Tekanan Sosial: Peranan Masyarakat Bentuk Akhlak Baik

Tekanan Sosial: Peranan Masyarakat Bentuk Akhlak Baik | IKRAM

Adakah akhlak boleh dibentuk melalui masyarakat? Bagaimana peranan dan fungsi masyarakat dalam merubah akhlak seseorang? 

Apakah yang boleh masyarakat lakukan sekiranya melihat akhlak yang tidak baik? Adakah mereka juga mempunyai tanggungjawab? Persoalan-persoalan tersebut akan dibincangkan dalam artikel ini. 

Sebagaimana siri pembentukan akhlak yang lepas, kita teruskan lagi kaedah yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali untuk membentuk akhlak iaitu tekanan sosial daripada masyarakat.

Setiap individu dalam kumpulan masyarakat berperanan dalam membentuk persekitaran akhlak yang baik. Sebagai pengetahuan, setiap individu mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing, tidak kira pangkat, keturunan, bangsa, kedudukan, warna kulit dan sebagainya. Perkara ini dijelaskan melalui maksud hadis:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpin. Imam adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya. Seorang perempuan adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rumah tangganya, suaminya dan anak-anaknya. Seorang khadam bertanggungjawab terhadap harta tuannya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin.” (Sahih al-Bukhari, no. hadis 2409)

Maksud hadis di atas jelas menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab memimpin, membetulkan, menegur serta mengambil cakna mereka yang berada di sekelilingnya.

Tanggungjawab ini dinamakan tanggungjawab sosial dalam bentuk memberi tekanan kepada komuniti setempat, pihak berkuasa atau pemerintah untuk melaksanakan sesuatu berdasarkan isu yang berlaku pada ketika itu. 

Apabila setiap individu memahami dan menyedari tanggungjawab masing-masing, masalah sosial mampu dielakkan, malah kualiti kehidupan manusia bertambah baik. Sebagai individu yang memahami tanggungjawabnya terhadap agama, bangsa dan negara, semua pihak akan menggembleng tenaga untuk mencapai matlamat amar makruf nahi munkar sebagaimana dijelaskan melalui maksud hadis berikut:

“Sesiapa antara kamu yang melihat satu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan kekuasaannya (tangannya), jika tidak mampu, maka dengan lisannya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya, dan yang terakhir itu adalah selemah-lemah iman.” (Sahih Muslim, no. hadis 49)

Tekanan sosial masyarakat

Tekanan sosial daripada masyarakat untuk membentuk akhlak yang baik merujuk kepada tekanan, paksaan, kritikan, harapan, dorongan, komitmen dan pengaruh daripada komuniti sosial atau masyarakat agar individu yang melakukan akhlak keji berusaha mengamalkan akhlak yang baik berdasarkan prinsip Islam.

Tekanan daripada masyarakat mempunyai impak yang besar dan pengaruh  yang kuat dalam memaksa individu mengamalkan sesuatu menurut nilai dan norma-norma akhlak. Mereka boleh melaksanakan tekanan moral yang berkesan untuk mendisiplinkan golongan yang berkecenderungan untuk melakukan tingkah laku yang keji.

Secara fitrahnya, manusia suka dipuji, dihormati dan disanjungi. Mereka takut dikeji dan dicemuh oleh masyarakat yang dia mempunyai sense of belonging kepada mereka. Tekanan tersebut merupakan antara kunci yang berupaya menentukan tindak-tanduk seseorang.

Masyarakat yang aktif menegur dan memberi tekanan moral berperanan menyuburkan semangat dan amalan hidup berakhlak, selain  membendung ‘trend maksiat’ dalam masyarakat melalui pelaksanaan amar makruf nahi mungkar.

Apabila masyarakat  kehilangan  keprihatinannya terhadap kewajipan menegakkan makruf, maka bermulalah proses penghakisan moral, akhlak dan jatuhnya martabat umat berkenaan.

Contoh tekanan sosial

Masyarakat boleh memberi tekanan kepada pemerintah dan pihak berwajib untuk melaksanakan sesuatu yang bersesuaian dengan isu yang berlaku. Contohnya, isu buli, gengsterisme, penderaan dan keganasan rumah tangga.

Apa yang mampu masyarakat lakukan? Di sini masyarakat berperanan menjadi mata dan telinga dengan melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkepentingan dan pihak berkuasa.

Tindakan ini mencerminkan masyarakat bersatu hati memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang secara tidak langsung mengekang masalah akhlak yang memberi kesan negatif kepada persekitaran dan generasi akan datang.

Tekanan sosial juga boleh muncul dalam bentuk teguran atau nasihat. Sebagai contoh, jika terdapat isu akhlak yang melibatkan komuniti setempat atau satu keluarga di sebuah kawasan perumahan, penduduk setempat boleh memberi teguran, nasihat atau peringatan melalui media sosial rasmi kawasan tersebut seperti WhatsApp dan Telegram mengenai tindakan yang perlu dilakukan oleh ketua atau komuniti di kawasan tersebut.

Tekanan boleh dilakukan dalam bentuk paksaan melalui petisyen atau tunjuk perasaan terhadap isu-isu sosial yang tidak berperikemanusiaan seperti isu langgar lari dan penghinaan yang menjadikan masyarakat ‘memaksa’ pihak berkuasa mencari dan menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

Melalui media sosial, tekanan ini datang daripada netizen yang menularkan video, mencari dan menyiasat latar belakang pelaku atau mangsa. Hasilnya dalam masa yang singkat dapat membantu pihak yang berkepentingan atau mangsa itu sendiri.

Ambil sahaja contoh kisah pemandu Foodpanda yang menerima hadiah motosikal daripada seorang individu hasil daripada penularan videonya yang berjalan kaki serta tekanan daripada netizen yang menunjukkan perasaan empati dan simpati terhadapnya. 

Tekanan sosial turut dilaksanakan melalui perjumpaan dan dialog terhadap isu yang melibatkan agama, toleransi dan kefahaman antara budaya, adat dan kepercayaan khususnya yang melibatkan agama Islam.

Tekanan sosial melalui dialog perlu bagi membetulkan salah faham, persepsi negatif dan membentuk sikap saling menghormati mengapa setiap agama itu berbeza khususnya Islam yang mempunyai peraturan, garis panduan, hukuman dan tindakan khusus untuk salah laku akhlak seperti berzina, minum arak, khalwat, merompak, membunuh dan sebagainya.

Pentingnya tekanan sosial

Mengapa tekanan sosial daripada masyarakat ini penting kepada pembentukan akhlak? Ia disebabkan masyarakat mempunyai tanggapan umum yang mengharapkan individu dalam komuniti tersebut mempunyai akhlak yang baik, berbudi bahasa, bersopan santun, mengamalkan nilai-nilai murni, beretika, mempunyai integriti, saling menghormati dan sebagainya.

Apabila terdapat ahli daripada kalangan komuniti atau individu yang tertentu melakukan kesilapan atau salah laku sosial, stigma buruk daripada masyarakat akan terbentuk.

Justeru, tekanan sosial yang positif mampu menjadi pemangkin untuk pembentukan akhlak dan jati diri yang baik dalam kalangan anggota masyarakat tersebut. 

Tekanan sosial ini tidak semestinya hadir dalam bentuk paksaan semata-mata. Tekanan ini boleh juga ditunjukkan dalam bentuk yang positif seperti dorongan, galakan dan pujian masyarakat kepada individu yang aktif dalam kerja-kerja khidmat sosial dan amal kebajikan sebagai motivasi dan contoh teladan bagi membentuk akhlak yang baik.

Hal ini menunjukkan bahawa keyakinan tinggi masyarakat terhadap pembangunan akhlak itu penting untuk keharmonian hubungan dan kesejahteraan bersama.

Tekanan sosial ini boleh diumpamakan seperti ‘ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua’ iaitu masyarakat bersatu hati dalam mengekang masalah akhlak yang berlaku dalam komunitinya, selain masyarakat turut berpegang kepada ‘sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk’  yang membawa maksud mereka semua masih mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu diselesaikan secara bersama.

Tekanan sosial masyarakat ini bertepatan dengan maksud hadis berikut:

“Perumpamaan orang yang mematuhi larangan Tuhan dan melanggarnya adalah seperti kaum yang mengadakan undian di atas kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat di atas dan sebahagian lagi di bawah. Orang yang di bawah sekiranya hendak mengambil air minum terpaksa melalui orang yang di atas. Mereka berfikir, ‘Baiklah kita buat sebuah lubang air di atas tempat kita sehingga kita tidak mengganggu orang di atas’. Jika orang di atas membiarkan maksud mereka, tentulah mereka akan binasa. Sebaliknya jika orang di atas melarang, maka mereka akan selamat semuanya.” (Sahih al-Bukhari, hadis 2493)

Hadis tersebut menggambarkan perlunya golongan lain yang melihat perkara yang tidak baik menegur dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan dalam kalangan mereka kerana dikhuatiri kapal tersebut akan karam hingga menenggelamkan semua manusia yang berada di dalamnya.

Begitulah juga halnya dengan kehidupan bermasyarakat. Mereka perlu memberi tekanan, teguran, dorongan dan paksaan agar masyarakat tersebut tidak karam dengan gejala serta isu akhlak yang boleh menghancurkan mereka.

Kerapuhan akhlak bukan sahaja memberi impak kepada seluruh kehidupan, malah akan mendapat azab dan balasan yang pedih daripada Allah SWT. 

Sebagai masyarakat yang menganut agama Islam, ketahuilah bahawa umat Islam merupakan umat yang terbaik, mempunyai nabi yang memandu manusia serta Allah sebagai pemelihara dan penguasa alam semesta. Ini dijelaskan melalui Surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar serta beriman kepada Allah….”

Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia