Memupuk Semangat Patriotisme Asas Keharmonian Negara

Falsafah hidup yang tidak hanya mengutamakan kepentingan diri tetapi juga mengambil kira kepentingan negara ini wajar diberi perhatian. Hakikatnya, kepentingan negara akan memberikan kebaikan yang lebih besar kepada diri sendiri.

Selain itu, perpecahan komuniti akibat sikap mementingkan diri dan berpuak-puak dalam masyarakat boleh melemahkan semangat perpaduan. Pengaruh luar, termasuk propaganda dan budaya asing yang tidak selari dengan nilai tempatan, juga boleh menggugat identiti nasional.

Secara realitinya, pelbagai cabaran menghalang pemupukan semangat patriotisme. Antaranya ialah sikap tidak peduli generasi muda yang tidak memahami falsafah dan prinsip asas negara. Sikap ini menyebabkan mereka kurang peka terhadap isu-isu nasional.

Kejayaan pameran di Muzium Kesenian Islam Malaysia yang menampilkan manuskrip, artifak, seni bina miniatur serta karya seni lain yang menggambarkan keunikan dan kekayaan tamadun Islam perlu diketengahkan.

YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, menekankan bahawa inisiatif seperti ini mampu menjadi platform penting bagi institusi pendidikan untuk menjalankan penyelidikan, mendidik generasi muda serta mempromosikan nilai-nilai murni yang terkandung dalam warisan budaya tersebut.

Penyebaran ilmu dan budaya

Beliau turut menggesa kerjasama antara institusi tempatan dan antarabangsa untuk memastikan penyebaran ilmu dan budaya ini dapat diteruskan secara lestari. Langkah ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara dan menghargai warisan budaya yang telah membentuk identiti bangsa.

Sehubungan itu, usaha mengadakan pameran khas yang menonjolkan seni Islam dari seluruh dunia juga perlu diadakan. Pameran ini bertujuan untuk memupuk kefahaman yang lebih mendalam tentang warisan budaya Melayu-Islam, di samping mengukuhkan hubungan antara pelbagai tamadun melalui seni dan sejarah.

Bicara Harmoni 2024

Saya berkesempatan menghadiri Program Santai Harmoni yang mencerminkan semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat Malaysia. Majlis ini diadakan bagi meraikan penerbitan rancangan bersiri podcast Bicara Harmoni 2024.

Tahniah diucapkan kepada Kementerian Perpaduan Negara yang sentiasa menyambut baik usaha-usaha dan peranan pelbagai pihak sebagai rakan strategik bagi membantu membina tapak integrasi yang lebih kukuh melalui program-program yang dilaksanakan.

Kandungan positif yang memberi kefahaman dan mendidik masyarakat tentang hidup saling menghormati sebagai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan adat resam perlu dipergiat.

Podcast ini diterbitkan dengan hasrat menyampaikan mesej keharmonian melalui medium maya yang lebih terbuka luas capaiannya, bukan sahaja di bandar tetapi juga di kampung dan seluruh pelosok dunia.

Program Bicara Harmoni diterbitkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Oasis Minda Media. Kejayaan program ini dengan penonton melebihi 1 juta wajar diberi pengiktirafan. Semua pihak yang terlibat perlu dilihat sebagai ikon perpaduan.

Majlis Jom Santai Harmoni 2025 telah disempurnakan oleh Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, bertempat di Glamping@Wetland Putrajaya. Turut hadir ialah Presiden IKRAM Malaysia Hj. Badlishah Sham Baharin, Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta barisan pengacara dan ahli panel yang terlibat.

Sebagai salah seorang pengacara program ini, saya melihat perlunya usaha berterusan untuk mengadakan Program Bicara Harmoni bersama belia. Suara hati mereka perlu didengar kerana belia merupakan harapan masa hadapan nusa dan bangsa serta pembangunan sesebuah negara. Bak kata pepatah, “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.”

Perlu berterusan

Justeru, program yang menyemarakkan semangat belia dan merealisasikan impian mereka untuk berbakti kepada masyarakat dan negara perlu diadakan secara berterusan.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 merupakan salah satu usaha untuk membangkitkan semula semangat patriotisme. Pada 27 Jun 2024, seramai 120 pelatih sukarela dari seluruh negara melaporkan diri di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur untuk memulakan latihan selama 45 hari. PLKN 3.0 memberi fokus kepada latihan kepimpinan untuk membangunkan generasi muda yang berwawasan dan mampu memimpin.

Pembangunan jati diri melalui aktiviti yang memupuk nilai patriotisme dan kesedaran tentang kepentingan negara turut ditekankan. Pendidikan keselamatan yang memberikan pemahaman mengenai keselamatan negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada kekuatan ketenteraan juga menjadi salah satu teras utama program ini.

Semangat patriotisme yang sering kali dipandang ringan oleh generasi muda perlu dihidupkan semula dalam era moden. Patriotisme bukan hanya berkisar tentang mempertahankan negara menggunakan senjata tetapi juga mencakupi aspek menjaga perpaduan, memelihara budaya dan menjunjung tinggi kedaulatan negara.

Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 turut menjelaskan tentang memperkasa semangat patriotisme melalui tanggungjawab melaksanakan fungsi tugas. Pengurusan keselamatan adalah tanggungjawab semua pihak dan merupakan keselamatan menyeluruh.

Rakyat berkewajipan memelihara kedaulatan Malaysia daripada segala ancaman, sama ada dari dalam mahupun luar.

Dalam dunia globalisasi dan ledakan teknologi maklumat, nilai ini sangat penting untuk memastikan generasi muda mampu menghadapi cabaran dalam dunia yang kompetitif. Keutamaan kepada kepentingan nasional perlu menjadi prinsip utama dalam setiap tindakan.

Usaha memupuk semangat ini memerlukan sokongan berterusan melalui pendidikan, program pembangunan diri dan kolaborasi semua pihak.

Dengan menjadikan patriotisme sebagai pedoman hidup, generasi muda mampu memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih cerah. Saling memahami, menghormati dan menerima antara satu sama lain membolehkan kita memacu kemajuan negara sambil hidup dalam keharmonian dan kasih sayang.

Selamat menyambut Tahun Baharu Cina 2025 dengan semangat perpaduan dalam menjamin keharmonian negara.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia &
Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia, CILTM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia