Iron Man ada sut besi. Thor ada tukul sakti. Spiderman ada jaring yang membawanya terbang dari satu bangunan ke bangunan lain. Tetapi dalam kehidupan sebenar, hero jarang kelihatan demikian.
Hero sebenar mungkin seorang ayah yang pulang lewat malam dengan tubuh letih, namun masih duduk mendengar cerita anaknya. Hero sebenar mungkin seorang suami yang sedang belajar menjadi lebih sabar, lebih lembut dan lebih memahami.
Hero sebenar mungkin seorang anak lelaki yang tidak pernah lupa menelefon ibu bapanya, walaupun hidup sendiri sedang dihimpit seribu tekanan.
Sempena Hari Bapa yang disambut pada Ahad ketiga bulan Jun, masyarakat kembali memberi perhatian kepada insan bernama ayah. Ada yang memuat naik gambar keluarga, ada yang menulis ucapan indah, ada juga yang sekadar mengirim mesej ringkas, “Terima kasih ayah.”
Tema Hari Bapa, “Sehebat KASIH Bapa” membawa satu mesej besar bahawa kehebatan bapa bukan hanya terletak pada wang yang dibawa pulang, tetapi pada kasih yang hadir, masa yang diberi, nilai yang ditanam dan tanggungjawab yang dipikul tanpa banyak bicara.
Namun di sebalik ucapan indah itu, satu persoalan besar perlu kita renung. Jika kita mahukan lebih ramai ayah yang hebat, adakah kita benar-benar membina lelaki yang bakal menjadi ayah itu?
Agenda pembangunan lelaki
Selepas hampir 70 tahun Malaysia merdeka, agenda pembangunan lelaki mula mendapat perhatian lebih serius. Ada yang mungkin bertanya, mengapa baru sekarang? Jawapannya mudah tetapi pahit.
Selama ini kita banyak bercakap tentang keluarga bahagia, anak-anak cemerlang, rumah tangga harmoni dan masyarakat sejahtera. Tetapi kita jarang bertanya satu soalan asas iaitu, bagaimana lelaki yang bakal menjadi suami, ayah dan pemimpin keluarga itu dibentuk?
Kita mahu lelaki menjadi pelindung, pencari nafkah, pendidik, pemimpin dan penyelesai masalah. Tetapi siapa yang mengajar mereka mengurus emosi? Siapa yang membimbing mereka memahami tanggungjawab? Siapa yang menyediakan ruang untuk mereka bercakap tentang tekanan, kegagalan, keresahan dan ketakutan?
Di sinilah paradoks besar masyarakat. Kita menuntut lelaki menjadi kuat, tetapi tidak membina kekuatan jiwa mereka. Kita mahu lelaki matang, tetapi membiarkan mereka membesar dengan definisi maskuliniti yang kabur.
Kita mahu mereka menjadi ayah penyayang, tetapi ramai anak lelaki sejak kecil diajar bahawa menangis itu lemah, meluah itu memalukan dan meminta bantuan itu tanda kalah.
Mendominasi banyak ruang?
Cabaran lelaki hari ini jauh berbeza daripada generasi terdahulu. Kos sara hidup meningkat. Tekanan kerja mencengkam. Tuntutan keluarga bertambah. Dunia digital pula mencipta ukuran kejayaan yang sering menipu.
Lelaki berjaya sering digambarkan sebagai lelaki yang kaya, berpengaruh, terkenal, gagah dan sentiasa menang, sedangkan masyarakat sebenarnya lebih memerlukan lelaki yang amanah, berakhlak, bertanggungjawab dan boleh dipercayai.
Di permukaan, lelaki kelihatan mendominasi banyak ruang. Mereka ramai dalam dunia pekerjaan, kepimpinan dan ekonomi. Tetapi di sebalik wajah dominasi itu, ada krisis yang tidak boleh dipandang ringan.
Isu kesihatan mental, konflik rumah tangga, perceraian, krisis identiti dan kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki menunjukkan bahawa tidak semua lelaki sedang baik-baik sahaja.
Maka perbincangan tentang lelaki bukanlah usaha memanjakan lelaki. Ia bukan juga percubaan menafikan perjuangan wanita.
Sebaliknya, ia adalah usaha menyeimbangkan semula pembangunan manusia. Negara tidak boleh kuat jika separuh daripada masyarakatnya dibiarkan membesar tanpa bimbingan nilai, emosi dan tanggungjawab yang jelas.
Watak tidak tumbuh tanpa suasana
Di sinilah konsep “Lelaki Budiman” menjadi penting. Lelaki Budiman bukan lelaki sempurna. Dia bukan manusia tanpa silap. Dia bukan lelaki yang tidak pernah jatuh. Sebaliknya, dia ialah lelaki yang berusaha menjadi lebih baik; lelaki yang bertanggungjawab, berakhlak, berintegriti dan membawa manfaat kepada orang lain.
Lelaki Budiman ialah ayah yang hadir, bukan semata-mata memberi nafkah. Dia adalah suami yang mendengar, bukan hanya memerintah. Dia adalah anak yang mengenang jasa ibu bapa, bukan hanya pulang ketika susah. Dia ialah pemimpin yang menjaga amanah, bukan mengejar kuasa semata-mata.
Begitu juga dengan konsep “Lelaki Qawwam”. Ia sering disalahfahami seolah-olah qawwam bermaksud dominasi lelaki terhadap wanita. Hakikatnya, qawwam bukan lesen untuk menguasai, tetapi amanah untuk memimpin dengan adil, melindungi dengan kasih dan bertanggungjawab dengan ilmu.
Lelaki Qawwam ialah lelaki yang tahu siapa dirinya, jelas hala tuju hidupnya, berdisiplin dan bersedia memikul tanggungjawab terhadap keluarga serta masyarakat.
Oleh sebab itulah pembangunan lelaki tidak boleh dibiarkan berlaku secara rawak. Kita tidak boleh hanya berharap seorang budak lelaki akan membesar menjadi lelaki baik dengan sendirinya. Watak tidak tumbuh tanpa suasana. Nilai tidak terbina tanpa bimbingan. Tanggungjawab tidak lahir hanya melalui usia.
Seorang lelaki memerlukan contoh. Dirinya memerlukan mentor, komuniti yang sihat dan tokoh yang boleh dicontohi. Beliau memerlukan ruang untuk bertanya tanpa diperlekeh, belajar tanpa dihukum serta berubah tanpa dimalukan.
Pengalaman dalam program seperti Generasi Qawwam menunjukkan bahawa ramai anak muda sebenarnya mahu menjadi lelaki yang lebih baik.
Mereka mahu memahami tanggungjawab. Mereka mahu bercakap tentang cabaran menjadi lelaki pada zaman ini. Mereka mahu dibimbing, bukan dihukum. Mereka mahu didengari, bukan terus dilabel.
Lelaki yang bermanfaat
Inilah masa terbaik untuk negara bercakap tentang lelaki secara lebih matang, bukan dengan nada menyalahkan dan bukan dengan nada menghukum, tetapi dengan kesedaran bahawa membina lelaki bermaksud membina keluarga. Membina keluarga bermaksud membina masyarakat dan membina masyarakat akhirnya bermaksud membina negara.
Selepas hampir 70 tahun merdeka, mungkin kita baru sedar bahawa kemerdekaan negara tidak cukup jika manusia di dalamnya masih terkurung dalam krisis nilai, emosi dan identiti. Lelaki tidak hanya perlu diajar mencari rezeki.
Mereka perlu dibimbing mencari makna. Lelaki tidak hanya perlu diajar menjadi kuat. Mereka perlu dibimbing menjadi benar. Lelaki tidak hanya perlu diajar memimpin. Mereka perlu dibentuk agar layak dipercayai.
Akhirnya, yang kita mahu lahirkan bukan sekadar lelaki yang berjaya dalam kerjaya, tetapi lelaki yang menenangkan keluarga, memuliakan wanita, menyayangi anak-anak, menghormati ibu bapa dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Sesungguhnya di sebalik seorang ayah yang hebat, biasanya ada seorang lelaki yang pernah dibentuk dengan kasih sayang, nilai dan tanggungjawab.
Dan barangkali benar, perbincangan ini sepatutnya sudah lama dimulakan.
Mohd Iqbal Hakim Mohd Adnan
Ketua Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




