Mencipta ketenangan dalam keluarga semasa PKP

Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) telah dilaksanakan di negara kita bermula 18 Mac 2020 bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 daripada merebak. Masyarakat diminta berada di rumah dan tidak keluar melainkan hal kecemasan, perubatan dan membeli barang keperluan asas rumah.

Penduduk tidak kira tinggal di flat, banglo, kampung, kolej kediaman semua dilarang keluar tanpa sebab dan kekal di rumah. Keadaan yang sukar dan perasaan takut dijangkiti COVID-19 ini menjejaskan ketenangan dalam keluarga.

Keadaan ini tidak pernah berlaku kepada generasi alaf baru. Ini adalah satu sejarah. Satu pengalaman baru yang menggugah kesenangan dan kebiasaan. Tagline #DudukRumah adalah paling popular kini.

Tiada lagi kebebasan ke sekolah, makan di luar, bersiar di taman permainan atau riadah pagi dan petang. Mewujudkan ketenangan dalam keluarga pastinya sukar apabila ibu bapa mempunyai halangan tersendiri.

Penting bagi kita untuk menerima hakikat bahawa semasa PKP ini, ramai individu mempamerkan pemikiran dan emosi yang mencerminkan kerisauan. Ini adalah perkara yang lumrah apabila krisis berlaku.

Beri perhatian kepada pemikiran negatif dan pergerakan fizikal yang wujud. Lihatlah dengan sifat ingin tahu dan tidak cuba menghukum (judgemental) apabila menggambarkannya. Elakkan daripada cuba hendak menutup atau mengelak perasaan beremosi sebegini.

Membiarkan emosi negatif ini dilepaskan dalam diri kita dan fokus melibatkan diri dengan aktiviti yang bermakna mampu membantu kita menghadapi kesukaran ini dengan lebih tenang. Ini adalah elemen penting dalam mindfulness yang baik bagi kesihatan mental.

Matlamat menjadikan ‘Rumahku Syurgaku’ boleh terjejas jika berlaku ketidakseimbangan dari pelbagai aspek keperluan anak-anak, khususnya emosi yang tidak dipenuhi dengan baik. Ibu bapa perlu melihat perkembangan dan pertumbuhan anak-anak semasa PKP ini daripada aspek emosi tertentu.

Sebuah keluarga harus mengamalkan sifat rahmah antara ahli keluarga kerana ia adalah sebahagian daripada syarat ketenangan yang melahirkan kebahagiaan dalam keluarga.

Peranan seorang bapa dan ibu adalah sangat penting dalam sebuah keluarga. Sebagai ketua keluarga, bapa memberi layanan dan belaiannya dengan cara terbaik. Lemah lembut dan penuh rahmah kepada isteri dan anak-anak adalah sangat dituntut dalam agama, bahkan Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:

 

“Orang yang imannya paling sempurna antara kaum mukminin adalah orang yang paling bagus akhlaknya di antara mereka dan sebaik-baik lelaki adalah yang terbaik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” (HR Tirmidzi dan Abu Daud)

 

Terdapat beberapa langkah untuk ibu bapa bagi membantu mewujudkan ketenangan dalam keluarga:

 

a. Membetulkan perspektif mengenai pandemik COVID-19

Tidak menerima pandemik ini sebagai satu fenomena penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa adalah satu halangan kepada ketenangan.

 

Pandemik ini perlu dihindari dengan mengambil langkah untuk sentiasa membasuh tangan, menjarakkan satu meter daripada orang lain (social distance), menutup hidung apabila batuk dan duduk di rumah. Ini memerlukan disiplin untuk elak dijangkiti.

 

Menyakini bahawa pandemik ini akan berakhir boleh membantu mendapat ketenangan diri. Reda dapat dicapai apabila kita dengan sedar mempercayai bahawa pastinya ada hikmah yang tersembunyi di sebalik semua perkara yang berlaku.

 

Kepercayaan mitos tentang COVID-19 perlu diganti dengan membaca dapatan data-data saintifik daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ataupun WHO yang lebih global. Ini kerana mempunyai perspektif yang betul adalah sangat penting.

 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu.” (HR Ahmad)

 

b. Masa bersama keluarga tidak terbatas

PKP ini adalah peluang untuk mendapat masa berkualiti bersama keluarga. Jika sebelum ini masa adalah terhad, kini ada 24 jam berada di rumah. Amat rugi jika peluang keemasan ini tidak diisi dengan aktiviti yang bermanfaat.

 

Bapa berperanan sebagai suami, guru, pembantu tukang masak, pencuci di rumah adalah juga seorang eksekutif di syarikat. Begitu pula seorang isteri berperanan sebagai seorang ibu, guru, tukang masak dan pencuci adalah seorang pekerja di syarikat.

 

Peranan yang pelbagai ini apabila dilaksanakan secara berganding bahu pasti akan menjadi mudah, ibarat satu pasukan bola yang mempunyai peranan masing-masing.

 

c. Menstruktur semula kehidupan

Kita perlu mengubah struktur kehidupan mengikut perubahan keadaan untuk kelangsungan. Jika kita tidak mahu berubah, kita sebenarnya tiada pilihan. Duduk di rumah adalah arahan muktamad. Ibarat seperti sotong kurita yang boleh berubah warna apabila berubah tempat, kita juga seharusnya boleh berubah.

 

Ibu bapa perlu lebih kreatif untuk mewujudkan ketenangan di dalam rumah seperti menyusun ruangan khusus untuk anak-anak belajar serta memberi ruang untuk anak menerokai potensi dan bakat masing-masing.

 

Ibu bapa juga perlu prihatin dan mencipta semula penjagaan diri sendiri (reinvent self-care) daripada segi fizikal dan kesihatan mental. Kajian telah menunjukkan melakukan senaman, mengambil makanan sihat dan bersosial dapat membantu kesejahteraan emosi.

 

d. Belaian dan kasih sayang

Aspek emosi perlu dipenuhi kerana anak-anak inginkan perhatian. Mereka memerlukan belaian dan sokongan untuk terus gembira. Berilah kasih sayang, ia mendatangkan kegembiraan dan keseronokan. Hubungan yang mesra dan mudah didekati akan memudahkan perbincangan dan perkongsian dalam keluarga.

 

Tanda-tanda sebuah keluarga yang mengalami krisis atau konflik ialah kerap bergaduh, tidak bercakap antara satu sama lain, komunikasi satu hala, nada suara yang menyakitkan hati dan tiada gelak ketawa.

 

Sekiranya berlaku perkara tersebut dan ibu bapa gagal untuk mencari penyelesaian masalah, dapatkan bantuan emosi secara talian yang banyak dilakukan oleh kerajaan dan NGO seperti Talian Kasih.

 

e. Peraturan dan kawalan

Pakar psikologi meramalkan akan berlaku peningkatan ibu mengalami parental burnout – keletihan dalam mengasuh anak-anak dan boleh menyebabkan pengabaian dan keganasan. Ibu bapa perlu bersedia untuk tidak terlalu tegas dan lebih fleksibel bagi peraturan dalam rumah.

 

Jika hanya pendekatan hukuman fizikal dilakukan kepada anak-anak tanpa pujukan, penghargaan dan latihan sebab dan akibat, ia akan menyebabkan kesan psikologi yang lebih teruk seperti kemurungan. Sudah tentunya ketenangan tidak dapat dicapai.

 

f. Jadual waktu aktiviti

Mewujudkan rutin dapat membantu mewujudkan struktur yang boleh diramal dan mempunyai tujuan. Ia bagus untuk orang dewasa dan penting untuk kanak-kanak patuhi seperti rutin bangun pagi, mengemas dan masa makan bersama.

 

Rutin bagi setiap ahli dalam rumah bekerja dan bermain perlu dirancang. Sementara itu, kefahaman tentang larangan semasa PKP dan pencegahan COVID-19 perlu dimaklumkan agar mereka faham rasional rutin ini berubah.

 

Ibu bapa boleh mengajar anak memasak, membasuh baju, mengira jumlah perbelanjaan pasar dan membuat projek ‘do it yourself’ (DIY). Pengajaran ini akan menguatkan daya tindak apabila mereka meninggalkan rumah nanti.

 

g. Aktiviti bersama

Ibu bapa boleh merancang aktiviti bagi kanak-kanak untuk mereka membuat aktiviti bersendirian atau bersama membuat sesuatu. Aktiviti bersama penting untuk mengeratkan ikatan dan kemesraan (bonding) dan aktiviti bersendirian untuk membina kreativiti mengikut daya cipta masing-masing.

 

Berikut adalah contoh aktiviti yang boleh dibuat:

Aspek Spiritual

Ibu bapa boleh berperanan sebagai ketua dan fasilitator dalam aktiviti berikut:

1. Solat berjemaah lima waktu – Bapa menjadi imam. Anak-anak boleh dilatih menjadi imam.

2. Berpuasa pada hari yang sunat berpuasa seperti Isnin dan Khamis bagi anak-anak. Berpuasa semampunya pada bulan Ramadan.

3. Membaca al-Quran selepas solat fardu maghrib bersama mengikut kesesuaian keluarga. Bermula dengan sedikit, mengajar membaca Iqra’ bagi anak yang kecil dan semak bacaan al-Quran.

4. Tadabur al-Quran seperti ayat-ayat daripada surah-surah pendek. Baca maksud dan pengajaran yang diperolehi. Beri peluang abang atau kakak dewasa berkongsi berdasarkan kitab tafsir.

5. Tazkirah ringkas – Contoh tentang kebersihan, sirah pandemik semasa Rasulullah SAW, cerita Nabi Nuh AS semasa banjir , Nabi Yunus AS.

6. Bangun tahajud secara berjemaah seminggu sekali, memohon ampun dan berdoa agar pandemik ini segera hilang.

7. Bersedekah kepada yang memerlukan. Masak bersama dan hantar kepada barisan hadapan (frontliners) atau orang susah. Yakin kepada Allah bahawa harta yang disedekahkan tidak berkurangan.

8. Membaca doa ma’thur dan doa pandemik setiap kali selepas solat.

9. Mendengar kuliah agama online.

10. Mendoakan kesejahteraan ahli keluarga dan orang lain selamat daripada pandemik ini.

 

Aspek Emosi

1. Cetuskan kreativiti di ruang rumah. Fikirkan ruang dalam rumah: Apa yang boleh diubah? Apa yang hendak diubah? Ruang mana yang tidak digunakan? Barang apa yang boleh disusun semula untuk mewujudkan ruang mainan?

2. Membuat aktiviti santai bersama yang mewujudkan kasih sayang seperti menonton televisyen secara bersama, masak makanan kesukaan yang berkhasiat.

3. Bergurau, berjenaka dan bermain bersama.

4. Menyanyi bersama atau mencipta sajak tentang COVID-19. Buat pertandingan untuk bercakap mengenai COVID-19 dan rakam serta dimuat naik di media.

5. Projek DIY – Llukisan daripada bahan terbuang dan origami.

 

Aspek Fizikal

1. Sediakan makanan yang berkhasiat dan berjadual.

2. Bersama melakukan riadah ringkas seperti Zumba atau Tabata.

3. Bermain permainan indoor. Ajak anak-anak untuk keluarkan barang mainan dan mengemas bersama.

4. Berlari atau berjalan menggunakan aplikasi untuk senaman di rumah atau cipta senaman sendiri.

5. Belajar menanam dalam rumah atau luar rumah. Menanam adalah terapi.

 

Ketenangan dalam fikiran dan perasaan adalah elemen yang boleh dihasilkan oleh semua keluarga. Perkara ini sangat perlu bagi menenangkan keadaan yang cemas disebabkan oleh krisis yang berlaku.

 

Ketenangan tidak datang begitu sahaja tetapi perlu diusahakan. Jangka masa yang lama bagi PKP melibatkan perubahan perancangan setiap keluarga. Perhatikan dinamik keluarga yang aktif untuk terus menghadapi krisis ini.

 

Ribuan terima kasih kepada semua frontliners yang berkorban bagi memastikan kesihatan dan keselamatan masyarakat kita terjamin.

 

Oleh: Dr Fauziah Hanim Jalal, Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia

Facebook: https://bit.ly/fb-pkpm

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia