Tragedi SMK Za’ba: Hak Murid Terhadap Persekitaran Selamat Mesti Dijamin

Tragedi SMK Za'ba: Hak Murid Terhadap Persekitaran Selamat Mesti Dijamin

Wanita IKRAM Malaysia merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, murid Tingkatan Dua SMK Za’ba, Kuala Pilah, yang ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah sebelum disahkan meninggal dunia. Semoga keluarga Allahyarham diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian yang amat berat ini.

Kami mengambil maklum bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menggesa siasatan dijalankan secara telus, menyeluruh dan pantas, serta menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau mendedahkan identiti suspek, yang juga kanak-kanak.

Kami tegaskan bahawa tiada kesalahan, sebesar mana sekalipun, yang memberi hak kepada seorang murid untuk menghukum murid lain secara fizikal atau mencederakan. Hal ini tidak bermakna disiplin dilonggarkan. Kami menyokong guru, warden, pengawas dan pemimpin murid yang memikul amanah membentuk disiplin. 

Namun amanah ini perlu disertai kefahaman dan kemahiran tentang bagaimana menegur tanpa memalukan, dan bagaimana membetulkan kesalahan tanpa menjadi pembuli. Kesalahan yang serius wajar dirujuk kepada guru, bukan diselesaikan sendiri oleh murid.

Tiga bulan selepas Akta 876 berkuat kuasa

Pada Jun lalu, kami menyambut baik Akta Antibuli 2026 [Akta 876] sambil menegaskan bahawa pencegahan lebih berkesan daripada hukuman. Tragedi ini membuktikan undang-undang sahaja tidak memadai. 

Isu sebenar yang belum ditangani:

1. Budaya senioriti

Murid tingkatan atas masih merasakan mereka berhak menghukum adik-adik tingkatan bawah atas nama disiplin. Amalan ragging ini diwarisi turun-temurun dan jarang dicabar secara serius oleh pihak sekolah.

2. Budaya senyap

Purata lebih 14,000 kes buli dilaporkan di sekolah setiap tahun, tetapi Tribunal bagi Antibuli hanya menerima 55 aduan sejak Jun. Murid sendiri mengakui mereka takut dibalas dan bimbang aduan tidak dirahsiakan.

3. Pengawasan yang longgar

Di asrama, warden bertanggungjawab menjaga keselamatan murid, walaupun tidak dapat menggantikan peranan ibu bapa sepenuhnya. Wujud kelompangan dalam pengawasan sehingga kejadian sebegini boleh berlaku seawal jam 8 malam.

4. Sistem yang melindungi pembuli

Rakan, pengawas dan pentadbir yang berdiam diri, serta institusi yang menjaga nama, turut bertanggungjawab.

5. Buli bukan isu disiplin semata-mata

Hampir separuh murid yang terlibat dalam kes buli adalah mangsa dan pelaku sekali gus. Tanpa intervensi psikososial, mangsa hari ini berisiko menjadi pembuli esok.

Sehubungan dengan itu, Wanita IKRAM Malaysia menggesa:

  1. Audit keselamatan asrama seluruh negara oleh KPM, MARA dan Kementerian Pertahanan, termasuk nisbah warden kepada murid dan pengawasan waktu malam.
  2. Latihan menyeluruh untuk warden dalam kaunseling asas, pengurusan remaja dan keibubapaan remaja, serta kriteria pemilihan yang menekankan sifat amanah.
  3. Latihan untuk pemimpin murid tentang had peranan mereka, cara menegur secara berhemah dan prosedur merujuk kesalahan kepada guru.
  4. Intervensi psikoemosi sejak awal persekolahan, termasuk pengurusan marah dan kawalan emosi, serta saringan psikososial kepada mangsa dan pelaku.
  5. SOP aduan yang melindungi pengadu dan saksi, termasuk saluran tanpa nama yang mesra kanak-kanak, serta tindakan yang wajar dan konsisten terhadap pembuli.
  6. Pendedahan status jawatankuasa pencegahan dan pengurusan buli yang diwajibkan Akta 876 di setiap institusi berasrama: Adakah ia sudah ditubuhkan dan berfungsi?
  7. Tindakan terhadap kegagalan institusi, termasuk pentadbir yang tidak mematuhi prosedur atau menyembunyikan kes.
  8. Penerbitan statistik buli di asrama secara berasingan, serta laporan awam berkala tentang pelaksanaan Akta 876.

 

Setiap ibu bapa yang menghantar anak ke asrama percaya anak mereka akan pulang dengan selamat. Hak setiap murid terhadap persekitaran yang selamat mesti dijamin melalui tindakan, bukan sekadar undang-undang di atas kertas.

Wanita IKRAM komited menggerakkan jaringan komuniti bersama ibu bapa, guru dan kanak-kanak, demi memastikan tiada lagi keluarga kehilangan anak akibat buli.

Dr. Safiya Amaran
Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak
Wanita IKRAM Malaysia

Rujukan:

  1. Harian Metro, Pelajar SMK Za’ba: desakan siasatan dakwaan buli, 26 Sept 2026.
  2. Sinar Harian / Astro AWANI, Kes dipercayai berpunca kerana langgar peraturan sekolah – Polis, 26 Sept 2026.
  3. Utusan Malaysia, Pelajar senior direman 6 hari, 26 Sept 2026.
  4. Bernama, Tribunal Bagi Antibuli terima 55 aduan, 23 Sept 2026.
  5. Kenyataan Media Wanita IKRAM, MAP dan KIND berhubung Akta Antibuli 2026, Jun 2026.
  6. Hansard Dewan Rakyat, RUU Antibuli 2025 (Bacaan Kali Kedua dan Ketiga), 3 Dis 2025.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia