Menjelang PRU-13: Pesanan IKRAM kepada parti politik, penguatkuasa dan rakyat Malaysia

1. Apakah reaksi IKRAM setelah bekas Perdana Menteri Malaysia DS Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen pada 3 April lepas?

Dengan pengisytiharan pembubaran parlimen yang telah diumumkan oleh (bekas) Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak, bagi pihak IKRAM kita merasakan negara sekarang ini berada dalam keadaan yang ‘menentu’, bahawa kita akan berdepan dengan pilihan raya baru, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), untuk menentukan pucuk pimpinan negara bagi tempoh lima tahun yang akan datang. Sedikit sebanyak pengumuman itu telah menjadikan keadaan sekarang jelas kepada rakyat tentang tarikh pilihan raya yang akan menentukan pimpinan negara pada masa depan.

2. Perubahan kerajaan dalam sebuah negara demokrasi dilihat baik untuk rakyat, apatah lagi jika pihak yang memerintah itu telah terlalu lama berada di tampuk pemerintahan. Bagaimana IKRAM menganalisis perkara ini?

IKRAM melihat pilihan raya baru yang akan berlaku dalam tempoh sebulan ini merupakan peluang kepada rakyat Malaysia keseluruhannya untuk menentukan pemerintahan baru bagi negara ini, sama ada mengekalkan pemerintah yang lama atau memilih pemerintahan yang baru. Sama ada BN (Barisan Nasional) atau PR (Pakatan Rakyat), sebab kita hanya ada dua barisan parti yang bertanding untuk merebut kuasa dalam negara ini.

Adalah satu perkara yang wajar, bagi rakyat sesebuah negara apabila melihat pemerintah tidak perform atau telah melakukan banyak kerosakan, mereka mengambil pendirian serta membuat keputusan untuk memilih pemerintah baru yang akan menggantikan pemerintah lama. Dan itu hak rakyat negara Malaysia, sewaktu mereka melihat keadaan itu demikian.

Pemerintah lama perlu mengiktiraf hak tersebut serta memperakuinya dan menganggap (yang demikian) itu sebagai perkara biasa dalam pengamalan demokrasi berparlimen iaitu pilihan raya yang dilaksanakan dalam sistem tersebut.

3. Dalam tempoh sekarang sehingga tarikh membuang undi, negara Malaysia secara automatiknya ditadbir oleh sebuah kerajaan sementara. Bagaimanakah seharusnya kerajaan sementara itu bertindak?

Dalam tempoh antara pembubaran parlimen dengan hari pembuangan undi, sepatutnya pemerintah yang diwujudkan dalam negara demokrasi ialah pemerintahan sementara. Pemerintah sementara ini menghimpunkan gabungan wakil-wakil daripada kedua-dua parti iaitu pemerintah dan pembangkang untuk melaksankan satu formula pilihan raya yang adil kepada kedua-dua pihak iaitu menegakkan satu sistem pilihan raya yang telus, bersih dan adil kepada kedua-dua pihak.

Dalam tempoh tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dilihat berlaku adil kepada kedua-dua pihak. Kedua-dua pihak hendaklah diberi ruang yang sama dalam mengemukakan pandangan dan pendirian mereka berhadapan dengan berbagai-bagai isu yang dihadapi oleh negara, begitu juga berhadapan dengan harapan rakyat yang diinginkan oleh rakyat pada masa hadapan.

Jadi, kedua-dua pihak perlu diberi ruang untuk menggunakan seluruh fasiliti negara, fasiliti kerajaan untuk berkempen secara bebas, secara telus dan masa yang cukup supaya mereka dapat menerangkan agenda serta manifesto parti masing-masing. Dengan demikian rakyat akan memperoleh maklumat yang jelas dan terang daripada kedua-dua pihak. Dan terpulanglah kepada rakyat selepas itu untuk memutuskan pendirian mereka sama ada memilih parti pembangkang atau pemerintah sedia ada. Begitulah keadaan pemerintah sementara yang sepatutnya memegang kuasa untuk tempoh sementara tersebut bagi memastikan pilihan raya tersebut berjalan secara telus, bersih dan adil.

Semua kerajaan negeri perlu membubarkan DUN (masing-masing) untuk memungkinkan pilihan raya umum dilaksanakan di peringkat Parlimen dan DUN, sama ada kerajaan negeri di bawah pembangkang atau kerajaan yang sedang memerintah. Lepas itu barulah pilihan raya dapat dilaksanakan dengan negeri-negeri tersebut diurus tadbir oleh kerajaan sementara yang sepatutnya bertindak untuk menguruskan pilihan raya tersebut secara adil, telus dan bersih. Dengan demikian, kerajaan negeri seperti juga kerajaan pusat yang merupakan kerajaan sementara di tahap tersebut dapat memainkan peranan menguruskan pilihan raya tersebut dengan penuh tertib untuk memungkinkan rakyat keluar membuang undi secara bebas dan menentukan pemerintah baru yang akan mereka pilih pada masa hadapan.

4. Dalam tempoh yang sama juga, pihak penguatkuasa terutama polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memainkan peranan yang penting dalam memastikan semua keadaan dan kempen berjalan dengan aman. Apa pandangan Dr?

IKRAM mengharapkan pihak penguatkuasa undang-undang dalam tempoh menuju pilihan raya ini, yang mana kerajaan yang memerintah adalah  kerajaan sementara, pihak SPR mestilah melaksanakan tugas untuk memudahkan rakyat mendapat maklumat yang tepat tentang situasi negara. Begitu juga untuk rakyat boleh mendengar dengan bebas pandangan-pandangan daripada kedua-dua pihak yang saling bertentangan dalam kempen-kempen mereka untuk merebut undi daripada rakyat. Dengan demikian barulah kita boleh menganggap pilihan raya tersebut satu pilihan raya yang telus, bersih dan adil dan pemerintah sementara yang melaksanakan tanggungjawab dengan penguatkuasaan sedemikian barulah boleh dianggap sebagai pemerintah sementara yang bertanggungjawab, yang memastikan pilihan raya tersebut akan membolehkan rakyat memilih calon-calon mereka serta membuat keputusan secara sebenarnya.

5. Apakah pandangan IKRAM terhadap jaminan DS Najib bahawa jika ditakdirkan berlaku peralihan kuasa pemerintah, peralihan tersebut akan berjalan dengan lancar dan tidak akan berlaku huru-hara?

IKRAM memang berharap perkara ini menjadi tanggungjawab kerajaan sementara untuk memastikan bahawa kalau berlaku peralihan kuasa daripada kerajaan sedia ada kepada kerajaan baru, peralihan  kuasa itu mestilah berlangsung dalam suasana aman, untuk memastikan suasana dalam negara berjalan dengan sebaik-baiknya. Lantaran pertukaran kerajaan itu telah melalui satu proses yang demokratik, ia juga menuntut peralihan kuasa itu berlaku dalam suasana aman. Tidak ada rusuhan atau penggunaan kekerasan waktu keputusan telah diisytiharkan. Semua pihak hendaklah menerima keputusan yang diumumkan oleh pihak SPR. Kita sebagai rakyat yang telah membudayakan hidup secara demokrasi menerusi pengamalan pilihan raya secara bebas, hendaklah terima apa sahaja keputusan yang telah diputuskan oleh rakyat. Itulah natijah yang mesti diakui bersama. Kita perlu ikut serta mendukung pemerintahan baru yang diharap akan melaksanakan tanggungjawab ke arah negara dan rakyat sebaik-baiknya.

6. Apakah seruan Dr kepada rakyat dalam menunaikan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya umum yang sangat penting ini?

IKRAM berharap rakyat Malaysia akan keluar beramai-ramai untuk membuan undi serta tidak mensia-siakan kuasa undian mereka dalam memilih pemerintahan yang kita harapkan, iaitu satu pemerintahan yang memang berupaya untuk menjalankan tanggungjawab memerintah negara pada masa hadapan, yang melihat kekuasaan itu sebagai satu amanah bukan habuan.

Rakyat ikut memilih kerajaan yang dikira akan dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut, sama ada kerajaan lama atau kerajaan baru. Dan kita meminta rakyat supaya menolak pimpinan atau calon-calon yang korup, pimpinan-pimpinan yang jelas terbukti di sudut sejarah kepemimpinan mereka bahawa mereka tidak layak untuk memikul amanah tersebut. Dengan demikian, negara akan mempunyai satu pemerintah baru yang bertanggungjawab yang akan bersikap adil kepada semua rakyat. Pada waktu itu kita akan dapat melihat negara kita boleh terus maju ke hadapan, dapat menggerakkan semua potensinya untuk menjadi sebuah negara yang makmur dan dapat membangunkan Malaysia Baru pada masa hadapan.

7. Apakah pesanan Dr kepada semua pihak, sama ada parti-parti yang akan bertanding atau rakyat seluruhnya dalam menghadapi PRU-13 ini?

Pada kesempatan ini saya mewakili Pertubuhan IKRAM Malaysia mengharapkan negara Malaysia akan melalui satu tempoh pilihan raya yang aman, yang mana semua jentera pilihan raya bagi kedua-dua parti yang saling bersaing akan dapat berjalan dalam suasana yang baik serta kedua-dua pihak mendapat ruang serta peluang untuk mengemukakan hujah masing-masing bagi menarik rakyat memilih mereka. Begitu juga, kita harap rakyat Malaysia akan mengambil tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang dilihat boleh memikul tanggungjawab tersebut serta memilih kerajaan yang akan menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, yang dapat menegakkan keadilan dalam negara, yang boleh membawa negara maju ke hadapan dan dapat melahirkan satu Malaysia Baru, satu negara Malaysia yang makmur untuk semua rakyatnya.

Jadi, kita berharap rakyat jangan takut untuk keluar membuang undi dan gunakanlah hak mereka untuk memilih pemimpin-pemimpin yang memiliki kredibiliti, keupayaan, kebolehan dan bersikap amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. Gunakan peluang keemasan ini untuk memilih pemimpin-pemimpin sedemikian. Kalau ia mengambil bentuk pertukaran pemerintah, tukar! Jangan kita takut. Itu hak kita. Sebagai rakyat, kita berhak menukar pemerintah yang tidak melaksanakan amanah kepada suatu pemerintah yang kita lihat atau kita jangkakan dapat melaksanakan amanah yang itu sebaik-baiknya pada masa hadapan.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia