Membentuk Akhlak Mulia Melalui Mujahadah dan Riadah

Artikel ini akan meneruskan perbincangan pembentukan akhlak mengikut saranan Imam al-Ghazali. Sebelum ini telah dibincangkan empat kaedah iaitu penjernihan batin, meletakkan diri dalam lingkungan persekitaran yang soleh, suri teladan dan tekanan sosial masyarakat.

Topik kali ini membincangkan kaedah yang kelima iaitu melaksanakan al-mujahadah (mujahadah) dan ar-riyadah (riadah) dalam kehidupan.

Maksud mujahadah dan riadah

Apakah mujahadah? Mujahadah ialah usaha bersungguh-sungguh memerangi hawa nafsu, sifat keji dan keinginan melampau yang bertujuan menyucikan jiwa untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

Dalam erti kata lain, mujahadah merupakan bentuk melawan nafsu amarah demi membentuk jiwa yang murni dan usaha bersungguh-sungguh ini dijelaskan dalam al-Quran melalui Surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: 

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya…”

Bagaimana pula dengan riadah? Riadah atau latihan rohani merupakan suatu proses melatih jiwa secara berperingkat daripada perkara yang mudah kepada perkara yang lebih sukar dengan tujuan mencapai kebaikan.

Melalui proses ini, perkara-perkara yang pada mulanya dirasakan berat, lambat laun akan menjadi lebih mudah dan ringan. Riadah merupakan satu usaha yang penuh cabaran untuk melatih jiwa dan memberi impak positif untuk jangka panjang. 

Melaluinya, jiwa membuang sifat tercela dan berusaha mengamalkan sifat terpuji sehingga menjadi kebiasaan. 

Riadah yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh mampu menghapuskan akhlak buruk dan membentuk akhlak baik. Secara ringkasnya, riadah ialah proses melatih diri secara beransur-ansur menuju kebaikan untuk mendekatkan diri pada Allah.

Proses ini bersamaan dengan konsep at-tahalli iaitu menghiasi diri dengan sifat mahmudah selepas membuang sifat mazmumah dalam diri. Menurut al-Ghazali, usaha riadah ialah memantapkan iman, memperbanyak amalan ibadah dan mengamalkan sifat terpuji. Apakah contoh lain untuk riadah? 

Riadah juga boleh dilakukan dengan melatih rohani, menyucikan jiwa dengan melawan hawa nafsu, menghiasi jiwa dengan zikir, memperbanyak ibadah, amal soleh dan melakukan akhlak mulia.

Amalan riadah termasuk mengurangkan makan dan tidur untuk bangun menunaikan solat pada waktu malam, menjauhi percakapan sia-sia dan mengelakkan percampuran dengan mereka yang lagha untuk mengelak dosa dan banyak mendekatkan diri pada Allah melalui ibadah umum dan ibadah khusus.

Bagaimana mujahadah dan riadah dari sudut pembinaan akhlak? 

Mujahadah dan riadah yang dilakukan dengan konsisten, disiplin dan bersungguh-sungguh oleh individu akan mendatangkan cahaya dalam hati mereka. Melalui kesungguhan tersebut, mereka akan merasai seronok melakukan perkara yang baik yang secara tidak langsung membentuk sifat terpuji seperti ikhlas, tenang dan sabar dalam setiap tindakan.

Apabila seseorang itu melakukan akhlak yang baik, mereka akan merasai nikmat terhadap akhlak tersebut. Contohnya individu A suka memberi sedekah, maka ia akan mencapai tahap suka dan berasa gembira memberi sedekah kerana melalui pemberian sedekahnya, ia yakin dengan ganjaran yang akan diterima baik di dunia mahupun di akhirat.

Melalui pemberian sedekah, dia menjadi lebih bersyukur dan menghargai makna sebuah kehidupan.  

Adakah mujahadah dan riadah ini sukar untuk dilaksanakan? Bagi menjawab persoalan ini, cuba kita renungkan, sedangkan haiwan yang liar dan ganas seperti kuda, anjing pemburu dan gajah (sekadar beberapa contoh) dapat dijinakkan, apatah lagi manusia yang mempunyai akal dan fitrah semula jadinya memerlukan agama sebagai petunjuk.

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mendapatkan akhlak yang baik, antaranya menerusi kegigihan usaha dengan cara melakukan mujahadah dan riadah.

Realitinya, golongan ini perlu memaksa diri dan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan kerja-kerja yang dituntut oleh akhlak yang mahu dibina atau dibentuk dalam diri seseorang. Cara ini disokong oleh al-Ghazali dalam Ihya’ yang bermaksud:

Adapun orang yang mahu dirinya menjadi seorang yang berakhlak pemurah, maka caranya ialah bahawa dia memaksa dirinya melakukan perbuatan pemurah, iaitu perbuatan membelanjakan harta (sedekah). 

“Dia perlu sentiasa terus menggesa dirinya dan bersungguh-sungguh, tekun melakukannya secara paksaan dan bermujahadah dengan dirinya dalam melakukan perkara-perkara tersebut (iaitu perbuatan membelanjakan harta) sehingga perkara tersebut menjadi tabiat dirinya serta mudah untuk dilakukan.

“Maka dengan itu, jadilah dia seorang yang pemurah. Demikian juga seorang yang mahu menjadikan dirinya seorang yang bertawaduk, sedangkan dia sentiasa dikuasai oleh sifat takbur. Maka caranya ialah dengan tekun melakukan perbuatan golongan orang tawaduk dalam satu tempoh yang agak panjang. 

“Dalam tempoh tersebut dia mestilah memaksa dan bermujahadah dengan dirinya sehingga sifat tawaduk itu menjadi tabiat dan akhlak kepadanya lalu menjadi mudah untuk dilakukan. Semua akhlak yang terpuji dari segi syarak boleh dicapai menerusi cara ini. Matlamatnya adalah untuk menjadikan perbuatan yang muncul daripada seseorang itu sebagai satu perkara yang seronok dan menjadi kelaziman.”

Mujahadah dan riadah akan meluruskan akhlak. Jiwanya juga akan terhindar daripada sifat tercela, seterusnya terhasillah sifat reda atas segala ketentuan yang datang daripada Allah. Itulah yang dinamakan kemuncak akhlak yang baik.

Sesiapa yang tidak dapat menghindari dirinya daripada sifat tercela maka ia tidak akan dapat mengubah dirinya. Individu Muslim sepatutnya sentiasa menyibukkan dirinya dengan riadah dan mujahadah sehinggalah dia berjaya sampai ke tahap akhlak yang baik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Orang Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai daripada orang Mukmin yang lemah. Namun kedua-duanya bersama-sama memperoleh kebaikan. Berlumba-lumbalah untuk memperoleh apa saja yang memberikan manfaat padamu dan mohonlah pertolongan kepada Allah serta janganlah berasa lemah. Jikalau engkau terkena suatu musibah, maka janganlah engkau berkata: ‘Andaikata saya mengerjakan begini dan begitu.’ Tetapi katakanlah: ‘Inilah takdir Allah dan apa sahaja yang dikehendaki oleh-Nya tentu Dia melaksanakannya, sebab sesungguhnya ucapan ‘andaikata’ itu membuka pintu godaan syaitan.” (Sahih Muslim, no hadis 4816)

Untuk mencapai satu matlamat, manusia mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh. Hal ini bersesuaian dengan pepatah من جد وجد yang bermaksud siapa yang berusaha akan berjaya. Tanpa usaha, doa dan tawakal, cita-cita yang diinginkan akan menjadi angan-angan.

Pelaksanaan al-mujahadah  dan ar-riyadah

Pelaksanaan al-mujahadah dan ar-riyadah adalah tanggungjawab diri sendiri kerana seseorang itu perlu ada kesedaran untuk berubah menjadi lebih baik.

Walaupun mempunyai suri teladan, namun pada akhirnya akhlak bergantung kepada kemahuan diri sendiri untuk berubah. Setiap insan perlu mempunyai keazaman yang kuat untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan dalam dirinya melalui al-mujahadah dan ar-riyadah.

Selain diri sendiri, terdapat pihak lain yang turut bertanggungjawab dalam memastikan al-mujahadah dan ar-riyadah dilaksanakan dengan berkesan. Antaranya, umat Islam secara keseluruhannya perlu menjadikan al-mujahadah dan ar-riyadah sebahagian daripada amalan agama mereka kerana kedua-duanya penting dalam usaha menjadi insan yang lebih baik.

Selain itu, para ulama dan cendekiawan Islam juga memainkan peranan penting dalam memberi bimbingan dan dorongan kepada umat Islam untuk istiqamah dalam al-mujahadah dan ar-riyadah.

Di peringkat institusi pendidikan pula, para pendidik seperti guru dan pensyarah juga bertanggungjawab menerapkan nilai-nilai murni ini dalam kalangan murid serta pelajar masing-masing.

Akhirnya, ibu bapa merupakan individu utama yang perlu memastikan anak-anak mereka dibimbing untuk melaksanakan al-mujahadah dan ar-riyadah bagi membentuk akhlak yang mulia.

Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia