Melawan rasuah di Malaysia: Agenda siapa?

Melawan Rasuah Malaysia Agenda Siapa

Kenapa agaknya, jenayah rasuah dan korupsi seperti dibiarkan terlopong begitu sahaja tanpa teguran mahupun bantahan? 

 

Mungkinkah mereka ini terdesak, ingin cepat kaya, mahu dinaikkan pangkat dengan segera atau hidup mati mereka hanya bergantung kepada kelulusan projek mega yang mereka bentangkan hingga terpaksa melakukan perbuatan terkutuk ini?

 

Rasuah dan korupsi ini juga boleh berlaku dalam pelbagai cara. Ia mungkin bermula dengan sogokan sekecil RM30, kemudian menjadi seratus, dua ratus, ribuan dan jutaan ringgit.  Ada yang seperti kita sangkakan, ada juga yang mungkin kita tidak pernah terfikir sekalipun. Tidak kira orang atasan atau orang bawahan, ia tetap sebuah jenayah yang merosakkan. 

 

Kejutan yang pernah berlaku

 

Kita juga pernah dikejutkan dengan laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2019, ramai penjawat awam terlibat dengan rasuah dan kebanyakannya membabitkan golongan muda di bawah 40 tahun.

 

Baru-baru ini tular satu laporan yang dikeluarkan oleh SPRM mengenai penangkapan beberapa individu yang terdiri daripada pemilik dan pegawai kanan syarikat kontraktor serta seorang eksekutif muda Petronas. 

 

Mereka didakwa terlibat dengan skandal rasuah yang melibatkan sebuah projek yang sedang dijalankan. Tangkapan dilakukan di beberapa tempat untuk tujuan membantu siasatan. 

 

Bukan apa, kita risaukan gejala ini semakin menjadi-jadi. Dulu virus Covid-19 begitu asing buat diri kita, tetapi sekarang ini virus itu sentiasa dekat dengan diri kita.

 

Malah, semakin banyak varian baru yang lahir lewat hari ini. Tidak nampak, tapi ada. Ia sama seperti gejala rasuah dan korupsi yang melanda negara kita tanpa suara. 

 

Realiti dan hakikat 

 

Realiti pahit yang perlu kita terima dengan hati terbuka adalah apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia menjunam jatuh sejak dua tahun kebelakangan ini. Terkini ia telah jatuh sehingga kedudukan yang ke-62 berbanding dahulu di kedudukan yang ke-57 dunia.

 

Kejatuhan ini boleh dijadikan signal bahawa situasi semasa gejala rasuah dan korupsi di dalam negara semakin menebal. 

 

Jika kita dapat mengamati dengan mendalam titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam sebuah Majlis Perutusan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun 2021 yang lalu, titahnya berbunyi: 

 

“Pemimpin negara dan ulama seharusnya berganding usaha dan tenaga bagi berjihad menghapuskan gejala rasuah yang berlaku di dalam negara. 

 

Pemimpin termasuk ulama tidak boleh memejamkan mata, memekakkan telinga dan membisukan lidah terhadap perbuatan yang terbukti menjadi punca penderitaan rakyat dan kemiskinan warga. 

 

Masyarakat merindui kepimpinan yang tidak melakukan kezaliman, tidak menindas, tidak menipu dan tidak bersifat munafik.

Ummah semakin menyuarakan kerinduan untuk dianugerahkan kepimpinan yang tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengamalkan nepotisme dan tidak bersifat pecah amanah.”

 

Siapa yang terkesan dengan mesej yang nak disampaikan ini? Mesej yang disampaikan itu amat jelas menggambarkan suasana yang sebenar di dalam negara kita.

 

Najis rasuah ini berada di mana-mana baik dalam kalangan orang atasan mahupun marhaen yang mempunyai kepentingan masing-masing. Lagi memilukan sekiranya jenayah ini menebal dalam kalangan golongan agamawan yang membawa nama agamanya sendiri. 

 

Usaha kerajaan dan kesannya

 

Di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum PRU14, pelbagai langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam memerangi rasuah seperti menubuhkan Unit Pencegahan Rasuah, Badan Pencegah Rasuah, Biro Siasatan Negara, Pelan Integriti Nasional (PIN), menubuhkan Institut Integriti Malaysia dan Program Transformasi Kerajaan. 

 

Ketika Pakatan Harapan berjaya mengambil alih tampuk kepimpinan negara setelah sekian lama berada di bawah Barisan Nasional sejak 60 tahun yang lalu, kerajaan telah menubuhkan satu entiti baru iaitu Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Kebangsaan bagi menunaikan manifesto mereka dan membawa pesalah rasuah ke muka pengadilan. Bukan itu sahaja, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 diperkenalkan bagi memecahkan rantaian rasuah tersebut. 

 

Jika kita perhatikan dengan lebih mendalam lagi, banyak inisiatif yang dibuat oleh kerajaan untuk membanteras rasuah sejak sekian lama. Tetapi kesannya agak tidak meyakinkan.

 

Bahkan, masalah ini sebenarnya begitu rumit dan memerlukan seluruh jentera negara bekerjasama termasuk badan bukan kerajaan, gerakan sosial, pemimpin komuniti, ahli akademik dan keluarga. 

 

Harapan besar IKRAM 

 

Malaysia sangat dahagakan sebuah negara yang mengangkat nilai integriti, adil dan saksama. Hal ini memberikan aspirasi kepada Pertubuhan IKRAM Malaysia untuk mengangkat ciri pertama di dalam 12 Ciri Negara Rahmah iaitu Kepimpinan Negara yang Kompeten dan Berintegriti

 

Ciri pertama iaitu Kepimpinan Negara yang Kompeten dan Berintegriti menampilkan sebuah pendekatan kepemimpinan yang terbaik dan berwibawa, memiliki kebolehan dan kemahiran tadbir urus yang terbaik sehingga mampu mengangkat negara dan rakyat maju ke hadapan.

 

Perincian ini sudah pasti menjadikan rasuah sebagai salah satu agenda untuk dihapuskan di setiap peringkat. Contoh terbaik kepada kepimpinan yang kompeten dan berintegriti ini boleh dirujuk kisah-kisah sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dan Saidina Umar al-Faruq RA dalam memerintah sebuah negara. 

 

Justeru itu, IKRAM menggariskan beberapa ciri untuk dijadikan penanda aras kepada sebuah impian ini. Mungkin 12 ciri ini tidak cukup menyeluruh, tetapi bagi IKRAM, ia sudah memadai untuk menggambarkan suasana dan jenis negara yang bagaimana kita mahukan.

 

Berikut senarai ciri–ciri tersebut : 

  1. Kepemimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
  2. Sistem Pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan
  3. Tadbir urus yang baik
  4. Undang-undang yang adil
  5. Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang
  6. Institusi keluarga yang utuh
  7. Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni
  8. Ekonomi yang mampan
  9. Agihan kekayaan yang saksama
  10. Pembangunan yang lestari
  11. Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara
  12. Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat

 

Fokus IKRAM adalah untuk bersama masyarakat sivil yang prihatin, meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara rahmah pada tahun 2035 berdasarkan kriteria yang telah disenaraikan di atas.

 

Wawasan yang penuh murni ini menjadi impian seluruh rakyat Malaysia, tidak kira apa bangsa keturunan sekalipun untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengangkat nilai integriti, menolak rasuah, telus dan mithali. 

 

Usaha ini bukan hanya untuk ahli IKRAM sahaja, tetapi selayaknya kita semua harus menggembleng satu tekad yang sepakat untuk memastikan wawasan ini dapat dicapai dengan baik melalui instrumen kerajaan, badan bukan kerajaan, golongan profesional dan akademik dan sebagainya.

 

IKRAM sentiasa percaya proses transformasi negara dari keadaan sekarang sehingga menjadi sebuah negara rahmah adalah satu proses yang panjang dan berliku. 

 

Impak Korupsi dalam Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR)

 

Satu kajian rintis dan survei telah dibuat oleh Unit Kajian Dasar IKRAM (KADRI) bagi mengukur kemajuan usaha IKRAM dalam merealisasikan impian Malaysia Negara Rahmah (MNR) menjelang tahun 2035. 

 

Untuk makluman pembaca, seramai 3,277 orang responden berjaya didapatkan bagi membantu kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) sepanjang tahun 2021 yang terdiri dari rakyat Malaysia 18 tahun ke atas. 

 

Kajian ini dijalankan dengan menggunakan persampelan berstrata dengan tumpuan negeri, daerah, kaum dan jantina bagi menilai dengan lebih konkrit sejauh mana 12 Ciri Malaysia Negara Rahmah memberi kesan kepada masyarakat dan sekitarnya. 

 

Hasil dapatan survei ini mendapati bahawa Malaysia masih berada dalam kategori yang sederhana dengan skor sebanyak 6.09 dalam menggapai Malaysia Negara Rahmah (MNR) melalui 12 ciri yang telah digariskan di atas.

 

Jika kita teliti setiap pencapaian satu persatu 12 ciri Malaysia Negara Rahmah tersebut, ciri-ciri yang berkait dengan ciri kepimpinan yang kompeten dan berintegriti serta ciri tadbir urus yang baik masing-masing mendapat skor yang rendah iaitu sebanyak 5.33 dan 5.39.

 

Ini juga sangat berkait dengan persepsi masyarakat terhadap isu salah laku dan korupsi oleh pemimpin negara. Justeru itu, kajian dan tindakan susulan yang menyeluruh perlu dilakukan oleh semua pihak berwajib untuk memastikan ciri-ciri ini dapat dibaiki kedudukannya pada masa akan datang. 

 

Melawan korupsi bukan sahaja perlu ‘diagendakan’ oleh kerajaan atau badan-badan tertentu, tapi ia harus menjadi agenda kita semua sebagai rakyat Malaysia. 

 

Semoga Allah SWT memelihara Malaysia. Malaysia menuju negara rahmah! 

 

Profesor Dr Hanim Salleh
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia