Konsep Negara Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10 meletakkan visinya sebagai membangunkan tanah air yang lebih mampan dan makmur.
Kemampanan dan kemakmuran itu berteraskan roh (semangat) daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan. Teras ini pula meletakkan keterangkuman dan kesaksamaan sebagai tiang serinya.
Siti Shamsiah dalam artikelnya “Keluarga Sejahtera Asas Pembinaan Negara Madani” menyatakan bahawa kemajuan pembinaan sesebuah negara bergantung kepada institusi kekeluargaannya.
Hal ini adalah kerana ia merupakan nukleus kepada pembentukan masyarakat dan seterusnya ke arah pembangunan negara yang berperadaban. Ringkasnya, keluarga ialah sebuah unit asas sosial yang membekalkan sumber manusia untuk pembangunan serta menjamin kesinambungan insan sebagai generasi pewaris.
Justeru, beliau menekankan bahawa institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam mengangkat dan menjayakan negara Madani.
Sewaktu berucap melancarkan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2023, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, “Sesebuah negara akan menjadi hebat melalui penerapan nilai murni yang dipupuk bermula dari institusi keluarga.”
Masyarakat harus menyedari perkara ini dengan bertindak memelihara keluarga mereka daripada sebarang kerosakan dan sebaliknya menjadikan keluarga sebagai tunjang kebaikan dan kebahagiaan. Penerapan nilai murni adalah asas kepada pembentukan masyarakat dan negara Madani.
Thohir dalam artikel bertajuk “Konsep Keluarga dalam Perspektif al-Quran” menjelaskan bahawa keluarga adalah sebuah ikatan dengan tanggungjawab yang diambil secara sukarela, yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak dengan tujuan mendapatkan perlindungan, mencari kesenangan, ketenangan dan ketenteraman sebagai tuntutan manusiawi yang mulia.
Setiap agama mementingkan keharmonian dalam kehidupan alam sejagat. Islam sangat mengutamakan keutuhan sesebuah keluarga dalam memelihara sistem kehidupan secara menyeluruh. Menerusi surah at-Tahrim ayat 6, Allah berfirman (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada seksa api neraka.”
Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dalam tafsirnya menyebut, ayat ini ditujukan kepada semua insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar menjauhkan diri dan ahli keluarga daripada api neraka melalui amalan kebaikan dan menghindari maksiat dengan cara nasihat serta tunjuk ajar.
Keamanan, keadilan, kesefahaman, sikap toleransi, kasih sayang dan kesejahteraan yang wujud dalam sesebuah keluarga adalah faktor utama dalam mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, bahagia serta cemerlang di dunia mahupun di akhirat.
Pembentukan keluarga harmoni dan sejahtera akan lahir daripada ibu bapa yang menghayati amanah yang dipikul.
Demi pembentukan generasi harapan yang bakal mematangkan diri sebagai pewaris negara, tanggungjawab ini harus disempurnakan oleh kedua-dua ibu bapa, penjaga dan masyarakat dengan kesungguhan. Kata-kata orang bijaksana ada menyebut, “It takes a village to raise a child.”
Bagi menjadikan harapan ini sebagai suatu kenyataan, setiap anggota keluarga harus berperanan dalam melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka, tanpa lupa mempelajari ilmu kekeluargaan sama ada melalui pembacaan atau melalui pengalaman orang yang boleh dicontohi. Ilmu yang diamalkan menjadi bekal dan alat yang paling ampuh dalam merealisasikan suatu impian.
Namun, ilmu juga harus disulami dengan sifat ihsan dan kasih sayang. Apabila berbicara tentang pendidikan keluarga, setiap individu terutamanya ibu bapa, perlu ditanamkan dengan perasaan kasih sayang dan kasih-mengasihani antara satu sama lain. Hal ini selari dengan saranan Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:
“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup bahagia dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (Mawaddah) dan belas kasihan (Rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan (kesedaran) bagi orang yang berfikir.”
Oleh hal yang demikian, menjadi tugas dan tanggungjawab penting bagi kedua-dua suami isteri untuk menerapkan sifat berkasih sayang dan kasih-mengasihani dalam keluarga yang dibina. Ketakwaan, kerjasama, hormat-menghormati, bersyukur, reda dengan ketentuan Allah dan sebagainya adalah amalan yang menjadi jambatan atau laluan bagi mendekatkan diri seseorang kepada kehidupan keluarga harmoni. (Nor Harmimi, 2018)
Tanggungjawab membentuk rumah tangga yang harmoni
Tanggungjawab membentuk sesebuah keluarga harmoni merupakan tanggungjawab bersama. Perkara ini disahihkan melalui hadis riwayat Bukhari dan Muslim seperti berikut (maksudnya):
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang penguasa adalah pemimpin rakyat dan dia bertanggungjawab atas rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab atas keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga suaminya dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab atas mereka. Dan seorang hamba adalah pemimpin harta benda milik tuannya dan dia bertanggungjawab atas keselamatannya.”
Nor Harmimi dalam penulisannya, “Tanggungjawab Membentuk Keluarga Harmoni” menjelaskan bahawa kesempurnaan terhadap tuntutan tanggungjawab ini bergantung kepada usaha, kerjasama dan kemahuan antara pasangan suami isteri. Kesepakatan, kejujuran, keikhlasan, saling menghormati, sayang menyayangi, bertoleransi, bersikap adil, menerima seadanya diri pasangan dan bersyukur dengan ketetapan Allah SWT merupakan antara prinsip yang harus diamalkan oleh suami isteri dalam membentuk rumahtangga yang harmoni.
Melihat kepada realiti masyarakat kini, isu keretakan dan keruntuhan keluarga seakan-akan telah dinormalisasikan. Antara puncanya ialah keganasan rumahtangga, pengabaian nafkah dan ketidakadilan dalam melaksanakan tanggungjawab keluarga.
Lelaki sebagai pemimpin dan pelindung sesebuah keluarga sewajarnya berperanan dan bertanggungjawab bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan keluarga dapat dicapai sepertimana dalam firman Allah dalam Surah An-Nisa’, ayat 34, yang bermaksud:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Ciri-ciri keluarga harmoni
a) Tempat tinggal yang selesa
Mempunyai tempat berlindung atau tempat tinggal yang selesa dan sempurna bagi melaksanakan keperluan harian. Di dalam rumah segalanya bermula dan di sini juga tempat ahli keluarga menghabiskan masa bersama antara satu sama lain.
b) Saling mencintai dan menyayangi
Keluarga adalah sekelompok individu yang saling menyayangi, tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa mengambil peduli tentang keadaan sesama mereka sendiri. Kurang sokongan daripada ahli keluarga boleh mengakibatkan salah seorang daripada mereka terjebak ke jalan yang salah.
c) Saling bertolak ansur dan saling memahami
Sifat bertolak ansur dan saling memahami adalah sebahagian daripada resipi keluarga yang harmoni kerana mewujudkan keamanan dan ketenteraman. Sikap ini memupuk perasaan berkasih sayang, saling menghargai antara satu sama lain dan dapat mengelakkan perselisihan dan salah faham daripada terjadi.
Kanakawi dalam artikelnya, “Sikap yang Perlu Ada Pada Anak-anak Bagi Melahirkan Sebuah Keluarga Yang Harmoni” menjelaskan bahawa hubungan adik-beradik harus disuburkan rasa hormat agar kasih bertaut bagai isi dengan kuku. Bak kata pepatah Melayu, “cubit paha kiri, paha kanan pun akan terasa”.
Seandainya wujud salah faham, cari jalan penyelesaian kerana perselisihan dalam kalangan adik-beradik ibarat “air dicincang tidak akan putus”.
d) Anak-anak yang mulia budi pekerti dan bermoral tinggi
Budi pekerti dan moral akan cantik jika sentiasa menjadi pakaian peribadi. Apabila elok pekerti, nescaya terserlah nilai-nilai insani. Sewajarnya, setiap ahli keluarga termasuk anak-anak menghiasi diri dengan akhlak dan sopan santun.
Imam al Ghazali pernah berkata, “Hendak mengenal diri lihatlah pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah.”
Oleh itu, corakkanlah peribadi dengan kelembutan hati dan kesederhanaan sikap sebagai penyuluh budi pekerti. Ahli keluarga yang lebih tua harus dihormati, manakala yang muda perlu disayangi.
Seandainya karakter ini menjadi cermin diri, maka akan terlahir sebuah keluarga yang harmoni, ibarat “di air yang bening terpancar bayang yang jernih”.
e) Pendidikan yang mencukupi
Anak-anak mendapat pendidikan yang baik apabila dididik di rumah dan disempurnakan di sekolah. Memberi pendidikan kepada anak-anak merupakan tanda aras kepada peranan yang dimainkan oleh ibu bapa.
f) Gaya hidup sihat
Ahli keluarga perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat demi kesejahteraan hidup. Menjadi keperluan bagi sesebuah keluarga yang mengutamakan kesihatan untuk menyediakan makanan yang seimbang, dilengkapi dengan amalan aktiviti riadah di luar secara bersama.
g) Ekonomi keluarga stabil
Jejaka Aarman dalam “Keluarga Bahagia – Tanda, Ciri-ciri & Cara Untuk Mendapatkannya” menjelaskan bahawa keluarga yang sejahtera mempunyai ekonomi stabil, mampu menampung perbelanjaan harian dan mempunyai pendapatan yang boleh bertahan dalam jangka masa yang panjang.
h) Amalan agama yang baik
Tidak dapat dinafikan, penghayatan agama merupakan aspek terpenting dalam menentukan kebahagiaan sesebuah keluarga. Memberi pendidikan dan mengamalkan tuntutan agama merupakan perkara penting yang perlu dititikberatkan bagi mencapai keluarga yang harmoni serta mempunyai nilai adab dan moral yang tinggi.
i) “Resilience” atau daya tahan yang tinggi
Keluarga yang berfungsi dengan baik akan melahirkan anak-anak yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi.
Golongan rentan yang lahir daripada keluarga utuh didapati mempunyai kesihatan mental, fizikal, emosi dan sosial yang baik seperti dinyatakan oleh Siti Hajar Muhamad Yusof dalam penulisan beliau bertajuk “Kefungsian Keluarga dan Ketahan Diri Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Harian”.
Mereka mempunyai jati diri, mudah beradaptasi dengan perubahan dan ada keupayaan untuk bangkit daripada kesulitan hidup.
j) Fleksibel/bersifat anjal
Kehidupan sering berubah roda seiring waktu yang berlalu. Justeru, sokongan ahli keluarga yang dapat memahami keadaan dan memenuhi keperluan semasa tentunya memudahkan ahli-ahli keluarga yang terlibat untuk beradaptasi dengan sebarang perubahan yang berlaku meskipun sulit untuk dilalui.
Perubahan dalam keluarga seperti berlakunya kelahiran bayi baharu atau kematian insan tersayang semestinya masing-masing membawa cabaran tersendiri menyesuaikan diri dengannya. Keluarga yang harmoni masih tetap terpelihara dengan keanjalan keluarga ini menghadapi perubahan yang mendatang.
Cara-cara membentuk keluarga harmoni
a) Mencari sumber pendapatan yang halal dan diredai Allah
Sumber rezeki yang diperolehi untuk menafkahi keluarga boleh memberi kesan kepada keadaan keharmonian rumah tangga. Islam mengajar penganutnya agar mendapatkan rezeki daripada sumber yang halal dan baik serta tidak mencampurinya dengan perkara syubhah atau haram.
b) Memperkuat hubungan dengan Allah SWT
Jangan pernah melupakan Allah SWT dalam setiap langkah yang diambil walaupun dalam sekecil-kecil urusan. Biasakan diri untuk sentiasa meminta pertolongan daripada-Nya bagi menjadikan keluarga yang dibentuk sentiasa harmoni dan dalam jagaan-Nya. Pasangan yang saling mencintai kerana Allah SWT juga akan menjadikan rumah tangga bahagia. Hal ini kerana hubungan yang baik dengan Allah SWT akan mempengaruhi hubungan yang baik juga dengan ahli keluarga.
c) Rajin menimba ilmu pengetahuan dalam segala perkara
Ilmu kekeluargaan dan kehidupan perlu dicari sebagai panduan dan rujukan dalam kehidupan berkeluarga. Ibarat nahkoda yang berjaya belayar jauh kerana anak-anak kapal berkemahiran mengemudinya.
d) Amalkan berkasih sayang dan kasih mengasihani
Kasih sayang perlu ditonjolkan kerana ia merupakan pemangkin semangat bagi setiap ahli keluarga, manakala kekerasan dan keganasan tidak pernah memperbaiki apa-apa secara tulen dan tuntas
e) Berkomunikasi secara positif dan baik
Berkomunikasi secara positif antara isteri, suami dan anak-anak di samping mengelakkan diri daripada meluncurkan kata-kata dan pemikiran yang negatif dapat mempengaruhi keharmonian dalam sesebuah keluarga. Munculnya salah faham dan berlakunya pertengkaran adalah impak daripada komunikasi yang tidak baik.
f) Saling menjaga ibadah
Keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah sukar wujud sekiranya amalan ibadah culas. Kebahagiaan dapat diraih jika taat pada suruhan Allah SWT dan saling mengingatkan tentang kewajiban terhadap Allah SWT.
Berbakti pada masyarakat merupakan ibadah yang sangat dituntut. Bersedekah, menyantuni golongan yang memerlukan dalam bentuk pemberian wang, tenaga atau layanan yang baik boleh dijadikan amalan setiap ahli keluarga kerana imbalannya akan membawa keberkatan kepada keluarga itu sendiri.
g) Kejujuran, keikhlasan dan kepercayaan dalam diri setiap pasangan
Hubungan yang dikuatkan dengan rasa percaya, jujur dan ikhlas akan memberi kesan positif pada hubungan suami isteri.
h) Membentuk suasana yang mesra dan meluangkan waktu bersama keluarga
Suasana persekitaran yang baik, selamat dan selesa memberi kesan kepada perhubungan keluarga. Walaupun mencari wang itu penting namun ia menjadi tiada nilai apabila terlalu sibuk mengejarnya hingga mengakibatkan tali kekeluargaan renggang. Masa itu menjadi emas apabila kualiti masa yang diluangkan sesama ahli keluarga menjadi bermakna.
i) Memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing
Kenal pasti dan fahami tanggungjawab serta peranan yang boleh dilaksanakan bersama. Kehadiran ahli dalam sesebuah keluarga itu sifatnya untuk bergantung antara satu sama lain dalam mencari kesejahteraan hidup.
Apabila setiap ahli keluarga berperanan dan saling menyokong dalam urusan rumahtangga, tiada ahli keluarga yang terbeban sendirian. Keharmonian keluarga hanya dapat dinikmati apabila semua ahlinya bahagia dan tenang di dalamnya.
j) Membuat keputusan bersama-sama
Setiap keputusan boleh dibuat secara bersama dan perlu adil, terbuka dan fleksibel supaya ia boleh diikuti oleh seluruh ahli keluarga.
k) Mengelakkan konflik belarutan dan segerakan penyelesaian sesuatu isu bersama
Setiap permasalahan ada penyelesaiannya. Berbincang secara tenang dan elakkan suasana beremosi ketika berbincang. Proses penyelesaian konflik harus dilakukan secara berhemah agar kedua-dua suami isteri mudah reda antara satu sama lain.
l) Sentiasa memaafkan antara satu sama lain
Kadang-kadang, ujian atau konflik yang hadir dalam sesebuah keluarga sukar dihindari. Apabila salah seorang ahli keluarga melakukan kesalahan, ahli keluarga yang lain hendaklah berbincang secara baik sehingga dapat saling bermaafan supaya tiada kesakitan yang terbuku di hati.
Setiap rakyat Malaysia tentunya mengimpikan kehidupan sejahtera di bawah payung kepemimpinan yang berwibawa tanpa mencicirkan sesiapa di sebalik kepelbagaian yang wujud.
Idea ini terangkum dalam gagasan Malaysia Madani yang membawa naratif untuk merubah Malaysia menjadi sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain.
Namun, harapan ini tidak boleh dibiarkan untuk dikerjakan oleh kerajaan sahaja kerana keampuhan sesebuah negara bergantung kepada kerjasama seluruh rakyatnya di setiap lapisan masyarakat.
Dalam hal ini, institusi keluarga yang utuh dan harmoni menjadi paksi utama dalam menjayakan agenda negara kerana lahirnya pemuda tonggak negara adalah daripada keluarga-keluarga harapan tanah air tercinta.
Dr Sabariah Baharun
Naib Ketua Wanita IKRAM
Ahli Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh
Pertubuhan IKRAM Malaysia