Akhlak: Kaedah Jernihkan Batin Menurut Imam al-Ghazali

Akhlak: Kaedah Jernihkan Batin Menurut Imam al-Ghazali | IKRAM

Sejarah membuktikan masalah akhlak tidak pernah lari daripada kehidupan manusia. 

Kisah pembunuhan anak Nabi Adam a.s. bernama Habil diikuti penolakan segolongan manusia terhadap Kitab Allah yang diutuskan kepada para nabi dan rasul, penyembahan berhala, menyekutukan Allah serta pelbagai lagi merupakan antara kisah masalah akhlak yang disampaikan kepada manusia agar sekalian manusia mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya.

Kini, isu-isu akhlak masih lagi berlaku yang melibatkan pelbagai usia, bangsa juga agama. Pada awal 90-an dahulu, isu akhlak ini dikategorikan kepada jenayah kolar putih dan jenayah kolar biru serta dikenali juga sebagai budaya kuning.

Kini masalah akhlak telah mencorakkan ‘kanvas’ dalam pelbagai warna, rupa serta semakin menular yang melibatkan pelbagai bentuk dan aspek, sama ada secara fizikal atau secara maya.

Sempena kelahiran junjungan Rasulullah SAW yang disambut baru-baru ini, perlu ditelusuri objektif diutuskan para nabi dan rasul ke atas muka bumi ini khususnya Nabi Muhammad SAW yang dijelaskan dalam al-Quran melalui Surah al-Qalam (68) ayat keempat:

“Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia.” 

Rahsia kekuatan sahsiah baginda terletak pada kemuliaan akhlaknya apabila berlaku pertembungan antara prinsip diri dengan maslahah umum. Baginda mempraktikkan akhlak Islam dalam segenap aspek kehidupan yang menjadi garis panduan kepada kita hari ini.

Maka, sebagai seorang Islam yang beriman dengan Allah serta mengakui baginda Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah seharusnya mencontohi akhlak mulia yang ditunjukkan oleh baginda, seterusnya berusaha mempraktikkannya dengan sentiasa bermuhasabah dan melakukan perubahan diri agar lebih baik dari semasa ke semasa.

Kepentingan akhlak

Apakah akhlak? Adakah akhlak itu terbentuk dengan sendirinya atau boleh dihasilkan melalui pendekatan tertentu? Benarkah akhlak itu tidak boleh diubah sama sekali?

Mari kita lihat, apakah jawapan kepada persoalan tersebut.  Akhlak berasal daripada perkataan Arab (خلق) yang terdiri daripada perkataan “kha, lam, qaf” yang boleh dibaca sebagai khuluq, khuluqun ataupun khuluqun yang membawa  maksud  adat, perangai, maruah, agama, tabiat, tingkah laku dan jiwa manusia.

Menurut Ibnu Miskawayh melalui kitabnya Tahdib al-Akhlaq menjelaskan, akhlak boleh dibentuk melalui latihan dan kebiasaan. Perkara ini dipersetujui oleh Plato yang turut berpandangan bahawa akhlak  boleh diubah melalui pendidikan yang berterusan melalui nasihat yang sering diulang serta bimbingan tunjuk ajar daripada seseorang.

Mengapa akhlak itu penting kepada setiap individu? Ini disebabkan akhlak merupakan cerminan diri, maruah, agama, sifat dan jati diri seseorang melalui apa yang ditonjolkan dan ditampilkan.

Daripada tindakan, perbuatan dan penampilan yang ditonjolkan, maka terbentuklah akhlak yang dinamakan mahmudah (baik)  dan akhlak mazmumah (keji).

Akhlak tersebut terbit secara semula jadi atau dimiliki hasil daripada latihan dan sebagainya yang akhirnya diterima sebagai tabiat. Atas dasar inilah akhlak begitu penting dalam kehidupan manusia kerana:

1. Akhlak menunjukkan keadaan jiwa dan hati seseorang

2. Akhlak menunjukkan aspek luaran individu iaitu tindakan pelaku yang melakukannya atas pilihan sendiri

3. Akhlak menunjukkan kebiasaan, amalan, tabiat dan praktis pelaku tersebut

Imam al-Ghazali menyatakan, akhlak ibarat sesuatu keadaan yang tertanam dalam jiwa yang keluar daripadanya bentuk perlakuan atau tindakan dengan mudah, tanpa perlu kepada proses berfikir atau membuat pertimbangan.

Sekiranya keluar daripada jiwa itu perbuatan-perbuatan yang baik dan terpuji dari sudut akal serta syarak, maka keadaan itu dinamakan sebagai akhlak hasanah, namun sekiranya keluar perbuatan-perbuatan yang buruk, maka dinamakan keadaan itu sebagai akhlak yang keji.

Al-Ghazali menyatakan lagi bahawa akhlak itu lebih merujuk kepada ‘keadaan’ dan ‘suasana’ yang terdapat dalam jiwa seseorang, bukan ditunjukkan secara lakonan secara sengaja. 

Akhlak yang dipamerkan itu merupakan perbuatan yang sudah biasa dan sebati dalam diri seseorang  sehingga apabila seseorang mahu melakukan perbuatan tersebut, dia sudah tidak perlu lagi untuk berfikir terlebih dahulu, malahan boleh dilaksanakannya atau muncul daripada dirinya secara spontan.

Kaedah pembentukan akhlak

Maka, dapat dijelaskan bahawa akhlak ini boleh dibentuk, dipupuk dan dididik. Terdapat lima kaedah pembentukan akhlak menurut al-Ghazali  iaitu:

1. Latihan amali dan amalan-amalan menjernihkan batin

2. Meletakkan diri dalam lingkungan persekitaran yang soleh

3. Qudwah hasanah

4. Tekanan sosial daripada masyarakat Islam

5. Pelaksanaan al-mujahadah dan al-riyadah

Mari kita bincangkan kaedah yang pertama dahulu iaitu melalui latihan amali dan amalan-amalan menjernihkan batin.

Latihan amali

Pendidikan akhlak melalui latihan amali dan amalan-amalan menjernihkan batin bermula dengan latihan secara berterusan serta kesungguhan. 

Walaupun pada peringkat awal perlakuan ini dilaksanakan kerana arahan atau tekanan, namun lama-kelamaan perlakuan tersebut akan menjadi kebiasaan.

Pendekatan ini diajar oleh Rasulullah SAW melalui kaedah dan cara mendidik kanak-kanak menunaikan solat seawal usia tujuh tahun dan merotan mereka ketika berumur sepuluh tahun sekiranya kanak-kanak itu enggan menunaikan solat.

Seandainya solat boleh dibiasakan sejak dari kecil, maka akhlak-akhlak lain seperti berpuasa, bersedekah, berzikir dan membaca al-Quran juga boleh diamalkan ketika kecil dan secara berterusan sehingga menjadi amalan yang lazim dan budaya hidup.

Amalan-amalan tersebut secara lambat-launnya mampu menjadi adat kebiasaan kepada kanak-kanak dan dilazimi ketika dewasa kelak.

Amalan menjernihkan batin

Bagaimana pula dengan amalan menjernihkan atau membersihkan batin? Menurut al-Ghazali, amalan menjernihkan hati umpama tubuh badan manusia. Tubuh badan menjadi sempurna, sihat kuat berdasarkan proses tumbesaran, pemeliharaan dan pengambilan makanan.

Makanan yang baik dan sihat akan membentuk badan yang cergas serta cerdas, begitulah juga sebaliknya. Begitulah dengan tubuh badan yang bermula dengan amalan pembersihan  batin serta penjernihan jiwa.

Apabila jiwa bersih, baik dan suci, maka bersihla ia. Jika jiwa itu kurang bersih dan kotor, perlu ada usaha untuk melindunginya, menyucikannya dan mencari ‘supplement’ untuk memantapkannya.

Contohnya, penyakit bodoh diubati dengan belajar, kedekut diubati dengan murah hati,  sombong diubat dengan merendahkan diri dan serakah akan terubat dengan memaksa nafsu menahan apa-apa yang diingini.

Imam Ghazali memberi beberapa panduan kepada kita bagaimana mahu memantapkan amalan penjernihan batin. Panduan ini boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat baik ibu bapa, ketua, majikan, pemimpin dan sebagainya.

Panduan al-Ghazali

Al-Ghazali menyatakan, sekiranya seorang murid masih hijau dalam soal agama (tidak tahu batas-batas syarak), maka guru harus bermula dengan didikan cara bersuci, menunaikan solat dan melakukan ibadat-ibadat yang dituntut.

Sekiranya seseorang murid sedang asyik dengan sesuatu yang diharamkan atau berkecimpung dengan perbuatan dosa, maka guru hendaklah memastikan muridnya meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk lakunya.

Sekiranya murid itu memang sudah baik, jiwanya bersih, tidak melakukan akhlak yang keji, maka guru perlu sentiasa lagi menasihati, mengingatkan murid agar menjaga tingkah lakunya agar murid itu lebih memahami mengapa dia perlu berakhlak mulia.

Tambah al-Ghazali lagi, jika guru melihat adanya harta murid yang lebih daripada kadar keperluannya, maka guru harus mengambil kelebihan harta itu daripada murid tersebut serta digunakan untuk kebaikan, kemudian mengosongkan hati si murid daripada kelebihan harta tersebut sehingga murid itu tidak menginginkan dan mengutamakan harta.

Jika guru melihat adanya kealpaan, kesombongan dan rasa riak mula menguasai hati murid dan akhlaknya, maka guru hendaklah menyuruh murid itu pergi ke pasar menjadi peminta sedekah dan mengemis di sana.

Hal ini disebabkan kerana perasaan ego, mulia, sombong, riak tidak akan hilang jika seseorang itu tidak menghinakan diri.

Seterusnya, guru hendaklah sentiasa membiasakan murid untuk berbuat demikian (menjadi pengemis dan peminta sedekah) sehingga hilang lenyaplah perasaan sombong dan mulia diri murid itu. Ini kerana sifat sombong itu termasuk penyakit-penyakit yang merosakkan jiwa dan lalai.

Kesungguhan dan berterusan

Kaedah serta saranan contoh yang diberikan oleh al-Ghazali merupakan metode global dalam rawatan mengubat penyakit hati bagi mendapatkan amalan-amalan perjernihan batin. Latihan akhlak berbentuk amali dan pembersihan hati memerlukan kepada kesungguhan, tanpa jemu dan berterusan.

Manusia perlu memahami bahawa hati sentiasa berlawan dengan keinginan nafsu dan kecenderungannya. Mereka yang bersungguh-sungguh menahan nafsu kerana takutkan Allah, maka syurgalah tempat yang selayak untuknya (Surah al-Nazi´at (79) ayat 40-41). Nabi Muhammad SAW turut menjelaskan melalui hadisnya:

“Orang yang cerdik berakal ialah orang yang memperhitung keadaan dirinya dan suka beramal mencari bekal sesudah mati, manakala orang yang lemah ialah orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan mengharap-harapkan kemurahan Allah, (iaitu mengharapkan kebahagiaan dan pengampunan di akhirat, tanpa mahu beramal soleh).” (HR Ibnu Majah, No. 4260, Hadis Hasan)

Justeru, untuk mencapai penjernihan jiwa, seseorang itu perlu melawan nafsunya, mempunyai hala tuju, niat yang betul, bersungguh-sungguh serta berfikiran positif. 

Nafsu merupakan salah satu ujian dan cubaan daripada Allah kepada manusia, sebagai hamba ciptaan-Nya kita mesti bersabar, tetapkan hati, sentiasa berpegang pada niat untuk melatih diri membentuk akhlak yang murni.

Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Pendidikan, Open University Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia