Memburu 10 malam terakhir Ramadan, lailatulqadar

Memburu 10 Malam Terakhir Ramadan Lailatulqadar

Salam Ramadan al-Mubarak kepada semua warga Muslim di seluruh pelusuk dunia. Warkah ringkas saya ini saya fokuskan untuk membicarakan tentang 10 malam terakhir Ramadan.

 

Apa yang ditulis di bawah bukan perkara baru, ia lebih kepada ulangan tazkirah yang selalu kita dengar atau baca.

 

Kelebihan

 

Seperti kita maklum, 10 malam terakhir Ramadan dicatat dalam al-Quran seperti yang difirmankan Allah dalam Surah al-Fajr ayat 2 ( وَلَيَالٍ عَشْرٍۢ  ) bermaksud, “..dan malam-malam yang sepuluh.”

 

Seperti kita maklum, 10 hari terakhir Ramadan merupakan puncak amalan Rasulullah SAW. Diriwayatkan dalam satu hadis bahawa Rasulullah SAW apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, baginda bangun tahajjud malam, mengikat ketat kainnya (simbolik kepada panjangnya ibadat baginda) dan mengejutkan ahli keluarganya untuk qiamullail.

 

Dalam hadis lain pula, Allah turun ke langit dunia (langit yang terendah) untuk memperkenankan doa-doa hamba-Nya hingga waktu fajar, dan banyak lagi hadis-hadis lain termasuklah hadis-hadis berlakunya lailatulqadar antara 10 malam terakhir Ramadan ini.

 

Apa itu lailatulqadar? Ia merupakan satu malam yang amalan pada malam tersebut LEBIH BAIK daripada seribu bulan. Berapa banyakkah kebaikannya, hanya Allah yang tahu.

 

Ulama tafsir menyatakan, apabila Allah tidak tentukan bilangan kebaikan, maka ia tidak terhitung banyaknya kerana Allah itu amat pemurah kepada hamba-Nya yang meminta.

 

Nah, lihatlah betapa beruntungnya sesiapa yang mengejar 10 malam terakhir pada bulan Ramadan ini.

 

Analogi

 

Izinkan saya membuat sedikit analogi kenapa 10 malam terakhir Ramadan ini sangat penting.

 

Kalau kita menyertai larian 100 meter, di manakah poin yang paling penting? Tentunya di meter-meter terakhir larian kan? Juara dunia ditentukan di pecutan terakhir.

 

Kalau kita bermain golf, di bahagian mana yang penting sekali, tentunya pemain golf tahu hingga ada pantun menarik tentang main golf, “Apa guna tee off jauh, kalau tidak boleh dapat par.”

 

Kalau kita bermain bola, saat manakah yang paling penting kalau bukan minit-minit terakhir atau kalau terpaksa penalti, jaringan penalti terakhir jadi penentu.

 

Kalau kita bekerja sebagai pensyarah, bahagian mana yang paling penting kalau bukan menjadi seorang profesor yang juga merupakan hentian terakhir seorang ahli akademik.

 

Kalau kita menjadi petani, bahagian mana tanaman kita yang penting? Apa guna benih padi menghijau kalau di hujungnya hanya hampa padi diperolehi atau habis dimakan musuh tanaman?

 

Semua penanam padi atau getah atau sawit hatta durian menunggu bahagian akhir tanamannya untuk menentukan ia berjaya atau tidak.

 

Kalau kita penjawat awam, jawatan yang terakhir seperti Turus atau Jusa paling didamba sebelum bersara.

 

Kalau seorang itu berniaga, bukan modal sebagai ukuran tetapi sebanyak mana untung pada akhir perniagaan yang diperolehi. Semuanya di hujung jalan.

 

Kalau seorang pelajar universiti, tiada guna belajar kalau tidak graduasi, dan graduasi hanya datang pada hujung pengajian.

 

Nah, semua analogi ini memperlihatkan kepada kita bahawa sunnah hidup ini telah Allah tunjukkan kepada kita bahawa simbolik kehidupan terpapar pada 10 malam terakhir Ramadan.

 

Anugerah

 

10 malam terakhir Ramadan bukan seperti perlawanan bola atau larian maraton atau jarak dekat, ia bukan seperti bermain golf atau bertani, ia tidak layak dibandingkan dengan segala urusan duniawi ini.

 

Ia adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang mendambakan keampunan Allah, yang merindukan rahmat Allah, yang menitipkan bait-bait doa kepada-Nya lalu diperkenankan permintaannya.

 

Ia tetap datang dan ia tetap akan pergi. Maka seperti yang Rasulullah SAW sabdakan, rugilah orang yang datang Ramadan kepadanya, tetapi ia tidak memperolehi apa-apa daripada kedatangan Ramadan ini. Moga kita dikecualikan daripada golongan ini.

 

Untuk itu, rebutlah peluang ini. Kalau perlu cuti rehat, ambillah cuti andai kita tahu kelebihan 10 malam terakhir Ramadan ini.

 

Untuk membolehkan kita mendapat kekuatan qiamullail pada malam hari, maka kita perlu ada waktu rehat dan tidur yang cukup pada siang hari.

 

Tidak mungkin kita dapat qiamullail pada malam hari kalau jadual kerja kita penuh pada siang hari.

 

Selamat mengejar 10 malam terakhir bulan Ramadan yang sudah berada di ambang kini.

 

Al-Faqir Ilallah
Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan
Timbalan Presiden IKRAM

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia