Mentega Terbang: Kebebasan Berkarya Bukan Lesen Persenda Agama

Kata-kata keramat yang pernah diungkapkan oleh seorang Haji Abdul Malik bin Karim Amrullah yang lebih dikenali dengan Buya Hamka perlulah disematkan dalam diri kita sebagai seorang muslim.

“Jika kamu diam tatkala agamamu dihina, tukar sahaja bajumu dengan kain kafan.”

Sedarkah kita, bahawa rasa cemburu (ghairah) dalam konteks beragama adalah konsekuensi daripada iman itu sendiri? Orang yang beriman akan berasa tersinggung jika agamanya dihina, bahkan agamanya itu akan diutamakan daripada keselamatan dirinya sendiri.

Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Manakala, Perkara 11 mengenai kebebasan agama pula menyatakan “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”

Ini bermakna, walaupun Malaysia telah mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi, penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan, bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Kebebasan ini membentuk perpaduan yang kukuh antara kaum dan ini telah dibuktikan dengan keamanan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia selama ini.

Sewajarnya, siapa pun tidak akan berdiam diri jika agamanya dihina (blasphemy) apalagi diperlekehkan walaupun dengan apa cara sekali pun.

Tidak selayaknya, jika seorang Islam membiarkan agamanya dipersenda atau dipermainkan,apatah lagi jika setiap sesuatu yang disampaikan atau diketengahkan, sama ada menerusi media cetak atau elektronik, menyentuh sensitiviti sesuatu agama, bangsa, kaum, mahupun masyarakat.

Begitu juga, mengkritik sesuatu bukanlah boleh hanya berdasarkan emosi tetapi perlu kepada ilmu dan kefahaman yang benar agar ia benar-benar menepati maksud al-tawasi bi al-haqqi (berpesan-pesan kepada kebenaran) dan al-tawasi bi al-sabr (berpesan-pesan kepada kesabaran).

Bertentangan dengan Islam

Terdahulu, filem berdurasi sejam 45 minit, Mentega Terbang menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, yang mana perbuatan itu bertentangan dengan agama Islam.

“Filem ini secara keseluruhannya didapati mempunyai ciri ‘blashphemy’ yang dalam konteks Islam bermaksud mempersenda, meremeh, merendahkan dan menghina Allah SWT, Rasul, al-Quran dan hadis,” kata penulis skrip terkenal, Haji Zabidi Mohamed ketika mengulas tentang filem tersebut.

Beliau berkata, tidak perlu subteks (untuk faham), menerusi dialog-dialognya saja sudah secara terang-terangan ada elemen ‘blashphemy’ itu.

“Antaranya si ayah memberi izin kepada anak boleh memilih untuk menganut agama lain.”

Zabidi yang juga bekas majistret dan peguam turut dikenali sebagai penulis buku seperti Arqam – Tersungkur Di Pintu Syurga, Maunah – Kebenaran Yang Sebenar dan Catatan Penglipur Lara Sang Majistret selain aktif sebagai penulis skrip, dalam kenyataan menerusi Facebook, turut mengajak mana-mana peguam yang sanggup membantunya dalam menjaga kesucian agama Islam.

“Demi menjaga akidah umat Islam di Malaysia, saya akan lawan,” tegas Zabidi selepas menerima notis tuntutan daripada penerbit, pengarah dan penulis skrip filem kontroversi, Mentega Terbang yang menuntutnya untuk memadam kenyataan di Facebook yang mengaitkan filem itu sebagai mempermainkan dan mempersenda agama Islam serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Menyimpang daripada kebenaran

Berikutan isu itu juga, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi Maktabah al-Bakri, Ulasan Tentang Filem Kontroversi “Mentega Terbang,” beliau berkata, filem itu adalah satu karya yang menzahirkan kegagalan sistem rumah tangga Muslim yang baik dari sudut tarbiah anak, pengajaran tanpa ilmu yang lebih menonjolkan logik dan akal.

“Begitu juga dengan beban kesalahan diletakkan kepada watak Muslim berbanding agama-agama lain. Ia juga menampilkan watak penganut Kristian yang kelihatan baik tetapi tidak menghormati ajaran Islam, begitu juga seorang Hindu yang terang-terang melanggar ajaran agamanya.”

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan yang ketujuh itu berkata, masalah dalam isu pluralisme agama, kebenaran mutlak, dan kelahiran semula yang menjadi tema utama filem ini dan mempunyai kelompongannya, baik dari sudut falsafah mahupun agama.

“Ini sebagai memenuhi keperluan masyarakat semasa yang saya lihat, memerlukan penjelasan di sebalik larangan dan pernyataan umum semata-mata. Sesungguhnya, sekadar berasaskan niat yang baik tidaklah mencukupi jika sekiranya filem menyimpang daripada asas kebenaran terutamanya yang membabitkan akidah dan syariat,” tegasnya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Haji Zabidi selaku anak seni yang mula-mula mengangkat isu ini untuk perhatian umum, diikuti oleh Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang dipimpin saudara Rozaidi Abdul Jamil.

“Pada saya, seni yang bermaruah adalah seni yang memelihara tradisi, agama, budaya dan sensitiviti setempat,” jelasnya.

Jangan cetuskan amarah

Realitinya, umat Islam bukanlah umat yang lemah, yang hanya mampu berdiam ketika teraniaya tidak berdaya tanpa boleh melakukan apa-apa. Umat Islam adalah umat yang tahu waktu bila harus diam dan ketika bila seharusnya marah.

Barangkali umat Islam boleh diam dan menahan amarah ketika secara peribadi dihina, tetapi seorang Islam tidak akan pernah berdiam apabila Allah SWT, Rasul SAW dan agama Islam ini dihina.

Maka, tidak seharusnya pihak-pihak tertentu memulakan atau mencetuskan bibit-bibit ketidakamanan dalam kalangan masyarakat menerusi apa cara sekalipun.

Sebagaimana Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha berkata, penerbit filem tempatan perlu lebih sensitif dalam berkarya apatah lagi menyentuh isu agama, bangsa dan budaya termasuk secara halus yang cuba diketengahkan dalam filem Mentega Terbang.

“Walaupun disiarkan di platform penstriman dan kandungan filem Mentega Terbang di luar kawalan Lembaga Penapis Filem (LPF) atau izin tayang daripada FINAS, SKMM masih boleh mengawal filem sensitif seperti itu dengan pelbagai cara,” katanya dalam satu kenyataan.

Elak hasilkan karya hina agama

Terdahulu, persatuan tersebut mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengambil tindakan ke atas penerbit filem Mentega Terbang yang didakwa menghasilkan kandungan menyentuh sensitiviti agama.

“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan antara agama dan kaum, lebih baik elak menghasilkan karya menghina mana-mana agama,” kata Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli.

Tegasnya lagi, karya yang dihasilkan perlulah menepati setiap garis panduan ditetapkan bagi mengekang tercetus perselisihan antara rakyat Malaysia.

“Isu filem Mentega Terbang perlu ditangani dengan baik oleh kerajaan agar tiada filem seumpama ini diterbitkan hingga boleh menyebabkan kegusaran umat Islam di Malaysia.”

Menurutnya, kreativiti bukan lesen besar kepada penggiat seni menghasilkan kandungan sensitif sehingga mengabaikan keharmonian agama dan kaum.

“Kita perlu mencari jalan membina industri lebih baik dan memberi kesedaran kepada semua pihak. Ia bagi memastikan keharmonian agama dan kaum terjamin tanpa menidakkan hak berkarya serta bersuara,” katanya.

Tingkatkan kefahaman agama

Justeru, kita sebagai rakyat yang hidup dengan pelbagai kaum dan agama, perlulah saling menyedari bahawa setiap agama tidak membenarkan memperlekeh atau menghina agama orang lain, dengan apa cara sekalipun.

Sebagaimana ulasan yang dibuat oleh mantan mufti tersebut, seharusnya peranan FINAS dan JAKIM wajib diperkukuhkan serta usahasama perlu dilihat dari aspek yang lebih luas.

Begitu juga, tidak mustahil prasyarat untuk mengambil kira pandangan JAKIM dalam penghasilan filem atau drama menjadi satu akta yang boleh diwujudkan pada masa akan datang.

Selain itu, penerbitan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-bahan Penyiaran Berunsur Islam oleh JAKIM boleh diangkat sebagai rujukan yang mempunyai impak perundangan.

Tidak terkecuali, peranan bahagian penapisan filem dan drama turut diperluaskan ke filem dan drama yang dimuat naik ke penstriman video dalam talian.

Tentunya kita sebagai umat Islam seharusnya mempertingkatkan ilmu pengetahuan tentang Islam dengan cara yang benar daripada orang yang benar ilmu agamanya, agar akidah umat Islam semakin kuat dan tidak mudah terjebak dengan anasir-anasir yang tidak selayaknya.

Hakikatnya, Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-An’am ayat 70: 

Tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agamanya sebagai permainan dan senda gurau, dan mereka telah tertipu oleh kehidupan dunia. Ingatkanlah (mereka) dengan al-Quran agar setiap orang tidak terjerumus (ke dalam neraka), kerana perbuatannya sendiri. Tidak ada baginya pelindung dan pemberi syafaat (pertolongan) selain Allah. Dan jika dia hendak menebus dengan segala macam tebusan apa pun, nescaya tidak akan diterima. Mereka itulah orang-orang yang dijerumus (ke dalam neraka), kerana perbuatan mereka sendiri. Mereka mendapat minuman daripada air yang mendidih dan azab yang pedih kerana kekafiran mereka dahulu.

Umat Islam juga dilarang untuk menghina agama orang lain. Buktinya, Allah SWT lakarkan dalam Surah al-An’am ayat 108:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ فَيَسُبُّوا اللّٰهَ عَدْوًاۢ بِغَيْرِ عِلْمٍۗ كَذٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ اُمَّةٍ عَمَلَهُمْۖ ثُمَّ اِلٰى رَبِّهِمْ مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ

Dan janganlah kamu memaki sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah, Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.

Oleh yang demikian, setiap kita berperanan memelihara agama Islam dengan sebaiknya. Apatah lagi, Islam juga tidak membenarkan seseorang yang beragama Islam itu mempersenda atau mempermainkan agama yang lain.

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia