Tragedi Kulim: Perkemas Strategi Pencegahan Lemas Kanak-kanak

Tragedi Kulim: Perkemas Strategi Pencegahan Lemas Kanak-kanak | IKRAM

Wanita IKRAM Malaysia menzahirkan rasa dukacita yang mendalam dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa susulan tragedi empat kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun yang lemas di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, Kulim, baru-baru ini.

Menurut laporan polis, keempat-empat kanak-kanak tergelincir ke dalam sebuah longkang sedalam kira-kira tiga meter ketika cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalamnya semasa bermain. Dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Insiden ini bukan sekadar statistik kemalangan, tetapi mendedahkan jurang serius dalam sistem pencegahan lemas kanak-kanak negara. Menurut Laporan Status Global Pencegahan Lemas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2024, sebanyak 255 kematian akibat lemas dilaporkan di Malaysia pada 2022, dengan kanak-kanak dan remaja 0 – 19 tahun merangkumi 34% daripada jumlah tersebut

Malaysia turut disahkan masih tiada strategi kebangsaan berkaitan pencegahan lemas, dan pemasangan halangan fizikal di kawasan air berisiko, termasuk longkang dan kolam tadahan hanya dilaksanakan pada skala terhad, bukan menyeluruh [1].

Atas dasar perlindungan kesihatan dan keselamatan fizikal kanak-kanak, Wanita IKRAM Malaysia mengemukakan tuntutan berikut:

1. Audit dan pasang halangan fizikal di longkang serta kolam tadahan berisiko tinggi

PBT dan JPS di setiap negeri perlu menjalankan audit keselamatan menyeluruh terhadap longkang dan kolam tadahan yang boleh diakses kanak-kanak, dengan keutamaan kepada kawasan perumahan padat dan laluan bermain. 

Hasil audit ini wajar diikuti dengan pemasangan halangan fizikal, iaitu intervensi yang disyorkan WHO sebagai bukti tindakan untuk mencegah lemas.  Intervensi ini perlu mengikut pelan pembaikan berjadual, bukan sekadar tindakan reaktif selepas tragedi berlaku.

2. Akui keterbatasan kanak-kanak dalam menilai risiko air dalam

Data WHO menunjukkan kanak-kanak bawah lima tahun merekodkan kematian lemas tertinggi mengikut kumpulan umur (24% daripada jumlah global), diikuti kanak-kanak 5 – 14 tahun (19%). Peratusan ini jauh melebihi kumpulan umur dewasa.

Bagi kumpulan umur lebih tua seperti mangsa tragedi Kulim (8 – 12 tahun), WHO mengenal pasti faktor risiko yang berbeza: kebebasan yang semakin berkembang, pengaruh rakan sebaya dan tingkah laku mengambil risiko yang meningkat apabila kanak-kanak mula bermain atau membuat keputusan tanpa pengawasan langsung orang dewasa. 

Faktor-faktor ini menjelaskan mengapa empat kanak-kanak dalam tragedi ini membuat keputusan sendiri untuk mengambil bola tanpa memaklumkan orang dewasa terlebih dahulu. Ia bukan kerana cuai, tetapi kerana ciri perkembangan yang biasa pada peringkat umur ini.

Beban menilai risiko ini tidak sepatutnya diletakkan di atas bahu kanak-kanak, sebaliknya persekitaran fizikal mereka wajib direka agar mengalah demi melindungi mereka.

3. Perkukuh pendidikan keselamatan air dan latihan menyelamat asas di peringkat keluarga, sekolah dan komuniti

Ibu bapa dan komuniti perlu ditekankan peraturan mudah: jika barang berharga, orang atau haiwan terjatuh ke dalam longkang dalam, kanak-kanak tidak sepatutnya turun sendiri, sebaliknya memaklumkannya kepada orang dewasa, yang seterusnya menghubungi 999 dan bukan cuba menyelamatkannya sendiri tanpa kemahiran. 

Nyawa empat anak kecil ini telah hilang akibat kegagalan kolektif menyediakan ekosistem persekitaran yang selamat.

Wanita IKRAM Malaysia mendesak agar pengajaran pahit daripada tragedi Kulim ini diterjemahkan segera kepada audit infrastruktur, pelaburan dalam intervensi komuniti yang terbukti berkesan, serta pendidikan keselamatan berterusan bagi melindungi anak-anak di seluruh negara.

Profesor Dr. Norhasmah Sulaiman 
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Rujukan:

[1] World Health Organization (2024). Global Status Report on Drowning Prevention. Geneva: WHO. (Profil negara Malaysia, ms. 172; kajian kes Afrika Selatan, Seksyen 4).

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia