Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan syukur ke hadrat ilahi dan tahniah kepada rakyat Palestin, khususnya penduduk Gaza atas kejayaan memaksa Israel menghentikan serangan dan bersetuju dengan syarat-syarat gencatan senjata jangka panjang. Sesungguhnya kejayaan ini adalah kejayaan semua pihak termasuk masyarakat antarabangsa yang menyokong perjuangan rakyat Palestin melalui pelbagai sarana seperti bantuan kemanusiaan, boikot ekonomi dan tekanan politik ke atas Israel.
Setelah lebih tiga minggu berunding, Mesir, perantara dalam rundingan gencatan senjata ini akhirnya mengumumkan kesediaan Israel untuk memenuhi semua tuntutan HAMAS. Sebahagian besar daripadanya adalah tuntutan yang gagal dipenuhi Israel pasca Perang Hijaratus Sijjil pada tahun 2012. Kesemua tuntutan ini penting untuk mengakhiri krisis kemanusiaan di Gaza yang dikepung sejak 2006.
Serangan 50 hari Israel sejak 8 Julai lalu berakhir dengan satu lagi kekalahan di pihak mereka. Hakikat ini diakui sendiri oleh pihak pembangkang dan beberapa menteri kabinet Netanyahu biarpun Netanyahu cuba menutup kegagalannya. Israel bukan sahaja gagal mencapai objektif perangnya, bahkan memberi peluang kepada Gaza untuk mengheret mereka ke meja rundingan dan memaksa mereka akur kepada tuntutan-tuntutan Gaza.
Sesungguhnya rakyat Malaysia yang mendoakan kemenangan rakyat Palestin di Gaza dapat berkongsi perasaan lega dengan berakhirnya perang kali ini. 2,120 kematian yang dicatatkan (544 daripadanya kanak-kanak) adalah harga yang terpaksa dibayar untuk kejayaan ini. Semoga Allah Subhanahu wa Taala menempatkan semua syuhada di jannatul firdaus yang tertinggi dan mengurniakan ganjaran yang besar kepada rakyat Palestin atas kesabaran dan ketabahan mereka.
Meskipun serangan telah berakhir, Gaza masih memerlukan bantuan berterusan untuk membaik pulih kemusnahan yang maha dahsyat akibat perang kali ini. Justeru, Pertubuhan IKRAM Malaysia ingin menyeru rakyat Malaysia agar terus menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin sebagaimana yang telah dan sedang berjalan sehingga saat ini. Bantuan boleh disalurkan melalui Aqsa Syarif, agensi IKRAM yang berpengalaman menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin. Ayuh sama-sama kita jayakan misi ini.
“Memperkasa Ummah, Membebaskan Al-Aqsa”
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi,
JK Pembelaan Umat Sejagat,
Pertubuhan IKRAM Malaysia.