Risau dan khuatir yang berlebihan boleh memakan diri. Ketara sedar (mindfulness) dapat membantu menangani perasaan risau dan juga khuatir melalui konsep yang dianjurkan dalam al-Quran, dengan fokus kepada masa kini dan berserah kepada Allah digalakkan sebagai cara untuk mencapai ketenangan serta kedamaian.
Kerisauan yang berlebihan akan masa depan atau kekhuatiran yang melampau akan masa lepas boleh menyebabkan tekanan mental kepada kebanyakan orang pada masa kini.
Penyakit baharu yang wujud pada masa sekarang memerlukan kemahiran dan kesedaran yang khusus daripada setiap penghuni dunia pada zaman yang mendesak ini.
Fokus kepada masa sekarang
Elemen utama kepada ketara sedar ialah kehadiran penuh pada masa sekarang tanpa menyalahkan diri sendiri. Islam mengajar umatnya untuk hidup dengan kesedaran penuh terhadap saat ini, tanpa terlalu khuatir akan masa depan atau menyesali masa lalu.
Dalam Surah al-Baqarah (2:286), Allah SWT telah berfirman bahawa Dia tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.
Ia adalah peringatan bahawa seseorang itu hanya perlu memberi tumpuan kepada apa yang mampu dilakukan pada waktu sekarang, tanpa terbeban oleh tekanan daripada perkara yang di luar kawalan. Sedarkah anda, kebanyakan masalah yang ditanggung menjadi begitu rumit jika diri sendiri tidak melepaskannya kepada Allah Taala?
Tawakal atau berserah kepada Allah adalah elemen penting yang ditekankan dalam al-Quran sebagai jalan untuk mengurangkan risau dan khuatir. Dalam Surah Ali Imran (3:159), Allah berfirman (maksudnya):
“Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
Ketara sedar juga menggalakkan seseorang itu untuk melepaskan kawalan berlebihan dan percaya pada ketentuan yang lebih besar. Dengan berserah kepada Allah, seseorang menjadi lebih tenang serta kurang terbeban dengan masalah, kerana menyedari bahawa segala usaha dan hasil adalah di bawah ketentuan Allah.
Inilah jalan yang ditunjuk oleh syariah, menjadi panduan kepada manusia untuk mengatur hidup yang serba mencabar.
Makin diuji makin berani
Mempraktikkan ketara sedar sangat penting dalam kehidupan harian kerana ia memberi manfaat yang meluas, bukan sahaja kepada kesihatan mental tetapi juga kepada kestabilan emosi dan ketenangan jiwa.
Amalan ini dapat membantu individu membina daya tahan terhadap tekanan, meningkatkan kesedaran kendiri serta mengurangkan kebimbangan dan kemurungan.
Dengan ketara sedar, seseorang belajar untuk fokus kepada masa sekarang, tidak terus terikat dengan pemikiran tentang peristiwa lalu atau kekhuatiran masa depan, yang sering kali menjadi punca utama kecelaruan fikiran dan gangguan emosi.
Pepatah Melayu ada mengatakan, “jadilah seperti padi, semakin tunduk semakin berisi, semakin berilmu semakin merendah diri.”
Maka, resmi ujian di dunia juga bersifat sedemikian. Makin seseorang diuji, makin berani diri dan jiwanya menjadi. Al-Quran juga menekankan untuk manusia tidak terlalu tenggelam dalam kekhuatiran atau kerisauan berlebihan.
Dalam Surah al-Mumtahanah (60:4), Allah SWT menganjurkan umat Islam untuk bergantung kepada-Nya dan berani menghadapi ujian dengan kesabaran.
Ketara sedar melatih seseorang untuk berhenti daripada berfikir secara keterlaluan (overthinking) atau kecenderungan merenung masalah secara berlebihan, dan perkara ini dapat dicapai dengan memberi tumpuan kepada pernafasan atau zikir.
Dengan menanam keyakinan bahawa Allah yang Maha Mengetahui akan mengatur segala-galanya, seseorang dapat melepaskan kebimbangan dan fokus kepada tindakan yang produktif.
Namun perkara ini tidaklah semudah sebaris perkataan yang diaturkan di sini. Semuanya bermula dengan keinginan diri yang mendalam dan ilmu serta kemahiran yang dibentuk melalui amalan.
Melalui amalan ketara sedar yang selari dengan anjuran al-Quran, seseorang dapat mengatasi perasaan risau dan khuatir dengan memberi tumpuan kepada masa sekarang, menerima ketentuan Allah, bersyukur, berserah serta memperbanyak ingatan kepada Allah.
Hasilnya, ia akan lebih tenang, berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran hidup dengan jiwa yang lapang dan hati yang tenang.
Penerimaan dan kesyukuran
Dalam Surah Ibrahim (14:7), Allah menyatakan firman-Nya yang bermaksud: “Jika kamu bersyukur, Aku akan menambah nikmat kepadamu…”
Prinsip kesyukuran ini seiring dengan amalan ketara sedar yang menggalakkan penerimaan penuh terhadap apa jua keadaan tanpa menghakimi diri atau menyimpan dendam terhadap takdir. Ketika seseorang menerima keadaan mereka dengan lapang hati, mereka kurang terbeban dengan khuatir dan risau.
Sebaliknya, mereka lebih fokus kepada nilai positif dalam hidup yang membantu mengurangkan kebimbangan dan membina ketenangan.
Dalam konteks ini, solat lima waktu bagi umat Islam berfungsi sebagai latihan ketara sedar yang sangat berkesan.
Ketika solat, seorang Muslim bukan sahaja memenuhi tanggungjawab agama tetapi juga melatih dirinya untuk mempraktikkan ketara sedar sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran kehidupan dengan lebih tenang dan berkeyakinan.
Dalam setiap solat, fokus sepenuhnya diberikan kepada pergerakan dan bacaan, yang memerlukan kehadiran penuh minda dan jiwa pada saat itu.
Dengan berlatih untuk memusatkan perhatian semasa solat, individu dapat melatih diri untuk lebih tenang dan lebih mudah menerima apa jua perasaan yang hadir, tanpa terbawa-bawa oleh desakan emosi atau gangguan fikiran.
Selain itu, melalui amalan solat yang konsisten, seseorang dilatih untuk mengurangkan overthinking, iaitu kebiasaan merenung atau memikirkan masalah secara berlebihan.
Sebaliknya, tumpuan diberikan kepada setiap pergerakan dan bacaan dalam solat, yang membantu mengalih perhatian daripada tekanan luaran dan mengukuhkan daya fokus.
Hal ini seiring dengan kajian mindfulness oleh Kabat-Zinn melalui program Mindfulness-Based Stress Reduction (MBSR), yang menunjukkan bahawa ketara sedar dapat mengurangkan gejala kemurungan dan kebimbangan serta membantu individu mengawal emosi dan menyesuaikan diri dalam situasi-situasi yang tertekan.
Melalui solat, umat Islam mengamalkan ketara sedar secara berstruktur. Setiap perbuatan, dari berdiri, rukuk, sujud hingga tahiyat, dilaksanakan dengan kesedaran yang mendalam terhadap maknanya.
Perkara ini membantu seseorang untuk merasai ketenangan, mengawal emosi dan mencapai kepuasan dalam perhubungan.
Amalan ini bukan sahaja membina kesedaran kendiri tetapi juga mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT, yang seterusnya memberi rasa tenang dan damai dalam menghadapi sebarang cabaran hidup. Inilah kemanisan sebuah takwa yang dibentuk melalui ibadah dalam syariah.
Belajar praktik ketara sedar
Amalan solat membentuk kesedaran kendiri yang tinggi dan memperbaiki kebolehan mengawal emosi. Dalam setiap gerakan dan bacaan, terdapat tuntutan untuk memusatkan perhatian kepada Allah, yang membantu mengurangkan kecelaruan pemikiran dan membawa perasaan damai.
Ia membina asas ketara sedar yang berkesan untuk menghadapi masalah kehidupan dengan lebih tenang dan stabil. Ia juga membawa rasa puas dalam hubungan dengan orang lain kerana solat secara tidak langsung mengukuhkan empati, belas kasihan dan penerimaan terhadap diri dan orang lain.
Itulah sebahagian kebaikan solat yang indah. Satu kewajipan yang utama dalam Islam, berat dan tidak boleh diambil mudah. Namun, bagi yang meletakkannya pada pusat kehidupannya, solat akan menjadi satu waktu antara waktu-waktu nikmat yang dinantikan.
Dr Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)