Mengapa Hukum Fiqh Boleh Berubah?

Mengapa Hukum Fiqh Boleh Berubah? | IKRAM

Syariah dikenali sebagai ketetapan-ketetapan hukum yang mengatur kehidupan manusia demi mencapai kemaslahatan dan kebaikan di dunia juga akhirat. Hal ini bermakna, yang menjadi agenda utama pensyariatan hukum-hukum ialah merealisasikan kepentingan dan keperluan manusia.

Panduan hukum yang dijalani saban hari pada dasarnya tidak seharusnya berlakuĀ  secara membuta tuli, malah perlu didasari dengan kefahaman dan diperkuat dengan penghayatan, barulah terbit rasa syukur kepada Allah SWT.

Ketetapan-ketetapan yang berada di bawah naungan syariah ada yang bersifat tetap atau dikenali sebagai al-thawabit dan ada juga yang bersifat berubah-ubah iaitu dikenali sebagai al-mutaghayyirat.

Hukum-hukum yang tetap bersumberkan dalil-dalil yang qatā€™i dan merangkumi prinsip-prinsip dasar Islam yang berkaitan dengan akidah, akhlak juga ibadah serta muamalat yang mengatur tatacara perhubungan serta pergaulan sesama manusia.

Keanjalan Syariah suatu keistimewaan

Islam menyediakan satu ruang yang membolehkan hukum-hukum syarak difahami dan dipraktikkan menurut keperluan semasa. Kewujudan ruang yang dinamakan sebagai fiqh ini menjadikan hukum-hukum Islam dapat dilaksanakan dengan baik menurut kemampuan mukallaf.

Sebagai contoh, matlamat pensyariatan ibadah puasa ialah untuk menjana takwa dalam diri seorang Muslim. Demi mencapai tujuan itu, jika seorang mukallaf sakit, mereka ā€˜diberikan keringananā€™ iaitu boleh berbuka puasa dan menggantikannya pada hari yang lain.

Dengan kata lain, dengan berbuka puasa dan menerima tawaran rukhsah, seseorang mukallaf juga dapat menjana takwa kepada Yang Esa. Inilah yang dinamakan sebagai al-murunah atau keanjalan hukum fiqh.

Hakikatnya, memahami hukum syarak adalah satu keistimewaan yang akan mencetuskan rasa syukur dan penghargaan kepada Allah Azzawajalla. Manakan tidak, hukum-hukum syarak pada al-thawabit atau al-mutaghayyirat amat menekankan kepentingan manusia itu sendiri.

Jika diteliti akan perubahan hukum yang berlaku, timbul satu persoalan, ā€œmengapa hukum-hukum dalam fiqh boleh berubah?ā€

Adakah ia bermakna syariat yang diturunkan tidak lengkap hingga perlu kepada ijtihad baharu?

Tanggapan seperti ini adalah persepsi yang salah dan jauh dari prinsip keanjalan hukum fiqh. Hukum fiqh berubah kerana fiqh adalah hasil kefahaman manusia iaitu mujtahid yang kompeten menganalisis dalil secara teliti berpandukan ilmu Usul Fiqh.Ā 

Masa dan tempat boleh merubah hukum

Hukum-hukum fiqh bertujuan memberikan kebaikan kepada manusia, menjaga kepentingan-kepentingan utama manusia seperti agamanya, jiwanya, akalnya, keturunannya dan hartanya.Ā 

Selain itu, hukum-hukum syarak bukanlah bertujuan menyukarkan kehidupan manusia, malah sekiranya terdapat kesukaran, pintu kemudahan akan terbuka luas.

Masa merupakan ciptaan Allah SWT yang penting. Allah SWT telah bersumpah dengan masa dalam surah al-Asr. Kepentingan masa ditunjukkan dalam proses pensyariatan hukum yang berlaku secara beransur-ansur.

Atas dasar ini jugalah manusia diberi masa yang cukup sebelum pentaklifan sesuatu hukum dikenakan. Syariat menunggu waktu baligh sebelum merekodkan dosa dan pahala seorang mukallaf.

Hal ini demikian kerana hanya dengan usia yang meningkat, akal seseorang menjadi lebih sempurna untuk memahami tuntutan-tuntutan syarak.

Masa menjadi faktor kepada perubahan hukum yang berlaku. Contohnya, hukum ketika masa damai berbeza daripada ketika perang.

Hukum pada masa biasa berbeza daripada masa darurat atau kelaparan. Selain itu, masa juga dikaitkan dengan dimensi masa lepas (silam/ klasik), kini (sekarang/ moden/ kontemporari) dan akan datang (futuristik).

Masa juga berkait rapat dengan perkembangan dan kemajuan dalam kehidupan manusia. Kemajuan yang berlaku menatijahkan situasi yang belum pernah ditemui oleh ulama sebelum ini. Sebagai contoh, jual beli secara dalam talian, penemuan dalam bidang sains perubatan seperti rawatan menggunakan stem sel dan sebagainya.

Selain itu, perubahan hukum dengan dimensi masa juga berkait dengan tuntutan situasi seperti larangan melaksanakan hukuman hudud bagi jenayah curi pada waktu perang dan penangguhan hukuman jenayah curi pada musim kelaparan (krisis ekonomi) oleh Sayyidina Umar r.a.

Hukum juga boleh berubah berdasarkan perubahan tempat.Ā  Perubahan ini merujuk kepada persempadanan geografi, iaitu ruang ataupun tempat yang dibatasi oleh kaedah geografi dan topografi dengan segala karakteristiknya yang berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Contohnya, zakat yang dikeluarkan berdasarkan nilai makanan ruji negara yang berbeza akan berlainan. Perbezaan tempat turut dipengaruhi oleh perbezaan iklim, cuaca dan lain-lain lagi.

Hukum berubah menurut keperluan

Antara penyebab utama kepada perubahan hukum ialah keadaan dan keperluan semasa. Kepentingan dan keperluan manusia turut berubah dengan perubahan keadaan kehidupan mereka.

Sebagai contoh, penubuhan bank susu merupakan isu syariah semasa yang dibincangkan di Malaysia. Terdahulu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15 – 17 Disember 2011 telah memutuskan bahawa penubuhan bank susu tidak dibenarkan.

Rasionalnya ialah untuk menjaga keturunan. Oleh kerana operasi bank susu boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan, ia perlu dielakkan.

Namun, pada tahun 2022, sebuah bank susu patuh syariah Pusat Susu Bonda Halimatussadia telah julung kalinya tertubuh di Malaysia di bawah kendalian Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC)Ā Kuantan.

Penubuhan bank susu bertepatan dengan maqasid al-syariah iaitu untuk menjaga nyawa manusia, terutamanya bagi situasi bayi pramatang dan faktor kesihatan ibu yang menghalang untuk menyusukan bayi.

Di Malaysia, berlaku peningkatan kelahiran bayi pramatang iaitu seramai 64,620 orang yang dilaporkan pada tahun 2015 dan 30 peratus daripada jumlah tersebut menderita penyakit necrotizing enterocolitis (NEC). NEC ialah penyakit serius yang menjejaskan usus bayi pramatang dalam tempoh beberapa minggu pertama selepas lahir.

Sebanyak 50 peratus dari jumlah bayi yang dijangkiti NEC akan melalui pembedahan yang boleh menggugat nyawa bayi pramatang.

Sehubungan itu, melalui kajian yang dibuat oleh pakar-pakar penyusuan di seluruh dunia, ternyata dengan penggunaan susu ibu, berlaku penurunan sebanyak 50 peratus jumlah bayi pramatang yang dijangkiti NEC.

Secara realitinya, begitulah contoh dinamika hukum fiqh. Perubahan yang berlaku adalah rahmat kepada sekalian umat.

Keperluan kepada ijtihad kontemporari bagi masyarakat Islam sekarang ini sudah berada pada tahap yang mendesak. Kegagalan memenuhi keperluan ini boleh menyebabkan banyak agenda kemajuan masyarakat menjadi terbengkalai dan pengaruh hukum Islam dalam masyarakat akan bertambah pudar.

Justeru, sudah tiba masanya hukum-hukum difahami dari akar umbi, bukan hanya berlegar dalam kelas-kelas pengajian, tetapi menjadi perhatian dan kefahaman bagi setiap Muslim yang bergelar mukallaf.Ā 

Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia