bermaksud kebebasan daripada dikawal oleh pemimpin, parti politik atau mana-mana kelompok sehingga kita menyerahkan kemampuan berfikir dan menilai. Islam mengajar kita menghormati kepimpinan, tetapi tidak mengajar kita menyerahkan akal dan pertimbangan kepada manusia secara membuta tuli.
Dalam demokrasi, rakyat mempunyai hak memilih pemimpin dan menyokong perjuangan yang diyakini. Namun kesetiaan tidak seharusnya berubah menjadi ketaasuban.
Rakyat yang merdeka mindanya tidak hanya bertanya, “Apakah pendirian pemimpin saya?” tetapi turut bertanya: “Apakah yang benar? Apakah yang adil? Apakah yang terbaik untuk masyarakat dan negara?”
Sesuatu itu perlu dinilai berdasarkan prinsip, fakta dan keadilan, bukan semata-mata berdasarkan siapa yang mengatakannya. Kita boleh menyokong sesuatu perjuangan tanpa mematikan pemikiran. Kita boleh menghormati pemimpin tanpa menyerahkan akal kepada pemimpin. Kita boleh berbeza pandangan tanpa menjadikan orang yang berbeza sebagai musuh.
Kemerdekaan minda bukan bermaksud menolak kepimpinan. Ia bermaksud mampu memilih, menilai, menegur dan memberikan pandangan dengan ilmu, adab dan keberanian moral. Pemimpin yang baik juga tidak memerlukan rakyat yang hanya mengangguk, tetapi rakyat yang mampu berfikir, bertanya dan memberikan pandangan yang jujur.
Generasi muda: Harapan, bukan masalah
Generasi muda mempunyai potensi yang sangat besar dan merupakan sebahagian daripada amanah serta harapan masa depan negara. Mereka cepat menyesuaikan diri dengan teknologi dan mampu menggunakannya untuk pendidikan, dakwah, keusahawanan, kebajikan, inovasi dan pembangunan komuniti. Oleh itu, mereka bukan sekadar perlu dinasihati, tetapi perlu diberi ruang untuk memimpin perubahan.
Kita memerlukan lebih ramai young role models yang membuktikan bahawa seseorang boleh menggunakan media sosial tanpa menghina, tidak bersetuju tanpa mencaci, menjadi popular tanpa membuka aib dan menggunakan AI tanpa menipu.
Jika generasi muda berjaya membina budaya digital yang berteraskan ilmu, adab dan tanggungjawab, mereka bukan lagi sekadar pengguna teknologi tetapi mereka mampu menjadi pencorak budaya Malaysia yang baharu.
Merdeka untuk memilih yang benar
Mengubah budaya masyarakat tidak berlaku melalui satu kempen atau satu sambutan Hari Kebangsaan. Ia merupakan projek generasi. Usaha-usaha yang sekecil mana pun tetapi konsisten diperlukan untuk menjayakannya.
Maka, bersempena dengan 69 tahun kemerdekaan Malaysia, marilah kita menjayakan Revolusi Minda yang berteraskan iman, ilmu dan akhlak sebagai salah satu agenda penting generasi kita. Dengan cara itu, kita tidak lagi ketinggalan budaya yang murni dengan kepantasan teknologi.
Hal ini demikian kerana negara yang benar-benar merdeka bukan sekadar mempunyai rakyat yang bebas bersuara, tetapi rakyat yang mampu berfikir dengan amanah, berani memilih yang benar dan menjadikan iman, ilmu serta akhlak sebagai panduan.
Jadilah pengguna yang pintar, bukan sekadar pemilik telefon pintar.
Rozalli Hashim
Felo Kanan
Kajian Dasar IKRAM (KADRI)




