Membina Semula Gaza Perlu Langkah Lebih Konkrit

Gencatan senjata yang diumumkan antara Hamas dan Israel selepas 465 hari konflik yang meragut puluhan ribu nyawa telah membawa sinar harapan kepada rakyat Palestin.

Selama 15 bulan, rakyat Palestin terpaksa menanggung penderitaan yang tidak terperi, termasuk pengeboman harian, ancaman, penahanan, kelaparan, kematian dan pembunuhan, wabak penyakit dan pelbagai kesukaran yang sukar dibayangkan, apatah lagi untuk ditanggung.

Gaza kini musnah sepenuhnya, bagaikan tapak runtuhan. Sebahagian besar kawasan tidak lagi boleh didiami kerana ketiadaan infrastruktur asas seperti air, sistem kumbahan, elektrik, bahan api mahupun fasiliti sekolah, hospital atau kedai perniagaan. Sistem ekonomi telah lumpuh mengakibatkan rakyat bergantung sepenuhnya pada bantuan luar. 

Penyakit merebak luas. Banyak keluarga telah lenyap tanpa waris, kanak-kanak menjadi yatim piatu dan ramai kehilangan keupayaan untuk menyara kehidupan. Namun, persoalan yang lebih besar kini timbul, “apakah langkah seterusnya untuk Gaza dan rakyatnya?” 

Gencatan senjata yang dimeterai antara Hamas dan Israel adalah satu perkembangan penting yang membawa kelegaan besar kepada rakyat Palestin di Gaza, khususnya selepas mereka sekian lama menderita akibat konflik berdarah dan genosid yang dahsyat. 

Perjanjian ini bukan sahaja menghentikan serangan buat sementara waktu, tetapi juga membuka ruang untuk meredakan ketegangan dan memberikan sedikit harapan kepada mangsa perang.

Namun, persoalan besar yang tidak boleh diabaikan ialah sejauh mana gencatan senjata ini mampu membawa penyelesaian jangka panjang yang adil dan menyeluruh, bukannya sekadar jeda dalam konflik yang berpanjangan. 

Walaupun penting, gencatan senjata ini hanyalah satu langkah awal. Usaha berterusan diperlukan untuk menangani isu pokok yang menjadi punca kepada krisis ini. Genosid terancang terhadap rakyat Palestin telah berlangsung selama puluhan tahun dan boleh dikatakan bermula sejak tragedi Nakba pada tahun 1948. 

Serangan yang berlaku beberapa bulan lepas adalah sebahagian daripada strategi terancang Israel untuk menafikan hak rakyat Palestin kembali ke tanah air mereka, mengusir mereka dari wilayah-wilayah asal dan mengekalkan dominasi eksklusif rejim Zionis dari Sungai Jordan hingga ke Laut Mediterranean.

Strategi ini dilaksanakan melalui pengusiran paksa, penindasan kejam dan pemusnahan terancang yang bertujuan menghapuskan kedaulatan Palestin secara berstruktur.

Oleh itu, gencatan senjata ini perlu disusuli langkah-langkah lebih konkrit, termasuk tekanan antarabangsa untuk menghentikan kezaliman Israel bagi memastikan keadilan bagi rakyat Palestin, dan menjamin hak asasi mereka diakui sepenuhnya. 

Tanpa usaha ini, kitaran keganasan dan penderitaan rakyat Palestin hanya akan berulang, meskipun gencatan senjata sementara berjaya dicapai. Penting untuk masyarakat antarabangsa mengiktiraf bahawa gencatan senjata ini adalah titik permulaan yang signifikan, namun ia tidak boleh menjadi titik akhir. 

Pemantauan di peringkat global dan akauntabiliti diperlukan dalam memastikan terma gencatan senjata dilaksanakan dengan berkesan, khususnya terhadap Israel yang sering kali mencabuli perjanjian tanpa sebarang akibat. 

Tanpa mekanisme pengawasan yang ketat dan langkah pencegahan yang berkesan, Israel berisiko untuk terus bertindak sewenang-wenangnya, memulakan dan memprovokasi serangan dan membahayakan nyawa penduduk Palestin, sebagaimana yang telah banyak berlaku sebelum ini. 

Keadaan ini benar-benar mencemarkan kredibiliti perjanjian gencatan senjata dan merosakkan usaha global untuk mencapai keamanan yang berkekalan. Laporan insiden terkini jelas menunjukkan bahawa askar Israel telah melanggar terma-terma perjanjian tersebut dengan serangan yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat Palestin. 

Pelanggaran ini bukan sahaja mengkhianati perjanjian untuk memelihara keselamatan rakyat Palestin, malah turut menegaskan keperluan mendesak bagi tindakan tegas dan berkesan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, sebarang pelanggaran mesti dikenakan tindakan keras tanpa kompromi. Ia bukan sekadar soal memastikan akauntabiliti, tetapi juga memberi tekanan kepada Israel dan mana-mana pihak lain yang terlibat agar mereka benar-benar komited mematuhi perjanjian.

Langkah ini penting untuk menjamin keadilan kepada rakyat Palestin, melindungi hak mereka yang telah lama dinafikan dan memastikan usaha keamanan yang sedang berlangsung tidak hanya menjadi sekadar simbol tanpa makna. Keamanan sebenar hanya boleh dicapai jika setiap pihak dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.

Jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel di Gaza, termasuk pembunuhan lebih 46,000 (47,000?) nyawa tidak berdosa mesti diadili di peringkat antarabangsa dengan segera dan tanpa kompromi.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang sepatutnya menjadi benteng keadilan, gagal menunjukkan ketegasan dalam menangani jenayah terhadap rakyat Palestin. 

Kelemahan ini bukan sahaja mencerminkan kegagalan sistem perundangan antarabangsa, tetapi juga satu penghinaan kepada prinsip keadilan sejagat dan hak asasi manusia. Sikap tidak tegas dan kelemahan politik global hanya memperkukuh kedudukan Israel, memberikan gambaran seolah-olah ia kebal daripada tindakan undang-undang. Hal seperti ini tidak boleh diterima sama sekali.

Kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Jerman mesti menghentikan sokongan tanpa syarat, terutamanya dalam bentuk pembekalan senjata kepada Israel. Sokongan ini secara langsung mendorong Israel untuk meneruskan jenayah perang dan penindasan terhadap rakyat Palestin tanpa halangan. 

Penghentian bekalan senjata merupakan langkah penting untuk menghantar mesej tegas kepada dunia bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan lagi bertoleransi terhadap keganasan yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Selain itu, advokasi global untuk Palestin memerlukan tindakan kolektif yang lebih tegas dan berterusan, termasuk konsisten memboikot, memulaukan dan mengadakan sekatan terhadap entiti yang menyokong penjajahan haram Israel sehingga keadilan tertegak.

Terbukti, tindakan ini memberikan impak yang berkesan untuk menekan sumber sokongan ekonomi, politik dan logistik kepada rejim Israel dan merupakan strategi penting untuk melemahkan kekuatan rejim tersebut.

Keberanian bertindak adalah kunci kepada penyelesaian kezaliman terhadap Palestin mahupun mana-mana kezaliman di dunia. Masyarakat antarabangsa perlu komited untuk menghentikan sebarang bentuk penindasan. 

Setiap individu dan negara bertanggungjawab menyuarakan isu ketidakadilan dan menyokong perjuangan untuk kebebasan dan hak. Tindakan kita hari ini menentukan masa depan generasi akan datang. Jangan biarkan kezaliman dinormalisasikan. Dunia berada di tangan kita dan kitalah yang bertanggungjawab menghentikan segala ketidakadilan yang berlaku.

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia