كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۛ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Setiap jiwa pasti akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan ganjaran kamu.” (Surah Ali ‘Imran: 185)
IKRAM Pulau Pinang dengan penuh kehibaan merakamkan ucapan takziah atas pemergian ke rahmatullah seorang murabbi ummah yang amat dikasihi, al-Fadil Ustaz Soid Mohd Amin, pada usia 82 tahun.
Pada Ahad, 21 Jun 2026, ketika menghadiri Mukhayyam Ikhwah IKRAM Pulau Pinang (MUKRIM ’26) di Sungai Rui, Perak, Almarhum tidak sedarkan diri lalu dikejarkan ke Hospital Baling. Beliau disahkan mengalami strok sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.40 tengah hari Isnin, 22 Jun.
Pemergiannya bukan sekadar kehilangan seorang guru, tetapi kehilangan sebutir permata dakwah yang telah menyerahkan seluruh hayatnya untuk menyampaikan risalah Islam, membina jiwa manusia dan mendidik generasi ummah.
Apabila berita pemergiannya tersebar, ramai yang hadir menunaikan solat jenazah di Masjid Jamek Ar-Rahmani, Kampung Banggol, Kepala Batas sehinggakan jumlahnya seperti solat Jumaat atau solat raya. Mereka hadir untuk memberikan penghormatan terakhir, bukan kerana nama atau kedudukan, tetapi kerana jasa, akhlak dan sentuhan tarbiah yang pernah mereka kecapi daripada Almarhum.
Penghormatan terakhir ini turut dihadiri tetamu kehormat, antaranya Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato’ Dr Mohammad Abdul Hamid dan Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Dato’ Dr Sukki Othman, serta Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Dato’ Wira Mahfuz Omar.
Sebutir permata ilmu dan khidmat ummah
Selepas tamat persekolahan rendah, Almarhum melanjutkan pengajian di Sekolah Pondok Khairiah Islamiah, Pokok Sena, menimba ilmu dalam tradisi pengajian pondok yang menjadi akar pembentukan keilmuannya.
Dalam masa yang sama, beliau sempat menduduki peperiksaan SPM di SMK St. Mark sebagai calon menumpang, mengikuti kelas pada waktu malam — satu gambaran awal tentang kesungguhannya menggabungkan ilmu agama dan akademik.
Pada usia 27 tahun, beliau meneruskan pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir, dalam jurusan Syariah Islamiah. Setelah memperoleh ijazah sarjana muda, beliau pulang berkhidmat di Kolej Islam Klang.
Tidak berhenti di situ, beliau menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang Bahasa Arab di Universiti Khartoum, Sudan, dengan tesis bertajuk “Bagaimana Mengajar Bahasa Arab kepada Bukan Penutur Arab” — satu bidang yang kelak menjadi kepakaran besar dalam hidupnya.
Setelah tamat pengajian sarjana, beliau kembali berkhidmat di Pulau Pinang, di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad. Setelah bersara, beliau meneruskan khidmatnya sebagai guru kontrak di Sekolah Agama Madrasah Khairiah Islamiah, Pokok Sena.
Pada zamannya, pencapaian ilmu setinggi itu bukan sesuatu yang biasa. Ia menggambarkan kesungguhan, kecerdasan dan kecintaan beliau yang mendalam terhadap ilmu, khususnya bahasa al-Quran.
Beliau pernah diiktiraf sebagai Guru Pakar Bahasa Arab Kementerian Pelajaran Malaysia, satu pengiktirafan terhadap keilmuan dan kecintaannya terhadap bahasa al-Quran. Sumbangannya memartabatkan syiar Islam turut diraikan apabila beliau dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul Negeri Pulau Pinang 1434 H pada tahun 2013.
Bagi masyarakat setempat, kuliah beliau khususnya dalam pengajian kitab Jawahir al-Bukhari di Masjid at-Taqwa, Taman Bertam Indah menjadi taman ilmu yang meninggalkan kesan mendalam.
Beliau turut menggalas pelbagai amanah sebagai mantan pemimpin gerakan Islam, Ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, Ahli Majlis Syura Pulau Pinang, Ahli Lembaga Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang, dan pelbagai tanggungjawab lain dalam masyarakat.

Murabbi yang membina jiwa dan generasi
Bagi anak-anak didiknya, Almarhum bukan sekadar guru bahasa Arab yang hebat, tetapi insan yang memperkenalkan mereka kepada uslub dakwah, manhaj tarbiah dan fikrah Islam yang syumul. Rumahnya pernah menjadi madrasah tarbawiyah, tempat anak-anak muda mengikuti daurah, katibah dan tamrin, sambil dibimbing untuk memahami karya-karya besar gerakan Islam seperti Ma’alim fi at-Tariq, Nazarat fi Risalah at-Ta’lim dan al-Muntalaq.
Beliau tidak sekadar mengajar ilmu, tetapi beliau membina jiwa. Beliau tidak sekadar menyampaikan kuliah, bahkan beliau melahirkan manusia yang mahu hidup untuk Islam.
Yang paling melekat dalam ingatan ramai ialah akhlaknya: tawaduk, menjaga tutur kata, mudah didekati dan tidak pernah lokek menghulurkan bantuan. Beliau mendidik bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dengan contoh hidup yang berjalan di hadapan mata.
Lelaki yang menjaga amanah keluarga
Di sebalik ketegasan Almarhum sebagai seorang murabbi, terdapat sisi kelembutan yang sangat indah dalam hidupnya. Menurut perkongsian Ustaz Wafee (anakanda Almarhum), antara sifat besar Almarhum ialah beliau sangat menjaga dua wanita yang utama dalam hidupnya: isterinya dan ibunya.
Terhadap isterinya, beliau sangat menjaga, menyantuni dan memuliakan. Dalam ketegasannya mendidik anak-anak, tetap terserlah kasih dan tanggungjawab seorang suami yang memahami nilai amanah rumah tangga.
Begitu juga terhadap ibunya. Setelah pulang ke Malaysia dengan kelulusan sarjana, satu pencapaian yang sangat tinggi dan jarang dimiliki pada zamannya, ramai rakan seangkatannya memilih laluan sebagai pensyarah, ilmuwan dan tokoh akademik di tempat lain. Namun Almarhum memilih untuk kekal di Pulau Pinang.
Pilihan itu bukan kerana beliau tidak mampu pergi lebih jauh, tetapi kerana beliau memilih untuk berbakti. Sebagai anak keempat daripada enam beradik, beliau memahami pengorbanan abang-abangnya yang telah memberi ruang kepadanya menuntut ilmu hingga ke peringkat tinggi. Maka apabila pulang, beliau meletakkan khidmat kepada ibu, keluarga dan masyarakat setempat sebagai keutamaan.
Di situlah terserlah keindahan peribadinya. Ilmunya tinggi, tetapi hatinya tetap tunduk kepada bakti. Peluangnya luas, tetapi langkahnya kembali kepada keluarga. Beliau bukan sahaja mengajar tentang dakwah dan tarbiah, tetapi memperlihatkan bahawa seorang pendakwah sejati bermula dengan menunaikan amanah terhadap insan-insan terdekat dalam hidupnya.
Melepaskan harta demi pendidikan ummah
Pengorbanan Almarhum tidak terhenti pada tenaga, ilmu dan masa. Ia turut menjangkau kepada harta yang paling bernilai. Beliau pernah menjual sebidang tanah miliknya bernilai sekitar RM100,000, lalu menyerahkan hasilnya kepada Pusat Pendidikan Al-Ikram, Tasek Gelugor. Bagi Almarhum, harta bukan untuk ditimbun, tetapi untuk dijariahkan ke jalan yang kekal manfaatnya — pendidikan generasi ummah.
Itulah hakikat seorang murabbi yang memahami bahawa pelaburan paling besar bukan pada dunia, tetapi pada akhirat. Tanah yang dilepaskannya menjelma menjadi medan ilmu yang akan terus mengalirkan pahala selagi ada anak didik yang menuntut dan beramal dengannya — sebuah sedekah jariah yang tidak akan terputus walaupun setelah beliau kembali ke rahmatullah.
Tegas mendidik, lembut hatinya
Walaupun Almarhum dikenali sebagai seorang ayah yang tegas dalam mendidik anak-anak, ketegasan itu lahir daripada kasih sayang dan rasa tanggungjawab yang besar. Di sebalik ketegasan tersebut, beliau sebenarnya seorang yang sangat lembut hati.
Malah, menurut perkongsian sahabat yang dekat, Almarhum pernah mengalirkan air mata apabila mendengar tazkirah yang disampaikan oleh anak buahnya sendiri. Ia menggambarkan betapa hatinya sangat hidup dengan nasihat, sangat mudah tersentuh dengan peringatan agama, dan sangat dekat dengan suasana iman.
Itulah keindahan peribadi seorang murabbi. Tegasnya bukan keras. Diamnya bukan jauh. Air matanya menjadi saksi bahawa di sebalik tubuh seorang pendidik yang kuat, tersimpan hati yang sangat tunduk kepada Allah.
Lidah yang basah menyebut “syurga”
Selepas diuji dengan strok kali pertama pada tahun 2022, Almarhum menghadapi kesukaran untuk bertutur seperti biasa. Adakalanya susunan kata tidak lagi lancar dan percakapan menjadi terbatas. Namun dalam keterbatasan itu, ada satu ungkapan yang sering muncul daripada lisannya – “syurga.”
Perkataan itu seakan tidak lekang daripada mulutnya. Dalam keadaan tubuh yang lemah, bicara yang terbatas dan ingatan yang tidak lagi seperti dahulu, lafaz “syurga” tetap hadir. Ia meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada mereka yang mendengar dan menziarahinya.
Seolah-olah Allah sedang memperlihatkan kepada kita, isi hati seorang hamba yang sepanjang hidupnya mendidik manusia menuju akhirat. Apabila banyak kata sudah tidak mampu disusun, yang tinggal di hujung lisan ialah harapan paling besar seorang mukmin: syurga Allah.
Itulah ibrah yang sangat halus daripada kehidupan Almarhum. Lidah yang lama digunakan untuk mengajar, menasihati dan menyeru manusia kepada agama, akhirnya tetap basah dengan cita-cita tertinggi seorang hamba iaitu kembali kepada Allah dalam reda-Nya, dan ditempatkan di syurga-Nya.

Komitmen yang tidak pernah padam
Sesiapa yang mengenali Almarhum pasti bersaksi tentang disiplin dan komitmennya yang luar biasa terhadap program tarbiah dan amal jama’i.
Dalam banyak keadaan, beliau hampir tidak pernah ponteng daripada program yang telah ditetapkan, kecuali apabila benar-benar uzur. Kehadirannya bukan sekadar memenuhi jadual, tetapi lahir daripada kefahaman yang mendalam bahawa tarbiah adalah nadi perjuangan.
Pada usia senjanya, faktor kesihatan dan keuzuran menyebabkan beliau tidak lagi digalas tanggungjawab menyampaikan pengisian seperti dahulu. Namun keterbatasan itu sama sekali tidak mengendurkan azamnya untuk hadir.
Bagi Almarhum, kehadirannya sendiri sudah merupakan satu bentuk sumbangan dalam tarbiah, kehadiran seorang murabbi yang menjadi saksi hidup, penyuntik semangat dan teladan istiqamah kepada generasi yang lebih muda.
Pernah suatu ketika, apabila ditanya tentang kesihatannya dan diajak untuk terus bersama dalam program, Almarhum menjawab dengan penuh makna. Ketika sahabat menyapanya, “Alhamdulillah, Ustaz nampak sihat,” beliau membalas dengan ungkapan yang sangat menyentuh hati:
“Alhamdulillah, ana nak gunakan kesihatan ini untuk dakwah, untuk agama.”
Pada saat itu, mungkin kita belum benar-benar memahami kedalaman kata-kata tersebut. Namun setelah pemergiannya, barulah terasa bahawa itulah prinsip hidup seorang murabbi sejati.
Baginya, walaupun lidah sudah tidak lagi lancar menyampaikan kuliah dan tubuh tidak lagi mampu memikul tugas seperti dahulu, nikmat sihat yang masih berbaki tetap mahu diisi dengan kehadiran di medan dakwah. Hadir baginya adalah ibadah. Hadir adalah sumbangan. Hadir adalah cara seorang murabbi terus memberi, walau ketika usia dan kudrat sudah menuntut untuk berehat.
Selagi masih ada kudrat, selagi masih mampu melangkah, selagi masih diberi nafas oleh Allah, beliau mahu berada di medan tarbiah. Almarhum mengajar kita bahawa usia bukan penghalang untuk hadir ke program tarbiah yang telah ditetapkan oleh jamaah. Tubuh boleh semakin lemah, suara boleh semakin perlahan, langkah boleh semakin terbatas, tetapi jiwa yang telah terikat dengan dakwah tidak mudah berhenti.
Mukhayyam terakhir seorang murabbi
Pada malam Jumaat, 19 Jun 2026, ketika sahabat tiba untuk menjemputnya ke MUKRIM ’26, Almarhum sudah menunggu di luar rumah bersama beg pakaiannya, menyambut dengan senyuman dan salam yang mesra. Itulah akhlak seorang murabbi: tidak merungut, tidak menyusahkan, sentiasa memudahkan.
MUKRIM kali ini menghimpunkan pelbagai lapisan umur, termasuk peserta semuda 18 tahun. Pada usia hampir 82 tahun, Almarhum tetap hadir sebagai saksi hidup bahawa tarbiah bukan milik usia muda semata-mata.
Dalam aktiviti Treasure Hunt, beliau tetap menyumbang idea memecahkan petunjuk. Ketika diberi tugasan menghafaz lima ayat daripada Surah Taha, walaupun hafazannya terkesan akibat strok, beliau tetap mencuba dan mengulang-ulang. Di situ terserlah satu ibrah besar: Allah memberi ganjaran atas usaha, bukan semata-mata atas hasil.
Sebaik tiba di tapak perkhemahan, beliau segera mengeluarkan duit untuk membayar sumbangan tetap dan yurannya. Hingga ke hujung usia, fikirannya masih pada tanggungjawab, amanah dan infak perjuangan.
MUKRIM ’26 akhirnya menjadi mukhayyam terakhir seorang murabbi. Satu penutup kehidupan yang meninggalkan ibrah besar kepada kita semua: bahawa jalan dakwah ini bukan hanya dilalui ketika muda dan kuat, tetapi terus digagahi oleh mereka yang benar-benar mencintainya, walaupun tubuh sudah lemah dan kudrat semakin terbatas.

Ibrah akhir di Kabin 4
Pada pagi Ahad, 21 Jun 2026, ketika suasana MUKRIM ’26 masih hening, Almarhum bangun awal sebagaimana kebiasaannya seorang murabbi yang sangat menjaga disiplin diri dan adab berjemaah. Namun tidak lama selepas itu, kesihatan beliau tiba-tiba merosot.
Sahabat-sahabat yang berada berhampiran segera mendapatkan bantuan. Doktor turut hadir memberikan rawatan awal sebelum Almarhum dikejarkan ke Hospital Baling. Namun ketentuan Allah mengatasi segala usaha manusia. Beliau kemudiannya disahkan mengalami strok sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.40 tengah hari 22 Jun 2026.
Dalam suasana penuh kehibaan, pemergian Almarhum terasa amat mendalam, seolah-olah Allah memilih medan tarbiah sebagai persinggahan terakhirnya; tempat beliau hadir bukan kerana dipaksa, bukan kerana mahu diraikan, tetapi kerana cinta yang tidak pernah padam kepada dakwah dan pembinaan ummah.
Ia sebagaimana yang dirakamkan oleh Dr. Faizal, Timbalan YDP IKRAM Pulau Pinang:
“Beliau masih kuat hadir program-program tarbiah, menjadi saksi betapa tekun dan teguhnya mereka di usia senja, bersama-sama memberi nafas perjuangan kepada anak-anak muda di Pulau Pinang.”
Pergilah wahai murabbi
Pemergian Almarhum mengimbau firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 23:
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۛ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۛ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
“Dalam kalangan orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada Allah; maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya, dan antara mereka ada yang menunggu; dan mereka pula tidak mengubah janjinya sedikit pun.”
Almarhum adalah antara mereka yang telah menyempurnakan janjinya kepada Allah — setia di medan dakwah hingga ke hembusan terakhir, tanpa mengubah pendirian dan tanpa berpaling daripada jalan perjuangan.
Seorang murabbi mungkin pergi, tetapi tarbiahnya tidak pernah mati. Ilmunya terus mengalir. Nasihatnya terus bergema. Benih dakwah yang ditanamnya terus hidup dalam jiwa anak-anak muridnya yang kini menjadi pendidik, profesional, pendakwah dan pemimpin masyarakat.
Kini tibalah giliran kami — mereka yang masih “menunggu giliran” — untuk menyambung mata rantai perjuangan yang engkau tinggalkan.
Pergilah wahai murabbi. Engkau telah mengajar kami bahawa hidup ini bukan untuk diri sendiri semata-mata. Engkau telah menunjukkan bahawa ilmu mesti melahirkan amal, tarbiah mesti melahirkan pengorbanan, dan kesihatan mesti digunakan untuk dakwah sebelum ia ditarik kembali oleh Allah.
Semoga Allah SWT menerima segala amal soleh Almarhum, mengampunkan segala khilafnya, melapangkan kuburnya, menerangi alam barzakhnya serta menempatkannya bersama para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan solihin.
إِنَّا لِلّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
“Sesungguhnya kita milik Allah, dan kepada-Nya kita kembali.”
Al-Fatihah buat Almarhum Tuan Guru al-Fadil Ustaz Soid Mohd Amin.
Prof. Dr Md Roslan Hashim
Yang Dipertua
IKRAM Pulau Pinang




