Bayangkan imam masjid mengetuai solat sambil mendukung anak. Bayangkan pula apabila imam berhenti sejenak sambil seluruh jemaah menunggu anak kecil turun dari menunggang imam di belakang.
Kemudian, bayangkan tindakan imam mempercepatkan bacaan solat kerana terdengar teriakan anak menangis supaya si ibu dapat segera mententeramkannya.
Demikian teladan yang ditinggalkan Nabi Muhammad SAW ketika memimpin solat semasa adanya kehadiran kanak-kanak. Hakikat ini diketahui melalui hadis-hadis yang telah disampaikan bagi rujukan dan panduan umatnya.
Daripada Abu Qatadah al-Ansari r.a. beliau berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda memikul/mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulullah SAW, dan dia merupakan anak kepada Abu al-‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya, dan apabila baginda berdiri, baginda mendukungnya.” (HR Bukhari, No. 516)
Daripada Abdullah bin Syaddad r.a, daripada ayahnya berkata: “Rasulullah SAW keluar untuk (solat jemaah) bersama kami pada salah satu solat di waktu petang (zuhur atau asar), dan baginda sedang mendukung (cucunya) Hasan atau Hussain r.a.
Rasulullah SAW bergerak ke hadapan (untuk menjadi imam) dan meletakkan cucunya, kemudian baginda mengangkat takbir untuk solat, lalu mendirikan solat. Baginda sujud di tengah-tengah solatnya dengan sujud yang sangat panjang.”
Syaddad r.a. berkata: “Aku pun mengangkat kepalaku, dan aku melihat kanak-kanak tadi berada di atas belakang Rasulullah SAW ketika baginda sedang sujud. Aku pun kembali sujud. Apabila Rasulullah SAW selesai mendirikan solat, para jemaah bertanya, “Ya Rasulullah! Sesungguhnya engkau telah sujud di tengah-tengah solatmu dengan sujud yang panjang. Kami menyangka sesuatu telah berlaku, atau wahyu telah dihantar kepadamu.”
Rasulullah SAW menjawab, “Semua itu tidak berlaku. Sebaliknya cucuku ini sedang menunggang di belakangku. Aku tidak suka untuk segera (bangkit) sehingga dia telah selesai menunaikan hajatnya.” (HR Nasa’i, No. 1141, Sahih)
Dalam hadis yang lain, daripada Abdullah bin Abi Qatadah, ayahnya berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنِّي لأَقُومُ إِلَى الصَّلاةِ وَأَنَا أُرِيدُ أَنْ أُطَوِّلَ فِيهَا، فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلاَتِي كَرَاهِيَةَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمِّهِ
“Ketika aku sedang solat, aku ingin memanjangkan solat. Lalu aku mendengar tangisan seorang kanak-kanak hingga menyebabkan aku memendekkan solatku kerana bimbang akan menyusahkan ibu kepada kanak-kanak tersebut.” (HR Bukhari, No. 868)
Jelas sekali, baginda telah meninggalkan isyarat bahawa masjid dengan fungsinya sebagai tempat pembangunan umat Islam juga harus selari mewujudkan persekitaran yang mesra untuk kanak-kanak, para ibu serta komuniti dalam lingkungannya.
Kanak-kanak ini yang akan tumbuh besar menggantikan orang dewasa di kedudukan yang dipegangnya sekarang. Sedari awal mereka didekatkan dengan masjid, harapan lebih cerah untuk melihat mereka membesar sebagai orang yang cinta dan taat pada agama, mencintai ilmu, tinggi adab dan mementingkan pembangunan umat.
Dr Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya Tarbiyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak Dalam Islam) telah menggariskan tiga insititusi penting untuk pembangunan kanak-kanak iaitu rumah, masjid dan sekolah.
Menurutnya, rumah adalah tempat menyemai adab, akhlak dan membangunkan fizikal anak-anak, sekolah pula menjadi pusat pembangunan akal fikiran, adab serta membentuk pemikiran mereka, manakala masjid pula mengambil fungsi membangunkan kerohanian anak-anak.
Justeru, menjadi kebiasaan para ulama membiasakan anak-anak mereka untuk pergi ke masjid. Masjid harus diperluaskan peranannya menjadi tempat menghubungkan dan membangunkan masyarakat setempat terdahulu sebelum menjadi tempat penyatuan umat Islam secara menyeluruh.
Persoalannya, bagaimana mewujudkan persekitaran agar kanak-kanak dengan fitrahnya suka bermain diraikan dan dialu-alukan kedatangannya di masjid agar tidak mengganggu jemaah yang hadir untuk mengecapi ketenteraman ketika berada dalam rumah Allah?
Mutakhir ini, banyak masjid dan surau telah menunjukkan contoh teladan yang baik dalam merealisasikan perkara ini.
Contohnya, beberapa buah masjid dan surau di Bandar Baru Bangi seperti Surau Al-Kauthar, Masjid Al-Umm dan Masjid Hasanah telah menguruskan hal ini dengan membuka ruang yang selesa untuk menerima kedatangan tetamu dalam semua peringkat usia dan pelbagai keperluan.
Pada bulan Ramadan, khidmat nurseri disediakan secara percuma kepada ibu bapa yang membawa anak-anak kecil. Pelbagai aktiviti menarik disediakan sehingga kanak-kanak berasa seronok mengikut ibu ayah mereka ke masjid.
Menariknya, pembangunan masjid ini turut menyediakan taman permainan kanak-kanak dalam kawasan lingkungan masjid sebagai struktur penting.
Sehubungan ini, surau dan masjid-masjid ini dipenuhi hampir setiap hari pada bulan Ramadan terutamanya pada hari cuti. Pada waktu iftar, setiap keluarga diberikan ruang yang selesa untuk buka bersama-sama.
Usaha barisan jawatankuasa masjid ini telah memberikan impak yang besar dalam soal menghubungkan komuniti setempat.
Masyarakat sekitar yang mempunyai anak-anak kecil berasa disantuni dan tidak berasa kekok membawa anak-anak. Orang dewasa juga tidak berasa terganggu mengerjakan ibadah mereka.
Dalam pada itu, ibu bapa juga harus harus beringat untuk turut mengawasi dan menjaga tingkah laku anak-anak dengan berpesan mereka secara baik tentang menjaga adab, kebersihan dan kehormatan masjid.
Sudah menjadi fitrah kanak-kanak yang suka bermain sering terlupa akan nasihat untuk mendisiplinkan diri.
Maka ,orang dewasa juga tidak harus jemu berulang kali menegur dengan hikmah dan cara berada juga dalam saranan kepada anak-anak kecil untuk menjaga adab.
Perlihatkan akhlak yang cantik dan penuh kasih-sayang di rumah Allah yang semua orang inginkan ketenteraman dan kedamaian apabila melangkah masuk ke dalamnya. Herdikan dan tengkingan bertentangan dengan anjuran agama Islam.
Ini bertepatan dengan saranan Nabi SAW melalui sabdanya: “Bukanlah daripada kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak memuliakan golongan yang tua daripada kalangan kami. (HR Bukhari, Adab al-Mufrad, 358)
Masjid yang mesra kanak-kanak sangat penting kerana kanak-kanak adalah generasi masa depan umat Islam. Keakraban perasaan yang wujud antara kanak-kanak dengan masjid akan meninggalkan pengalaman beragama yang penting buatnya sepanjang hidup sebagai Muslim yang beramal.
Ketika anak-anak berasa selesa dan suka terlibat dalam kegiatan di masjid, akan terbangun hubungan dirinya yang kuat dengan agama dan berupaya membentuk keperibadian generasi muda yang berakhlak mulia, mempunyai nilai moral yang kukuh dan memiliki kecenderungan untuk membangunkan diri menjadi umat terbaik.
Selanjutnya mereka berpotensi mendewasa sebagai individu yang mampu menjadi permata kepada masyarakat dan negara. Seperti kata pepatah, melentuh buluh biar dari rebungnya. Bagi membentuk kebiasaan baik, aturannya harus dimulakan sedari kecil.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.