Memilih Pemimpin Berwibawa: Untuk Siapa?

Kehidupan manusia penuh dengan pilihan-pilihan yang perlu dibuat, dari sekecil-kecil pilihan untuk memakai baju apa setiap hari, hinggalah sebesar-besar pilihan seperti memilih pasangan hidup.

Keputusan demi keputusan perlu dibuat setiap hari. Berapa banyak keputusan yang benar dan keputusan yang salah telah dibuat sepanjang hidup, sebagaimana berapa banyak pilihan yang tepat dan tidak tepat telah dibuat. 

Pelengkap kepada konsep keadilan yang dipromosikan syariah, setiap pilihan yang dibuat mempunyai implikasi terhadap kehidupan manusia itu sendiri, sama ada dalam skala yang besar mahupun kecil, sama ada pada peringkat peribadi mahupun komuniti (masyarakat).

Contoh pilihan dalam skala peribadi ialah pilihan untuk taat menunaikan solat fardu, manakala pilihan dalam skala komuniti ialah pilihan untuk menentukan ketua atau pemimpin.

Hakikat Kepemimpinan

Syariah memandang penting tentang isu kepimpinan dalam pengaturan kehidupan manusia. Seringkas situasi musafir seramai tiga orang, Rasulullah SAW menyarankan agar memilih ketua untuk menguruskan perjalanan.

Inikan pula perjalanan sebuah kehidupan dalam sebuah komuniti atau negara yang besar. Sejarah Islam telah merakamkan bagaimana pemilihan ketua dan kepimpinan negara telah membentuk naratif keseluruhan sejarah umat Islam itu sendiri.

Maka, mana mungkin tadbir urus negara dan politik dipisahkan daripada kehidupan seorang Muslim. Malah, segenap segi kehidupan seorang Muslim ditentukan oleh corak kepimpinan pemimpin yang mentadbir urus negara yang didiaminya, sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Menurut perspektif syarak, kepemimpinan bukan sekadar kontrak sosial antara pemimpin dengan rakyatnya, tetapi merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin tersebut dengan Allah SWT. Allah SWT telah menerangkan dalam Surah al-Baqarah:

“(Ingatlah) ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat, lalu dia melaksanakannya dengan sempurna. Dia (Allah) berfirman, “Sesungguhnya Aku menjadikan engkau sebagai pemimpin bagi seluruh manusia.” Dia (Ibrahim) berkata, “(Aku mohon juga) daripada sebahagian keturunanku.” Allah berfirman, “(Doamu Aku kabulkan, tetapi) janji-Ku (amanah) tidak berlaku bagi orang-orang zalim.” (Surah al-Baqarah:124)

Kepemimpinan adalah sebuah amanah yang perlu dijaga dan ditunaikan sebaiknya kerana kepemimpinan melahirkan kekuasaan dan mandat untuk memudahkan urusan rakyat.

Semakin tinggi kekuasaan seseorang pemimpin, semakin luas maslahat rakyat yang perlu diperjuangkan.

Bukan sebaliknya, sebagaimana segelintir pemimpin yang menyalahguna kuasa untuk kepentingan peribadi yang dipandu nafsu rakus, lalu bukan sahaja menzalimi hak rakyat, malah maruah dan nama baiknya juga turut tergadai tanpa sedar.

Oleh itu, kualiti kepimpinan ialah perkara yang serius dalam agama.

Pernah pada suatu hari, seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abu Dzar r.a. meminta suatu jawatan daripada baginda, Nabi SAW bersabda:

“Kamu lemah, dan ini adalah amanah sekali gus dapat menjadi sebab kenistaan dan penyesalan pada hari kemudian (apabila disia-siakan).” (HR Muslim, No. 1825)

Pesanan ini memberikan mesej kepada kita bahawa kompetensi bagi seorang pemimpin adalah sangat penting. Inilah yang dimaksudkan dengan kelemahan dan kekuatan dalam hadis di atas.

Pemimpin Berwibawa, Berintegriti

Seorang pemimpin yang bagus mestilah mempunyai kekuatan pada sudut intelektual dan kemampuan untuk memikir dan mencari penyelesaian demi memelihara kepentingan rakyat.

Sudah pasti kekuatan yang dimaksudkan juga ialah kekuatan peribadi terutamanya melawan nafsu dan kehendak sendiri daripada menyalahgunakan kuasa atau mengesampingkan keperluan rakyat.

Lalu, pemimpin yang berintegriti tersebut akan sentiasa menjulang keadilan dalam kepemimpinannya.

Keadilan adalah lawan kepada penganiayaan, penindasan dan pilih kasih. Keadilan yang sebenar ialah meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya tanpa mengira perbezaan dan jurang yang ada dalam masyarakat.

Allah SWT telah berpesan kepada Nabi Daud a.s. yang menjadi petunjuk kepada kita juga:

“Ketika mereka masuk menemui Daud, dia terkejut kerana (kedatangan) mereka. Mereka berkata, “Janganlah takut! (Kami) berdua sedang berselisih. Sebahagian kami berbuat aniaya kepada yang lain. Maka, berilah keputusan di antara kami dengan hak, janganlah menyimpang daripada kebenaran, dan tunjukilah kami ke jalan yang lurus (tanpa mengikut hawa nafsu).” (Surah Saad: 22)

Peri pentingnya mempunyai pemimpin yang berkelayakan, adil dan amanah sudah jelas dan terang.

Jika dalam kelompok yang kecil, agak mudah untuk memilih pemimpin.

Dalam skala yang besar seperti sebuah negara, sudah pasti untuk memilih pemimpin yang benar-benar memiliki kompetensi dan komited untuk memperjuangkan maslahat rakyat adalah suatu cabaran besar.

Namun, sesuatu yang benar tidak mustahil untuk berlaku. Langkah yang seribu bermula dengan yang satu.

Bermula dengan setiap rakyat yang mesti mula sedar tentang keperluan dan kepentingannya yang berhak dijaga. Sebagai rakyat, maslahat dan kepentingan sendiri perlu difahami dengan sebaiknya.

Maslahat yang dimaksudkan ialah maslahat yang inklusif, meliputi maslahat dunia dan akhirat, bukan sahaja maslahat umat Islam, malah manusia sejagat, sesuai dengan tema rahmatan lil ‘alamin yang dilaungkan sebagai matlamat syariat.

Kepentingan yang diperjuangkan bukan sahaja kepentingan semasa pada hari ini, tetapi kepentingan  anak cucu yang akan mewarisi watan.

Memang mencabar untuk memilih pemimpin yang berwibawa, namun lagi sukar menghadap pemimpin yang bermuka-muka tetapi membuat onar di sebalik topeng agama atau bangsanya.

Sudah tiba masanya rakyat dididik untuk membuat pilihan yang bijak, kerana negara yang kita pertahankan bukan hanya untuk sehari dua, tetapi sehingga dunia menemui pengakhirannya.

Dr Hamidah Mat

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM) dan Penasihat ILMAN

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia