Kenyataan berunsur gurauan mengenai fizikal seorang pemimpin wanita ketika sebuah perhimpunan politik baru-baru ini telah mencetuskan perhatian dan kritikan awam. Rakaman kejadian tersebut turut tular di media sosial dan mengundang perbincangan mengenai budaya body shaming, khususnya apabila komen berkaitan fizikal seseorang dibuat secara terbuka di hadapan khalayak ramai.
Wanita IKRAM Malaysia melihat perkara ini sebagai satu ruang untuk masyarakat menilai semula budaya bergurau yang menjadikan tubuh badan, penampilan atau usia seseorang sebagai bahan jenaka. Walaupun sesuatu komen mungkin disampaikan dengan niat bergurau, kesannya terhadap maruah dan harga diri seseorang tidak seharusnya dipandang ringan.
Kata-kata yang dianggap sebagai gurauan boleh melukakan maruah, merendahkan harga diri dan menjejaskan kesejahteraan emosi seseorang. Apabila diucapkan oleh pemimpin atau tokoh masyarakat, kesannya lebih besar kerana ia boleh memberi gambaran bahawa perbuatan tersebut boleh diterima dan dinormalisasikan.
Dari sudut sains kesihatan pula, kajian terkini (2026) turut mengesahkan bahawa perbuatan kecam badan atau body shaming boleh membawa kesan yang lebih dalam daripada yang disangka. Ia biasanya bermula dengan komen negatif berulang yang membawa kepada rasa rendah diri, dan jika berterusan, boleh mencetuskan tekanan perasaan yang lebih serius seperti kemurungan dan kebimbangan [1]. Kajian ini membuktikan bahawa gurauan sebegini bukan perkara kecil, sebaliknya memberi kesan sebenar kepada kesihatan dan kesejahteraan wanita.
Islam mendidik umatnya supaya menjaga lisan serta tidak mencela, memperolok atau memanggil orang lain dengan gelaran yang tidak disenangi, baik sesama lelaki mahupun sesama perempuan. Peringatan ini turut ditegaskan Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, yang melarang sesuatu kaum daripada mengolok-olok kaum yang lain, kerana boleh jadi yang diolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka.
Martabat seorang wanita tidak ditentukan oleh bentuk tubuh, usia atau penampilannya. Ia wajar dihormati berdasarkan kemanusiaan, keperibadian, ilmu, sumbangan dan amanah yang dipikulnya.
Justeru, Wanita IKRAM Malaysia menyeru:
- Semua pemimpin dan tokoh awam, tanpa mengira platform atau kedudukan, menjadi contoh dalam membina budaya komunikasi yang beradab, berempati dan menghormati maruah setiap insan.
- Pertubuhan dan organisasi mempertimbangkan garis panduan adab berkomunikasi sebagai sebahagian daripada latihan kepimpinan ahli masing-masing.
- Masyarakat berhenti menormalisasikan gurauan yang menyentuh tubuh badan, penampilan atau usia wanita. Wanita wajar dinilai berdasarkan sumbangan dan keperibadian, bukan rupa fizikal.
Gurauan yang merendahkan bukan hiburan.
Tubuh bukan bahan jenaka.
Hormati maruah, pelihara bicara.
Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rujukan:
[1] Body Shaming and Women’s Mental Health: Public Health Challenge for Gender Equity. Health Science Reports (2026).




